Kritikan Terbuka Buat Mereka yang Bergelar LGBT

Golongan LGBT berkumpul bagi meraikan kejayaan mendapat pengiktirafan perkahwinan sejenis dari Supreme Court minggu ini
Golongan LGBT berkumpul bagi meraikan kejayaan mendapat pengiktirafan perkahwinan sejenis dari Supreme Court minggu ini

 

Kejayaan golongan minoriti LGBT di Amerika Syarikat semalam dalam menuntut hak sama rata perkahwinan sejenis semestinya akan memberi kesan terhadap perubahan struktur sosial masyarakat. Bukan sekadar masyarakat Amerika secara spesifiknya malah masyarakat dunia secara amnya pasti terkesan dengan perubahan dasar kuasa besar dunia ini.

Malah setuju atau tidak, dengan berlakunya pindaan perlembagaan tersebut, masyarakat dunia sepatutnya menjangka akan berlaku perubahan demi perubahan terhadap sistem negara ini pada masa akan datang yang akan bersifat lebih terbuka dalam ‘menghargai’ golongan LGBT.

Tidak keterlaluan juga jika kita katakan akan berlakunya tindak balas positif yang akan muncul daripada badan bukan kerajaan (NGO) pro-LGBT di Malaysia yang bakal menyambut baik berita ini dan mula terfikir-fikir untuk mengadaptasi langkah yang sama di tanahair sendiri.

Namun, segalanya indah khabar dari rupa. Berita gembira golongan LGBT di Amerika Syarikat kali ini merupakan satu lagi episod siri mitos dalam catatan sejarah negara, yang menyaksikan sekali lagi propaganda kebebasan mutlak dan hak asasi manusia dicanang demi kepentingan sesetengah golongan di Amerika Syarikat.

1. Pendirian hipokrit Obama

David Axelrod, bekas pengatur strategi Obama menulis dalam bukunya, Believer: My Forty Years in Politics bagaimana Obama menjadikan hak perkahwinan LGBT sebagai modal dalam memancing undi pada Pilihanraya Presiden 2008. Pada awal penglibatan Obama sebagai calon senat negeri pada tahun 1996, beliau dengan terbukanya menyokong agenda pengiktirafan perkahwinan sejenis dan akan bertindak menentang mana-mana usaha yang menolak agenda tersebut.

Namun 12 tahun kemudian, sewaktu beliau bertanding untuk menjadi Pesiden AS selepas Bush, beliau membuat kenyataan terbuka di hadapan pengundi di gereja Rick Warren’s Saddleback yang rata-ratanya didominasi pengundi berkulit hitam bahawa beliau percaya bahawa perkahwinan hanyalah penyatuan bagi lelaki dan perempuan dan hanya perkahwinan heteroseksual diiktiraf dalam Kristian.

Strategi yang beliau gunakan sangat relevan memandangkan sentimen pengundi berkulit hitam lebih menyokong calon yang membawa agenda kepentingan agama Kristian. Ternyata strategi ini berjaya dan akhirnya ketika di saat penghabisan musim pentadbirannya, kini Obama tidak lagi segan silu menyatakan sokongannya buat golongan LGBT ketika Supreme Court mengisytiharkan perkahwinan sejenis di seluruh negara. Hal ini tidak menghairankan kerana kali ini beliau tidak perlu lagi menabur janji manis bagi meraih undi.

2. Tentangan majoriti yang dihiraukan

Pada bulan Mac yang lepas, senator Oklahoma, Joseph Silk mengusulkan satu bil yang membenarkan mana-mana premis perniagaan untuk tidak memberi perkhidmatan kepada golongan LGBT. Hal ini berikutan insiden kemarahan golongan tersebut apabila terdapat peniaga yang enggan memberi layanan dan perkhidmatan kepada satu pasangan homoseks yang hendak melangsungkan perkahwinan dengan alasan bahawa perkahwinan tersebut bertentangan dengan kepercayaan Kristian.

Berikutan insiden tersebut, Senator Silk dengan tegas menyatakan pendiriannya untuk mempertahankan hak golongan majoriti negara ini; rakyat yang mempunyai kepercayaan agama yang tidak mengiktiraf LGBT untuk tidak takut untuk menyatakan pendirian mereka. Rata-rata dari mereka yang sependapat dengan Silk merupakan golongan beragama Kristian yang merupakan penduduk majoriti di negara ini.

Malah, Senator Silk dengan lantang mengatakan bahawa permasalahan yang berlaku dalam gerakan LGBT waktu ini adalah mereka tiada langsung toleransi dengan hak orang lain, dengan kempen besar-besaran yang mempromosi kepercayaan mereka, mereka mencabul hak orang lain yang tidak sependapat dengan mereka. Mereka sememangnya menjadi ancaman kebebasan di Oklahoma dan Amerika.

Kesimpulannya, kejayaan golongan LGBT kali ini melengkapkan lagi drama hak asasi Amerika Syarikat dalam memperjuangkan kepentingan golongan tertentu. Yang pasti,keputusan Supreme Court semalam tidak akan menjadi titik noktah dalam perjuangan golongan ini. Sepertimana pepatah, diberi betis hendak peha golongan LGBT tidak akan pernah puas dengan hak yang mereka berjaya dapat sehingga kini.

 

Sumber: TIMES, ADVOCATE, NYT

Nur Hanis Mohamad Noor

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

FF3 : Misi Hapus Sekatan Gaza Tetap Diteruskan

Next Post

Wartawan Dedah Kezaliman al-Sisi Ditahan

Related Posts
Skip to content