Mitos Tanah Melayu Tidak Dijajah

Pada 31 Ogos 2021, negara sekali lagi menyambut sambutan kebangsaan bersempena peristiwa penting Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini masih wujud polemik dalam kalangan masyarakat mahupun pengkaji sejarah tempatan bahawa adakah British menjajah atau tidak menjajah Tanah Melayu? Malahan, terdapat juga sesetengah pihak yang mendakwa Tanah Melayu hanya dijajah ketika pembentukan Malayan Union. Tambahan lagi, pengekalan institusi dan pengiktirafan kedaulatan Raja-Raja Melayu oleh pihak British juga sering dijadikan beban bukti bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah sepenuhnya oleh British.

Walau bagaimanapun, hasil kajian penulis terhadap rekod British yang tersimpan di Perpustakaan Tun Seri Lanang UKM dan Arkib Negara United Kingdom di London mendapati terdapat banyak rekod sejarah yang membuktikan bahawa Tanah Melayu merupakan tanah jajahan dalam empayar British. Kedudukan Tanah Melayu sebagai negeri naungan British tidak boleh di tafsir secara literal tanpa memahami asalnya melalui Persidangan Berlin 1885 yang memperkenalkan penjajahan langsung melalui pembentukan negeri naungan atau ‘protectorate’. Bentuk penjajahan ini sebenarnya membolehkan British memerintah negeri naungan secara ‘de facto’. Oleh sebab itu, proses penjajahan British di Tanah Melayu tidak wajar di tafsir berdasarkan peristiwa tertentu kerana kolonialisasi yang berlaku di negeri-negeri Melayu adalah proses berterusan dan wujudnya amalgamasi sistem kolonial dengan sistem masyarakat tempatan. Misalnya, model Perjanjian Pangkor 1874 di Perak terus digunakan British untuk menguasai kedaulatan politik negeri-negeri Melayu yang lain.

Kedaulatan politik Raja-Raja Melayu bukanlah terhapus ketika Malayan Union dikuatkuasakan. Proses tersebut berlaku sejak awal pertapakan pengaruh British lagi, iaitu sejak Perjanjian Pangkor. Buktinya, memetik penghakiman Mudie dalam rekod CO 717/91 berjudul ‘Legal Status of the Malay States’, persetujuan Raja-Raja Melayu supaya ‘Resident’s advice must be asked and acted upon on all questions other than those touching Malay religion and custom’ merupakan satu bentuk penyerahan kuasa dan kedaulatan politik pemerintah tempatan kepada kerajaan British. Namun, berbanding Perjanjian Malayan Union yang jelas menyatakan persetujuan Raja-Raja Melayu menyerahkan segala kekuasaan kepada kerajaan British, model Perjanjian Pangkor tersebut tidak membolehkan British menguasai sepenuhnya kedaulatan negeri-negeri Melayu. Oleh sebab itu, British memperkenalkan Majlis Mesyuarat Negeri untuk mendapatkan kuasa perundangan negeri dan pembentukan Majlis Mesyuarat Persekutuan 1909 di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu sebagai institusi perundangan tertinggi.

Penghakiman Mudie turut menjelaskan kesan pembentukan Majlis Mesyuarat Persekutuan menyebabkan kedaulatan Raja-Raja Melayu terhadap proses pembentukan undang-undang terhakis dan diserahkan kepada Majlis Mesyuarat Persekutuan. Walaupun, tandatangan dan persetujuan Raja-Raja Melayu diperlukan bagi meluluskan setiap Rang Undang-Undang. Penghakiman Burton menjelaskan klausa 10 dalam Perjanjian 1927 menyebabkan Raja-Raja Melayu perlu bersetuju dengan nasihat British untuk meluluskan setiap Rang Undang-Undang yang diusulkan oleh British. Oleh sebab itu, British tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan undang-undang imperial secara terus dari London. Penghakiman Mudie dan Burton dalam CO 717/91 kemudiannya digunakan Pejabat Tanah Jajahan bagi menolak tafsiran Roland Braddell pada tahun 1931 bahawa British menjajah Tanah Melayu secara tidak langsung dan negeri-negeri Melayu masih kekal separa berdaulat. Sebaliknya, Pejabat Tanah Jajahan berpendirian tiada mana-mana pihak atau negara asing boleh mempertikaikan kedudukan Tanah Melayu sebagai negeri naungan dalam empayar British. Terdapat banyak dokumen di London yang mengkategorikan Tanah Melayu sebagai jajahan atau ‘colonies’. Tambahan lagi, siri perjanjian antara Raja-Raja Melayu dengan pihak British menyebabkan negeri-negeri Melayu tidak mempunyai kuasa untuk melakukan hubungan diplomatik tanpa izin kerajaan British terlebih dahulu.

Bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa British kekal mengiktiraf kedaulatan kedudukan Raja-Raja Melayu. Perkara ini terbukti berdasarkan kes mahkamah seperti Perbicaraan Ethel Proudlock 1911 dan Kes Mighell melawan Sultan Johor 1894. Terdapat dua perkara yang perlu dipertimbangkan oleh pengkaji sejarah untuk bergantung dengan kedua-dua kes ini bagi mentafsirkan pengiktirafan British terhadap kedaulatan kedudukan Raja-Raja Melayu. Pertamanya, bukan semua bidang kuasa kerajaan British dan Raja England absah di negeri-negeri Melayu. Oleh sebab itu, wujud perkara kedua iaitu, semenjak tahun 1909, Majlis Mesyuarat Persekutuan telah banyak melakukan pindaan dan pengenalan enakmen berkaitan bidang kuasa kehakiman mengikut model undang-undang Inggeris. Bagaimanapun, dalam rekod CO 717/55/7, Pejabat Tanah Jajahan menegaskan, British hanya mengiktiraf kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kebal daripada sebarang tindakan atau prosiding mahkamah. Sungguhpun begitu, pada tahun 1924, Privy Council British turut bersetuju bahawa Raja-Raja Melayu boleh ‘waive privilege of sovereignty’ kepada mahkamah sekiranya dikehendaki Raja-Raja Melayu sendiri.

Terdapat banyak rekod sejarah lain yang membuktikan penjajahan British terhadap Tanah Melayu. Setiap rekod menjelaskan autoriti Setiausaha Tanah Jajahan dalam mengarahkan pelaksanaan dasar imperial, khususnya berkaitan ekonomi dan kuasa kelulusan Setiausaha Tanah Jajahan terhadap perubahan struktur politik serta pentadbiran negeri-negeri Melayu. Antara peristiwa penting ialah pergelutan kuasa antara George Maxwell, Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan Laurence Guillemard, Gabenor Negeri-Negeri Selat yang juga merupakan Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu pada tahun 1920-an. Maxwell cuba membebaskan pentadbiran Negeri-Negeri Melayu daripada kawalan Gabenor Negeri-Negeri Selat kerana tindakan Guillemard yang cuba menggabungkan dan memusatkan pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dengan pentadbiran Negeri-Negeri Selat. Akhirnya, Setiausaha Tanah Jajahan memihak kepada Guillemard kerana dasarnya selaras dengan pendirian kerajaan British, manakala Maxwell dipaksa untuk bersara dan akhirnya jawatan Ketua Setiausaha dimansuhkan pada tahun 1930-an.

Selain itu, rekod Persidangan Durbar yang dibuka aksesnya oleh Arkib Negara United Kingdom pada tahun 2013 iaitu FCO 141/16629 juga menunjukkan wujudnya kawalan British terhadap hal ehwal Melayu dan Islam. Pesuruhjaya Tinggi British mempunyai kuasa membuka persidangan Durbar dan memilih usul untuk dikemukakan dalam persidangannya. Resolusi persidangan Durbar tidak menjadi undang-undang pada peringkat negeri melainkan Raja-Raja Melayu bersetuju melaksanakan. Namun, terdapat resolusi tertentu yang dilaksanakan British pada peringkat persekutuan. Misalnya, usul Raja-Raja Melayu supaya bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan dalam borang dan dokumen kerajaan. Walaupun, British mengiktiraf Tanah Melayu sebagai sebuah negara Melayu, usul tersebut ditolak dengan alasan bahasa Inggeris dan tulisan roman telah dominan pada peringkat dunia. Namun, akhirnya British bersetuju untuk menggunakan empat jenis bahasa dan tulisan iaitu Melayu, Tamil, Cina dan Inggeris dalam borang kerajaan.

Terdapat isu-isu sepunya lain dalam persidangan Durbar dilaksanakan pada peringkat persekutuan. Antaranya, persetujuan Raja-Raja Melayu untuk memberi sumbangan kepada kerajaan British bagi tujuan pertahanan imperial ketika menjelang Perang Dunia Kedua. Namun, persetujuan tersebut adalah berdasarkan matlamat mengukuhkan sistem pertahanan Tanah Melayu daripada serangan musuh.

Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan merupakan dokumen penting yang memerdekakan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British sejak Perjanjian Pengkor 1874. Pemasyhuran tersebut membuktikan pembatalan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 antara British dengan Raja-Raja Melayu dan siri perjanjian sebelumnya. Kesannya, bidang kuasa Parlimen British dan Ratu England ditamatkan. Selain membawa kepada penubuhan negara bangsa Persekutuan Tanah Melayu yang baharu, pemasyhuran tersebut mengembalikan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai pemerintah berperlembagaan. Oleh sebab itu, perjuangan menuntut kemerdekaan oleh tokoh-tokoh negara wajar dihargai dan dihayati oleh warga Malaysia, kerana besar pengorbanan pejuang kemerdekaan bagi membebaskan negara yang dijajah ratusan tahun.

Mohd Shazwan Mokhtar
Pensyarah Program Sejarah
Pusat Kajian Sejarah, Politik & Hal Ehwal Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia

*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my

1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apa Yang Berlaku Di Pejabat Tanah Jajahan, sebelum Malayan Union Dicadangkan?

Next Post

90 Peratus Pemegang Visa MM2H tidak Setuju Syarat Terbaharu Kerajaan

Related Posts
Skip to content