Generasi Pelarian; Cabaran Besar Umat Islam di Masa Hadapan

12593535_1077513345632825_8691875568838730786_o

Ini bukan kali pertama saya menyertai mana-mana badan bukan kerajaan bagi melaksanakan sebarang projek bantuan kemanusiaan. Bermula daripada pengalaman sukarelawan secara kecil-kecilan sehinggalah kepada projek berskala besar, dapat saya lihat pelbagai objektif yang hendak dicapai daripada setiap projek. Begitu juga dengan pengalaman saya merentasi sempadan Kemboja-Vietnam sehinggalah projek berskala kecil di Amerika Syarikat, dapat saya perhati bagaimana sesebuah bangsa menjadi minoriti hasil daripada kesan penjajahan sehinggalah bagaimana sebuah negara membangun menguruskan pembangunan komuniti di negara mereka.

Namun, pengalaman yang saya kutip selama empat bulan di sebuah pusat pendidikan Bahasa Inggeris untuk pelarian dan imigran di Amerika Syarikat merupakan pengalaman yang paling berharga buat saya. Bukan kerana dana dan kemudahan kepada badan bukan kerajaan yang saya sertai ini lebih baik, tetapi ini kali pertama saya berhadapan secara realiti dengan mangsa pelarian yang keluar dari negara masing-masing atas desakan hidup.

Kebanyakan pelarian yang saya berurusan merupakan rakyat bagi negara yang bergolak. Bahkan pergolakan yang berlaku di negara mereka masih lagi berlaku sehingga kini. Berikut saya senaraikan beberapa negara asal mereka:

  1. Nepal: Perang Maoist yang berlaku pada tahun 1996 sehingga 2006, menyaksikan bagaimana konflik dalaman menyebabkan beratus ribu rakyat mereka lari dari negara tersebut. Peristiwa ini juga menyaksikan campur tangan kerajaan India ke dalam urusan politik Nepal. Ditambah pula dengan kedudukan strategik Nepal yang berada di antara China dan India, menambah lagi sebab mengapa sehingga sekarang Mohdi (sekutu Amerika Syarikat) masih berminat untuk campur tangan.
  2. Bhutan: Kedudukan negara ini juga amat strategik dan dilihat sebagai “buffer zone” sekiranya berlaku konflik antara India dan China.
  3. Sudan: Konflik Sudan yang umum diketahui oleh masyarakat dunia tidak lagi menghairankan. Sumber minyak merupakan salah satu punca utama mengapa Amerika Syarikat masih lagi campur tangan.
  4. Nigeria: Konflik Muslim-Kristian merupakan konflik yang berlaku hasil pembahagian benua Afrika sejak dari zaman penjajahan dulu. Keganasan Boko Haram juga turut menambah lagi nilai “Failed State” pada negara ini.
  5. Mexico: Negara jiran Amerika Syarikat ini dikenali dengan masalah domestik yang menyebabkan ribuan rakyat mereka masuk ke negara jiran secara haram. Antara masalah yang berlaku adalah sindiket penyeludupan dadah yang kritikal serta masalah kekejaman gangster.
  6. Iraq: Konflik yang timbul di negara ini hasil pencerobohan tentera Amerika Syarikat tidak perlu diperjelaskan lagi. Kebanyakan pelarian dan imigran yang berjaya mendapat status di Amerika Syarikat adalah mereka yang menjadi penterjemah bagi pihak tentera AS.

Antara pelarian dan imigran lain yang pernah saya temui antaranya termasuk dari kalangan mereka yang berasal dari Afghanistan, Palestin dan Syria. Namun bilangan mereka amat sedikit berbanding negara lain.

 

Mengapa generasi pelarian akan menyebabkan masalah yang lebih besar?

Masalah pelarian bukanlah masalah jangka masa pendek. Ianya krisis yang memberi kesan jangka masa panjang kerana migrasi manusia berskala besar pasti melibatkan kesan kumulatif dari generasi ke generasi.

Hasil kaji selidik Persatuan Bangsa Bersatu (PBB) mendapati akan timbul masalah kesan daripada migrasi besar-besaran pelarian dari Syria yang terjadi baru-baru ini. Dicatatkan migrasi ini akan memberi kesan kepada 10 juta penduduk di dunia. Hal ini disebabkan generasi pasca migrasi gagal untuk mendapat kerakyatan negara asal  mereka.

Menurut polisi di Syria, hanya kewarganegaraan bapa sahaja yang layak untuk memberi anak kewarganegaraan yang sama. Namun hakikatnya 25 peratus generasi baru di negara tersebut tidak berbapa; sama ada mereka maut dalam perang atau hilang ketika proses migrasi berlaku. Bukan itu sahaja, kebanyakan negara Eropah seperti Jerman tidak mempunyai polisi kawarganegaraan automatik kepada anak yang lahir di negara tersebut.

