Pengarah FBI Kunjungi Agensi-agensi Penguatkuasa dan KDN, Risiko Kepada Dasar dan Kedaulatan Malaysia

Pada 16 Disember 2023, pihak PDRM telah menerima kunjungan hormat daripada delegasi Federal Bureau of Investigation (FBI) yang diketuai oleh Pengarah FBI, Christopher A. Wray di  Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman bagi membincangkan  isu-isu berbangkit melibatkan Malaysia dan Amerika Syarikat. Kemudian, FBI juga turut membuat kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 18 Disember 2023 bagi memperkasakan  kerjasama menentang rasuah termasuk dalam aspek pencegahan pengubahan wang haram di peringkat antarabangsa. (PDRM, SPRM)

Sebelum itu, Christopher A. Wray dilaporkan membuat perjumpaan bersama Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution diiringi Timbalan KPN di Parlimen Malaysia pada 14 Disember 2023. Kunjungan hormat ini adalah perbincangan susulan daripada pertemuan Saifuddin dan Christopher di Washington pada 23 September lalu yang bertujuan membincangkan kerjasama risikan, pengurusan kes berprofil tinggi serta aspek pembangunan kapasiti antara Malaysia dengan Amerika Syarikat. Ketika lawatan ke Washington, Saifuddin juga mengadakan pertemuan bersama US Coast Guard. (Saifuddin)

Kerjasama antara FBI dan SPRM bukan perkara yang baharu. SPRM pernah bekerjasama dengan FBI dalam kes 1MDB pada tahun 2016. Pada Mac tahun ini, SPRM bersama dengan FBI, BNM, dan National Crime Agency UK berkolaborasi bagi menjejak aset dan wang haram dalam satu operasi yang dipanggil Op Tropicana. Menurut Azam Baki, kerjasama strategik dengan Department of Justice A.S dan FBI menyumbang kepada pencapaian pemulihan aset terutamanya daripada 1MDB pada tahun 2022. (MalayMail, BH, TheStar)

Bagi kes 1MDB, SPRM mendedahkan bahawa mereka tertakluk kepada Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah. Oleh itu, SPRM perlu memberi kerjasama dan bantuan kepada A.S seperti yang diperuntukkan di bawah konvensyen tersebut. Meskipun bidang kuasa FBI hanya terbatas dalam sempadan A.S., FBI mempunyai hak menyiasat sekiranya jenayah tersebut melibatkan warganegara A.S. (MalayMail)

Daripada sudut kerjasama latihan, pada 19 Ogos 2022, 24 pegawai penguatkuasa undang-undang Malaysia yang terdiri daripada SPRM, MCMC, AGC, dan PDRM menyertai latihan penyiasatan jenayah siber yang dihoskan oleh Pejabat Bantuan dan Latihan Pembangunan Pendakwaan Luar Negara, Jabatan Kehakiman A.S. dan Pejabat Atase Undang-undang FBI. (US Embassy)

Selain itu, pada 26 September 2023, Penolong Pesuruhjaya Kanan (SAC) Asrul Ridzuan Bin Ahmad Rustami dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menamatkan 10 minggu pengajian dan latihan dari Akademi Kebangsaan FBI. Asrul merupakan pegawai kedua SPRM yang merupakan lulusan dari Akademi FBI. (US Embassy)

Pada 17 Oktober 2023, Amerika Syarikat mengadakan Persidangan Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) Tahunan ke-15 Deloitte yang menumpukan kepada memperkukuh sekatan terhadap sistem pembiayaan Hamas dengan langkah cepat dan segera. Ketika persidangan tersebut, Brian Nelson menekankan sumber utama pembiayaan Hamas termasuk daripada sumbangan pertubuhan kebajikan. (US Treasury)

Pada 20 Oktober 2023, Financial Crime Enforcement Network (FinCEN) mengeluarkan amaran atau “red flag” kepada institusi-institusi kewangan A.S dan bukan A.S. supaya mengenal pasti aliran pembiayaan untuk Hamas jika ingin mengelak daripada terkena sekatan kewangan daripada A.S. Antara “red flag” yang digariskan adalah organisasi kebajikan yang menyokong Hamas dan operasinya secara terbuka. (FinCEN)

Rentetan itu, Financial Action Task Force (FATF) yang ahlinya termasuk Malaysia mengadakan pertemuan di Paris pada 23 Oktober bagi membantu negara mengesan, mengikuti dan menghentikan aliran kewangan yang menyemarakkan jenayah dan keganasan. Pertemuan ini menghimpunkan organisasi antarabangsa penting seperti Tabung Kewangan Antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Bank Dunia, INTERPOL dan Unit Perisikan Kewangan Kumpulan Egmont. Antara isu yang dibincangkan adalah crowdfunding untuk pembiayaan pengganas dan mengelakkan penyalahgunaan pertubuhan bukan untung atau NGO. (FATF)

Dalam pada itu, Malaysia juga merupakan ahli kepada Unit Perisikan Kewangan Kumpulan Egmont yang terlibat sama dalam perkongsian maklumat di dalam dan luar negara mengikut piawan AMLA antarabangsa. (Egmont)

Seterusnya, pada 1 November 2023, Dewan Rakyat A.S. meluluskan Akta Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas yang mengenakan sekatan ke atas individu, entiti, dan kerajaan asing yang memberikan sokongan dalam bentuk tajaan, sokongan kewangan, material, atau sokongan lain kepada Hamas dan Jihad Islam Palestin. RUU ini akan dibentangkan di Senat AS sebelum ia diluluskan dan dikuatkuasakan. (JPost)

Bagi memperkukuhkan penyiasatan dan pelaksanaan sekatan keatas rangkaian pembiayaan Hamas, Amerika Syarikat bersama Israel dan 11 negara lain seperti Australia, Kanada, Estonia, Perancis, Jerman, Liechtenstein, Luxembourg, Belanda, New Zealand, Switzerland, United Kingdom membentuk pasukan khas yang terdiri daripada Unit Perisikan Kewangan (FIU) bagi setiap negara tersebut pada 27 November. Tujuan pasukan khas ini adalah untuk mengesan, mengganggu dan mencegah pembiayaan Hamas. (FinCEN)

Kesimpulannya, meskipun kerjasama dengan FBI sudah bertapak lama di Malaysia, kedatangan pengarah FBI, Christopher A. Wray merupakan perkara yang asing dan tidak pernah berlaku. Ia memberi petunjuk terdapat perkara yang bersifat mustahak dan segera yang ingin dibawa oleh A.S ke Malaysia. Melihat kepada pola pergerakan A.S terkini, ia menunjukkan bahawa mereka terdesak untuk menyekat sumber pembiayaan Hamas melalui kerjasama yang menyeluruh dengan negara-negara dan agensi perisikan kewangan. Oleh itu, perkembangan ini berisiko memberi kesan kepada kedaulatan negara yang sepatutnya bebas daripada campur tangan luar.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**Rumusan Berita IRIS atau News Brief adalah produk rumusan berita mingguan IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Rumusan ini dipilih berdasarkan pantauan berita IRIS (RADAR) yang dipantau sepanjang minggu tersebut dan dibuat penjelasan lebih terperinci untuk kefahaman pembaca.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Apa yang berlaku selepas Israel kalah perang di Gaza?

Next Post

Sabah Lulus Tiga RUU Kawal Selia Sektor Pembekalan Elektrik, Kembalikan Kuasa Autonomi Sabah selepas 40 Tahun

Related Posts
Skip to content