India dilamar AS dan China

india-china-us

Lamaran oleh China kepada India

  1. Walaupun kedua-dua negara ini mempunyai persaingan tersendiri dalam politik, namun terdapat beberapa perkembangan yang dapat kita lihat terutama hubungan dua hala antara China dan India. Contohnya, pada bulan Oktober 2013, China dan India telah menandatangani Border Defence Cooperation Agreement (BDCA). Perjanjian ini membicarakan tentang persetujuan untuk mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kejujuran antara kedua-dua negara di sepanjang sempadan China dan India. Ia juga merupakan sebuah perjanjian untuk mengukuhkan kerjasama di dalam hal ketenteraan sepanjang garis sempadan kedua-dua negara ini.
  2. Pada tahun 2014, China dan India sekali lagi menjalankan kerjasama, apabila mereka menandatangani The Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) bersama 18 negara ASEAN yang lain. Tujuan kerjasama ini dibuat tidak lain dan tidak bukan ialah untuk menandingi keupayaan World Bank. Bahkan, India telah dilantik untuk mengepalai BRICS Development Bank, yang berpangkalan di Shanghai bersama peruntukan awal sebanyak $50 billion. Pada tahun 2014 juga, Presiden China Xi Jinping telah melawat India pada bulan September, dan lawatan diplomasi ini telah dibalas kembali oleh Perdana Menteri India, Naredra Modi selama tiga hari di China.
  3. Perbincangan berkenaan new Silk Road Project dan Maritime Silk Road yang akan melalui empat buah negara yakni Bangladesh, China, India dan Myanmar (BCIM) masih di dalam perbincangan dan dalam proses untuk mendapatkan kata sepakat. Buat masa ini, China telah mengumumkan bahawa mereka bersedia menyediakan peruntukan sebanyak $40 billion untuk Silk Road Project. Sudah pasti, India tidak akan memisahkan diri mereka dari kerjasama ini, kerana impak yang sangat besar pasti dapat dirasai oleh India jika projek ini diteruskan terutama dari sudut perkembangan ekonomi.
  4. Jika kita melihat kepada perkembangan perdagangan di antara kedua-dua negara, pasti kita akan menjumpai sebuah perkembangan yang sangat memberangsangkan. Bermula pada tahun 2000-01, perdagangan India dengan China ialah sebanyak $2 billion. Kemudian pada tahun 2013-14, jumlah itu telah menjadi berlipat kali ganda yakni $65.86 billion. Potensi hebat ini dijangkakan berterusan dan dijangkakan bahawa pada tahun ini jumlah perdagangan India terhadap China akan mencecah $100 billion. Ini melambangkan perkembangan dan satu peluang yang sangat baik untuk pelabur dan pedagang dari kedua-dua negara untuk terus menjalankan kerjasama. Bahkan jika kita melihat dari sudut Foreign Direct Investment (FDI), jarak antara FDI di China dan India telah mengecil dari $108 billion kepada $82 billion. Jurang kecil ini jelas menunjukkan kerjasama yang baik di antara kedua-dua negara.
  5. Terdapat begitu banyak ruang dan peluang untuk kedua-dua negara ini menjalankan kerjasama, baik dari sudut pertanian, makanan, pengurusan asset, pembinaan, teknologi maklumat dan banyak lagi. India menjanjikan sebuah potensi market untuk pertanian manakala China pula menjanjikan peluang pasaran dalam bidang makanan terutamanya yang berasaskan susu. Antara perkembangan yang paling memberangsangkan di antara kedua-dua negara ialah melalui bidang farmasi. Sehingga hari ini, India merupakan pengimport bahan-bahan untuk membuat ubat dari China yang mencecah sehingga $3-4 billion setiap tahun. India ialah sebuah negara yang hebat dalam perkembangan formula khusus dalam penyediaan ubat-ubatan.
  6. Maka jelaslah disini, China berupaya untuk melamar India untuk terus menjalinkan kerjasama agar kedua-dua negara mampu mengapai kerjasama politik dan seterusnya meraih keuntungan dari sudut ekonomi (bilateral investment).

 

Lamaran oleh Amerika Syarikat (AS) kepada India

  1. Buat masa ini, boleh dikatakan bahawa pertembungan yang menakutkan di dunia sekarang ialah pertembungan di antara India dan Pakistan. Kedua-dua negara ini ialah negara yang mempunyai senjata nuklear (heavily-nuclear-armed). Dalam pertembungan dan krisis berpanjangan antara di kedua-dua negara ini, maka AS (White House) seperti biasa mula menyelinap masuk untuk memberi sokongan kepada India. Hal ini tidak lain dan tidak bukan ialah untuk mendapat sokongan dari India untuk berhadapan (counterweight) dengan China. Untuk makluman, buat masa ini, India memiliki 90-110 nuclear warheads sebaliknya Pakistan memiliki lebih 100-120 nuclear warheads. Inilah yang digeruni oleh masyarakat dunia.
  2. Pentadbiran Obama mahu menjalankan kerjasama dengan India untuk menyekat dan menahan perkembangan ketenteraan China yang pada saat ini dapat dilihat sebagai sebuah gerakan yang sangat ‘agresif’. Presiden Obama sendiri telah melawat India sebanyak dua kali untuk menjalinkan hubungan baik dengan Modi. Presiden Obama menyedari ruang ini untuk bekerjasama dengan India kerana dalam masa yang sama, China saat ini membekalkan Pakistan dengan sistem pertahanan. Dalam erti kata yang lain, China membantu Pakistan di laut, udara dan juga darat sepertimana AS membantu India.
  3. India sendiri pada saat ini berminat dengan ‘Electromagnetic Aircraft Launch System’ (EMALS) milik AS. India mengharap untuk mendapatkannya dan mereka pasti boleh mendapatkannya melihat kepada kerjasama yang cuba dijalinkan oleh AS dengan mereka. Dalam erti kata lain, India mahu membina ‘Aircraft Carrier’ milik mereka sendiri. Kerjasama dalam teknologi ketenteraan inilah yang mampu membuat India berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan AS sekaligus menyiapkan mereka untuk berhadapan Pakistan yang mendapat sokongan China. Untuk tenaga nuklear pula, India mencari dan berusaha mendapatkan kerjasama untuk membina ‘penjana nuklear’ untuk kegunaan rakyatnya. Hal ini jelas membuka ruang untuk White House dan Pertahanan AS untuk mengikat hubungan dua hala dengan India.

 

Kesimpulan

Meskipun pada saat ini kedua-dua negara yakni China dan AS masing-masing cuba menjalinkan hubungan baik dengan India, namun pastilah ianya bukan sesuatu yang mudah. Banyak faktor yang perlu dilihat terutamanya gerak langkah dari Rusia yang pada hari ini sedang berusaha kuat untuk meningkatkan pengaruh mereka di rantau Asia. Belum lagi kita mengambil kira pengaruh dan gesaan dari negara-negara lain seperti Jepun dan juga Korea.

Hakikatnya, semua akan terletak di tangan pemimpin negara-negara besar ini untuk membuat keputusan yang terbaik buat negara mereka. Masing-masing terikat antara satu sama lain dengan kepentingan yang pelbagai. Apakah satu hari nanti kita akan melihat India pula yang menjadi mangsa dek gesakan China dan AS terhadap mereka. Melamar kerana cinta atau harta, semuanya akan terjawab satu hari nanti.

 

Wan Mohd Juaini Najmi Bin Nawawi

Penganalisis IRIS

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Wartawan Dedah Kezaliman al-Sisi Ditahan

Next Post

FF3 : Marianne of Gothenburg dalam ‘tawanan’ Israel

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content