Hal ini menyebabkan wujudnya generasi yang digelar “stateless generation” dan bagi seseorang yang tidak mempunyai mana-mana status kewarganegaraan, mereka akan dinafikan hak untuk bersekolah, bekerja, berkahwin dan juga melibatkan diri secara rasmi dalam bermasyarakat.

Hal ini pasti menimbulkan kesan negatif kepada generasi baru Syria. Sungguhpun, Bashar al-Assad dan regimnya berjaya diusir, dan pelarian-pelarian ini berjaya dibawa pulang ke tanah air, tiada jaminan generasi baru mereka mampu berfungsi dengan baik setelah dinafikan hak-hak asasi mereka sekian lama.

 

Proses asimilasi bukanlah mudah seperti yang disangka

Bukan sahaja kebanyakan pelarian Syria gagal untuk mendapat sebarang status kewarganegaraan,  bahkan sekiranya mereka membuat keputusan untuk menetap di negara baru/ negara kedua mereka secara tetap, proses adaptasi ke dalam negara dan budaya baru bukanlah semudah yang disangka.

Penulis bersama sukarelawan yang lain
Penulis bersama sukarelawan yang lain

Sepanjang pengalaman saya berhadapan dengan pelarian dan imigran di sini, dapat saya lihat kepayahan mereka untuk mengetahui dan membiasakan diri dengan sistem yang digunakan di negara baru. Terlalu banyak perkara baru untuk dipelajari. Mereka perlu mempunyai kemahiran untuk berkomunikasi dalam bahasa yang digunakan dalam budaya setempat, mereka perlu belajar budaya masyarakat di sana. Mereka perlu mengetahui sistem yang digunakan dan mempunyai kebolehan untuk masuk ke dalam sistem tersebut.

Sekiranya mereka gagal dalam menguasai kemahiran untuk survived di negara ini, maka sebarang mobiliti sosial akan sukar untuk dilakukan. Mobiliti sosial yang dimaksudkan termasuklah peningkatan sosioekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Jika dahulu mereka adalah golongan professional, bekerjaya dan berpendidikan di negara asal, kini mereka perlu memulakan semula proses membina hidup baru. Ramai dalam kalangan imigran dan pelarian yang saya temui, kebanyakan dari mereka sangat bijak tetapi kebolehan merea terbatas kerana kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris yang amat terhad.

Bukan sekadar golongan dewasa yang mempunyai cabaran untuk memulakan hidup yang baru, bahkan golongan kanak-kanak juga mempunyai masalah dalam membiasakan diri dengan sistem public school di Amerika Syarikat yang sangat mencabar. Sering kali saya diminta oleh seorang wanita dari Mexico untuk membantu anak perempuan beliau untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberi oleh cikgunya di sekolah awam. Malangnya setiap kali saya bertemu dengan budak perempuan tersebut, beliau gagal untuk melakukan tugasan tersebut kerana kemampuan bahasanya tidak sama dengan rakan sebaya.

Jadi, bukan sahaja generasi pelarian dan imigran ini bakal tercicir dari segi pelajaran, malah mereka berkemungkinan untuk tidak terlepas dari kitaran kemiskinan yang mereka hadapi.

 

Sejauh mana asimilasi itu baik untuk pengekalan identiti sesebuah kaum

Apabila kita berbicara mengenai pembentukan negara bangsa seperti Amerika Syarikat, kita tidak boleh lari untuk berbincang mengenai usaha dan kesan proses asimilasi yang berlaku sejak dahulu lagi. Kesan proses tersebut lebih jelas kelihatan terjadi kepada kaum minoriti di negara ini.

Menurut ahli sosiologi, minoriti bukan bermaksud sedikit bilangannya. Tetapi minoriti membawa makna kepada sesebuah kaum yang sedikit pengaruh dan kuasanya dalam sesebuah masyarakat. Berdasarkan konteks Amerika Syarikat, golongan pelarian dan imigran ini semestinya minoriti dalam masyarakat di sini.

Justeru, mereka tidak dapat lari daripada melalui proses asimilasi ke dalam budaya dominan di negara ini. Namun sejauh mana proses ini baik untuk pengekalan identiti sesebuah kaum dan adakah mengorbankan nilai jati diri dan identiti kaum itu penting dalam membentuk sebuah negara bangsa demi mencapai perpaduan, kemajuan dan keharmonian?

Persoalan-persoalan berikut bukanlah persoalan yang baru dalam dunia sains sosial dan ahli akademik sekalipun. Persoalan identiti kaum dan pembentukan negara bangsa sudah sekian lama dibahaskan. Namun, bagi menggariskan dasar-dasar negara yang membantu sebuah negara mencapai matlamat yang diinginkan boleh menjadi sangat tricky apabila berhadapan dengan isu kaum seperti ini.

