Di sebalik ‘Persidangan Damai’ Yaman

Although both sides set out low expectations for the talks they are likely to run for 2-3 days [AFP]
Although both sides set out low expectations for the talks they are likely to run for 2-3 days [AFP]
Selepas pertumpahan darah selama tiga bulan, parti-parti yang bergolak di Yaman akhirnya bersetuju untuk duduk berbincang di dalam sebuah persidangan damai yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Persidangan tersebut, seperti yang telah dijangkakan; serba tidak kena. Meskipun keganasan masih tidak terkawal di Yaman, persidangan tidak menampakkan minat daripada mana-mana pihak untuk menghentikan serangan dan mencapai sebuah penyelesaian politik.

Isnin lalu, persidangan yang telah dimulakan tanpa wakil daripada gerakan Syiah Houthi yang terkandas di Djibouti, telah mencetuskan kemarahan dan seperti memadamkan harapan untuk kedamaian. Perwakilan mereka kemudian menuduh Arab Saudi sebagai penyebab kepada masalah tersebut, dan juga Mesir yang menghalang mereka menggunakan laluan udara negara tersebut; namun Cairo menafikan tuduhan yang demikian.

Kumpulan pemberontak Syiah Houthi akhirnya tiba membawa lebih daripada 25 orang perwakilan, sedangkan bilangan yang dipersetujui sebelum ini adalah tujuh. Menteri Luar Yaman, Reyad Yasin Abdullah, menuduh gerakan tersebut yang awal-awal lagi telah melanggar arahan sengaja ingin mencetuskan kekacauan pada persidangan damai itu. Setakat ini, tiada sebarang resolusi terbentuk dalam usahan menamatkan konflik di Yaman, hanya perselisihan diplomatik yang semakin bertambah.

Khabar angin tengah hari Rabu lalu ada mengatakan, delegasi mewakili kerajaan pimpinan Abd-Rabbu Mansour Hadi mahu menangguh perjumpaan tersebut selama dua jam, sehingga kira-kira jam tiga petang waktu tempatan; Reyad Abdullah memberitahu persidangan akan bermula semula selepas dua hari.

Dalam pada itu, keganasan berterusan di Yaman, meletakkan rakyat dalam keadaan yang sangat terdesak. Angka mangsa yang telah dipindahkan hampir kepada satu juta, dan bilangan kematian telah mencecah 2,000. Taiz, Aden dan Shawaba telah melihatkan lebih banyak pergaduhan dan serangan udara. Serangan udara oleh Arab Saudi mengenai sekumpulan rakyat tempatan yang cuba meleraikan pergaduhan di Aden, tengah hari Rabu lalu, telah mengorbankan 31 orang penduduk; rumah salah seorang menteri kepada presiden Hadi, Abdel-Aziz Jubari, telah diletupkan oleh pemberontak Syiah Houthi di Sana’a, selepas mendengar delegasi mereka terkandas di Djibouti selama 25 jam.

Jelas dilihat delegasi-delegasi Yaman tidak berada di Geneva untuk mencapai persetujuan keamanan, tetapi untuk membuat kenyataan berasaskan kuasa masing-masing. Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon memberitahu, persidangan dilaksanakan dengan harapan semua parti menghormati umat Islam yang sedang berpuasa ketika serangan-serangan dilancarkan, dan mengadakan gencatan senjata untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu semasa Ramadan. Kenyataan beliau tidak dilihat sebagai omong kosong kerana Ramadan telah bermula dan perbalahan semakin hari dilihat semakin berada di luar kawalan perwakilan-perwakilan yang berada di persidangan damai di Geneva.

Melihat kepada negara Yaman secara keseluruhan, penting untuk diingat bahawa pergaduhan bukan hanya di antara kerajaan Hadi yang dibuang negara yang mendapatkan perlindungan daripada Arab Saudi, dan pemberontak Syiah Houthi. Selatan Yaman dipenuhi dengan puak-puak tribal, yang ingin menentang Syiah Houthi, dengan agenda yang tidak tersusun, dan motif yang tidak pasti. Mereka boleh dilabel sebagai penyokong setia Presiden Hadi, melihat kepada kebencian puak tribal ini kepada Syiah Houthi, dan Hadi sendiri yang berasal dari Abyan, di selatan Yaman. Perlu diingat bahawa Hadi yang sangat licik semasa Perang Saudara Yaman, pernah menyebelahi kerajaan Presiden Ali Abdullah Saleh yang digulingkan dan kemudian dilantik menjadi Menteri Pertahanan Yaman.

Sectionalisme tidak hanya terhad kepada usaha mendapatkan semula Yaman Selatan. Sebahagian daripada pemberontak di Hadhramout bukan sahaja berbalah untuk kepentingan kawasan tersebut, tetapi juga untuk Hadhrami, memandangkan gerakan-gerakan bagi membebaskan Hadhramout daripada seluruh Yaman mula bangkit. Al-Qaeda in the Arabian Peninsula (AQAP) turut mempunyai propaganda anti-Houthi.

AQAP merupakan rangkaian Al-Qaeda yang paling tersusun dan bahaya, mampu melatih lebih ramai pengganas, telah menunjukkan pengaruh mereka berdasarkan serangan hit and run di kawasan Syiah Houthi; di Taiz, Ibb dan Lahj pada April lalu. Serangan tersebut dilancarkan bukan sekadar untuk mendapatkan kekuasaan, bahkan untuk mengingatkan semua orang akan kewujudan mereka di dalam konflik tersebut serta kelebihan militari yang mereka miliki; selepas penarikan diri daripada menguasai Shawaba dan Abyan. AQAP setakat ini masih belum mampu menguasai Yaman, tetapi perlu menunjukkan kemampuan mereka. Sehingga hari ini, kubu kuat mereka terletak di bandar Mullaka, Hadhramout. Komuniti Hadhrami dilihat tidak mampu untuk bersatu padu melawan AQAP kerana ada dalam kalangan mereka yang masih menyertai AQAP yang menawarkan bantuan kewangan buat mereka yang terdesak dan memerlukan.
Berikutan kematian komander kedua AQAP, Nasir Al-Wuhaisyi selepas serangan drone oleh CIA, AQAP mengalami kemunduran, tetapi tidak bermakna mereka akan berdiam diri. Sebarang serangan selepas ini mungkin dilancarkan hanya untuk mengembalikan semula kekuasaan dan semangat mereka. Dua orang telah digantung di kawasan awam berhubung kes kematian Al-Wuhaishi, selepas disyaki menjadi perisik Arab Saudi dan menyebabkan CIA melancarkan serangan tersebut.

Kesulitan yang dihadapi untuk memulakan persidangan kali ini bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi oleh Yaman. Persidangan ini dilihat boleh menyelesaikan isu yang lebih besar. Ketidakstabilan negara telah terlihat kepada umum, kemusnahan infrastruktur negara telah menyebabkan krisis pembangunan pasca-perang yang akan mengambil masa bertahun-tahun untuk dibentuk semula. Meskipun persetujuan dicapai melalui persidangan damai di Geneva, para perwakilan sedia maklum bahawa situasi yang berlangsung di Yaman adalah di luar kawalan mereka.

Sumber : MiddleEastMonitor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Menteri Israel terima dana daripada jutawan miliki rekod jenayah

Next Post

China: Kezaliman Tanpa Henti Terhadap Muslim Uyghur

Related Posts
Skip to content