JERUSALEM – Armada ke Gaza yang bakal membawa aktivis-aktivis keamanan dari seluruh dunia akan bertolak tidak lama lagi. Armada yang dinamakan Freedom Flotilla III (FF3) merupakan cubaan baharu untuk membuka sekatan yang dilaksanakan oleh Israel ke atas Gaza, selepas cubaan pertama lima tahun lalu berakhir dengan serangan yang mengorbankan banyak nyawa.
Konvoi FF3 yang dijangka tiba di perairan Semenanjung Gaza hujung bulan ini membawa aktivis-aktivis pro-Palestin, penggubal undang-undang Eropah dan ahli kabinet Israel. Konvoi kali ini dibentuk selepas Israel mendapat tekanan dan kecaman daripada dunia antarabangsa ke atas kekejaman mereka di Gaza.
Marianne of Gothenburg mula belayar dari Sicily pada hari Jumaat (26 Jun), kemudian menyertai empat buah kapal yang membawa lebih kurang 70 aktivis yang akan turut ke Gaza. Antara individu berpengaruh dunia yang menyertai FF3 termasuklah bekas Presiden Tunisia, Moncef Marzouki, ahli parlimen Eropah (Member of European Parliament, MEP), Ana Maria Miranda Paza dan penggubal undang-undang Arab-Israel, yang juga merupakan Member of Knesset Israel, Basel Ghattas. Penyertaan Ghattas mencetuskan kemarahan Israel. (baca sini)
Ghattas di dalam suratnya kepada Presiden Israel, Benjamin Netanyahu menggesa Netanyahu mengarahkan tentera Israel supaya tidak masuk campur dan membenarkan flotilla masuk ke Semenanjung Gaza. Sebarang campur tangan hanya akan meletakkan Israel ke dalam krisis antarabangsa yang lebih buruk.
Kelebihan misi FF3
Keganasan Israel yang menghalang kemasukan flotilla pada 2010 sehingga menyebabkan kematian 10 orang rakyat Turki menjadi kelebihan untuk konvoi kali ini setelah Israel mendapat tekanan dan kecaman dunia berhubungan kejadian tersebut. Kerajaan Mesir turut didapati bersubahat dan menghantar tentera mereka menghalang kemasukan flotilla pada 2010, namun Kaherah menafikan keterangan tersebut. Mahkamah Jenayah Antarabangsa (The International Criminal Court) merasakan kemungkinan besar Israel tidak akan menggunakan modus operandi yang sama kali ini, dan Israel dianggap bodoh jika mengambil pendekatan yang sedemikian.
25 Jun – Jawatankuasa Antarabangsa, The International Committee for Breaking the Siege telah mengesahkan segala keperluan telah dilaksanakan untuk armada FF3 memulakan pelayaran mereka menuju ke Gaza. Keadaan cuaca yang menyukarkan mereka berlepas dari Greece juga telah reda. Ketua jawatankuasa tersebut, Zaher Birawi melaporkan peserta FF3 telah meninggalkan hotel dan menuju ke kapal masing-masing. Peserta yang selebihnya akan bergerak keesokkan paginya.
26 Jun – Laporan daripada seorang aktivis Sweden, Dror Feiler memberitahu salah sebuah kapal yang menyertai armada FF3 telah disabotaj, menyebabkan penganjur flotilla terpaksa menggantikan kapal tersebut.
Feiler memberitahu, sebuah ‘gerakan’ yang tidak diketahui telah mensabotaj kapal tersebut menggunakan cara ‘profesional’, bukan calang-calang orang boleh melakukan kerja terkutuk berkenaan. Sekiranya kapal tersebut telah lepas berlayar, ia akan tenggelam di tengah lautan mengorbankan ramai aktivis di atas kapal tersebut.
Seseorang telah turun ke bahagian bawah kapal dan mensabotaj propellers kapal tersebut, sama seperti yang pernah dilakukan pada tahun 2011, ke atas kapal yang sama.
Awal dinihari hari ini, kapal Marianne of Gothernburg sudah tiba di kawasan perairan antarabangsa. Marianne telah mula belayar dari Sweden pada 10 Mei lalu, merupakan kapal utama daripada keseluruhan lima buah kapal yang terlibat dalam armada FF3.
27 Jun – Empat buah bot lain yang menyertai armada FF3 telah selamat berlepas dari pelabuhan terakhir Eropah. Armada yang belayar dari kawasan perairan antarabangsa terus menuju perairan Palestin, tidak akan menggunakan pendekatan berbentuk keganasan bagi mencabar sekatan Israel ke atas Semenanjung Gaza, yang telah memakan masa sembilan tahun.
Armada berkenaan dijangka tiba dalam masa beberapa hari. Antara yang berada di atas kapal termasuklah 48 orang aktivis hak asasi manusia, wartawan, artis, ahli-ahli politik yang mewakili 17 buah negara. (Antaranya Dr. Basel Ghattas; Dr. Moncef Marzouki; ahli parlimen Eropah dari Sepanyol, Jordan, Greece, Algeria; wakil media – Al Jazeera, Euronews, Maori TV (New Zealand), Al-Quds TV, Channel 2 TV (Israel) and Russia Today TV dan beberapa orang wartawan bebas yang terkenal)
Konvoi ketiga ke Gaza, selepas sembilan buah bot individu belayar ke Gaza bermula pada tahun 2008, apabila beberapa buah kapal berjaya sampai ke Gaza untuk menghantar barangan keperluan dan tanda solidariti kepada penduduk Gaza.
Marianne merupakan sebuah kapal pemukat yandg diubah suai, membawa panel -panel solar bagi menjana tenaga elektrik dan bekalan ubat-ubatan. Tiga buah kapal layar lain bersama-sama Marianne, (Rachel, Vittorio dan Juliano II) di dalam misi untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, sebagai tanda solidariti kepada 1.8 juta penduduk Palestin di Gaza. Dengan strategi dan pendekatan yang berbeza, kapal-kapal berkenaan akan terus belayar sehingga sekatan ditarik balik dan pelabuhan Gaza dibuka.
Seramai lebih daripada 100 orang ahli parlimen Eropah telah menandatangani surat kepada wakil tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Federica Mogherini, sebagai tanda sokongan kepada Freedom Flotilla dan mengharapkan sekatan ke atas Gaza dihentikan. Kerjasama antarabangsa berdiri teguh bersama-sama rakyat Palestin di Gaza.
Sumber : MEM