Pada pendapat saya berdasarkan pengalaman yang ada, proses asimilasi ada kalanya diperlukan. Sebagai contoh, kaum atau golongan minoriti masih perlu untuk masuk ke dalam sistem atau budaya dominan bagi mencapai status sosial dan ekonomi yang lebih baik. Mereka tidak boleh mengasingkan diri sepenuhnya dan mencipta sistem ekonomi dan pendidikan sendiri. Hal ini bukan sahaja akan menganggu gugat keharmonian dalam negara itu sendiri, bahkan mereka sendiri tidak akan memperoleh manfaat daripada usaha tersebut. Memang betul pengekalan identiti dan budaya mereka dapat dilakukan sevara optima, tetapi hasil networking dalam proses asimilasi kadangkala memberi lebih banyak manfaat dalam proses pengekalan identiti tersebut.

Namun, pendirian ekstrem yang menggesa asimilasi yang sepenuhnya pada saya bukanlah langkah yang tepat. Ada sesetengah perkara perlu diberi reservation daripada proses asimilasi secara maksimum. Sebagai contoh aspek agama, budaya, dan bahasa yang merupakan elemen penting dalam sebuah kaum.

 

Jadi apa kesan proses asimilasi pada pelarian Syria?

Berbalik kepada isu pelarian Syria dan kaitannya dengan konsep asimilasi, memberi persoalan kepada saya sendiri. Adakah migrasi berskala besar yang kita lihat ini bakal memberi kesan pada perkembangan kuasa negara Islam pada masa hadapan?

Jawapan menurut pandangan saya adalah ya.

Bukan sahaja mereka terpaksa bergelut untuk mendapat hak asasi mereka, malangnya kebanyakan pelarian Syria kini berada di negara Eropah, yang mempunyai budaya yang begitu berlainan yang memerlukan proses asimilasi berskala besar untuk dilakukan. Walaupun, terdapat sebilangan besar pelarian yang ditempatkan di negara Islam yang lain, sekali lagi akan timbul persoalan yang sama – tiada jaminan generasi baru Syria mampu pulih sepenuhnya selepas krisis ini berlaku. Hal ini disebabkan mereka terpaksa mengorbankan sebahagian nilai dan identiti mereka untuk berfungsi dalam masyarakat yang baru. Seterusnya merencatkan lagi perkembangan sebuah lagi negara Islam, dalam hal ini adalah Syria.

 

Kesimpulan

Krisis pelarian bukanlah seremeh yang disangka. Jangan pernah kita fikir sudah cukup kita membuat derma dan menghantar bantuan untuk membantu mereka pulih kepada keadaan asal. Usaha yang lebih daripada itu perlu dijalankan. Berdasarkan pengalaman saya, golongan pelarian sebegini lebih memerlukan sokongan emosi dan sosial untuk mereka bangkit kembali. Mereka juga perlu diberi ruang dan peluang untuk membina komuniti sendiri di negara yang mereka diami. Sebuah komuniti yang mampu mengekalkan nilai dan jati diri mereka. Bukannya mereka dipaksa dan disogok untuk belajar kesemua budaya dan bahasa asing pada masa mereka sendiri belum pulih sepenuhnya dari konflik di negara asal.

Krisis ini juga memberi amaran buat negara Islam yang lain tentang kepentingan mengambil langkah berhati-hati dalam menerima campur tangan kuasa asing. Sekali kedaulatan negara kita digadai, sampai ke akhir kesannya dapat dirasai oleh generasi demi generasi.

Perasaan ini yang saya dapat rasai tatkala saya bersembang dengan Rafaa, seorang pelarian Iraq. Di sudut hati kami tahu apa punca semua ini terjadi – hakikat dia di pusat pelarian, namun kami hanya mampu tamatkan bicara kami dengan diam, tanda sesal dengan perlakuan pemimpin hari ini.

 

 

Nur Hanis Mohamad Noor merupakan pelajar tahun akhir dalam bidang Genetik dan Sosiologi di Michigan State University, USA. Minat beliau yang mendalam dalam mendalami ilmu mengenai kepelbagaian manusia, mendorong beliau mengkajinya menurut ilmu sains dan juga sains sosial. Pengalaman beliau berinteraksi dan bekerja dengan pelbagai kaum dan bangsa, mendorong beliau untuk meneruskan aktivisme di peringkat global.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

China boleh membina pelantar nuklear untuk Laut China Selatan

Next Post

China menjadi sekutu strategik Israel, berikutan kekenduran hubungan dengan Amerika

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content