Beberapa laporan akhbar menyebut berkenaan Malaysia diumumkan sebagai negara pertama di ASEAN yang melancarkan infrastruktur strategik AI berdaulat. Dalam pelancaran itu, disebut bahawa semua data akan disimpan dalam negara, diurus oleh rakyat tempatan, dan digunakan untuk membangunkan kecerdasan buatan (AI) generatif nasional.
Secara asasnya, ini bukan langkah kecil. Ia satu kenyataan besar bahawa Malaysia tidak mahu ketinggalan dalam perlumbaan global AI. Malah, penggunaan istilah seperti “full-stack AI infrastructure”, “sovereign AI” dan “data localisation” menunjukkan adanya usaha serius dari pihak kerajaan untuk mengangkat keupayaan digital negara ke tahap yang lebih tinggi.
Ini penting kerana:
- Negara yang ketinggalan dalam AI hari ini akan jadi pengguna teknologi, bukan penentu hala tuju teknologi.
- Dunia sedang bergerak ke era di mana data adalah minyak baru, dan AI adalah mesin penapis kuasa.
- Kalau Malaysia tidak bertindak sekarang, kita mungkin akan terperangkap dalam kitaran bergantung selamanya.
Jadi apabila negara bercakap soal AI berdaulat, ramai yang melihatnya sebagai tanda kesungguhan Malaysia untuk berdikari, membina kekuatan sendiri, dan tidak mahu terus berada di bawah bayang-bayang kuasa teknologi global.
Itu satu niat yang sangat perlu dihargai.
Tetapi dalam mana-mana usaha besar, niat baik perlu diiringi dengan ketelusan, kejelasan, dan kesedaran penuh terhadap implikasi sebenar.
Sebab itu penting untuk kita melihat lebih dekat, apa sebenarnya yang berlaku.
Dalam pelancaran infrastruktur AI ini, disebut bahawa sistem tersebut akan “dibangunkan oleh rakyat Malaysia, dikawal oleh Malaysia, dan digunakan oleh rakyat Malaysia.”
Sekilas lalu, ia kelihatan meyakinkan.
Tetapi bila diteliti laporan oleh beberapa media tempatan dan antarabangsa, beberapa fakta mula terzahir dan di sinilah kebimbangan itu mula timbul.
Apa yang sebenarnya berlaku di sebalik tabir?
- Cip pemprosesan utama yang digunakan adalah Huawei Ascend —> produk dari China yang pada masa ini berada di bawah radar sekatan dan amaran keselamatan oleh Amerika Syarikat.
- Model AI yang diguna pakai ialah DeepSeek —> iaitu large language model (LLM) dari China, dan ini merupakan pelaksanaan pertama model tersebut di luar negara asalnya.
- Syarikat tempatan Skyvast berganding dengan Leadyo, firma dari China, dalam membina dan mengembangkan sistem ini, termasuk perancangan untuk 3,000 unit GPU menjelang tahun 2026.
- Dan yang lebih menarik, diumumkan juga penubuhan Malaysia–China Trusted Data Zone —> satu koridor data dua hala yang menghubungkan Cyberjaya dengan Shanghai, membolehkan aliran data rentas sempadan yang disebut sebagai “trusted and secure”.
Dari sini, kita perlu tanya secara jujur:
Kalau cipnya dari luar, modelnya dari luar, rakan teknologinya dari luar, dan datanya mengalir dalam sistem yang saling terhubung dengan luar… di manakah letaknya kedaulatan sebenar itu?
Boleh jadi server itu terletak di Malaysia. Tetapi adakah kita yang miliki sepenuhnya sistemnya, kodnya, parameter modelnya, dan cara ia ‘berfikir’?
Kedaulatan digital bukan hanya tentang lokasi fizikal.
Ia tentang siapa yang miliki, kawal, faham, dan boleh tutup suis bila perlu.
Jika kita hanya “host” atau “guna”, tetapi sistem logik dan teknologinya masih ditentukan oleh pihak luar, itu bukan berdaulat. Itu bergantung.
Dan pergantungan jenis ini, bukan sekadar teknikal. Ia membawa kesan besar kepada dasar, keselamatan, budaya, dan masa depan fikiran rakyat Malaysia sendiri. Dan ini kerisauan yang sebenar…
Untuk memahami sejauh mana “kedaulatan” itu benar-benar wujud, kita perlu melihat dengan teliti siapa yang sebenarnya membina, membekal, dan mengawal sistem AI negara kita ini.
Berikut senarai aktor utama yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan infrastruktur ini:
- Huawei – Pembekal Cip Pemprosesan GPU (Ascend)
- Huawei ialah syarikat teknologi gergasi dari China. Cip Ascend AI GPU yang digunakan dalam server Malaysia ini adalah cip yang kini sedang diawasi ketat oleh negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat, kerana dianggap mampu meningkatkan kapasiti AI negara-negara lawan secara strategik.
- Penggunaan cip Huawei bermaksud kita bergantung kepada teknologi asas dari China, dan bergantung bermakna:
- Kita tidak bebas untuk pindah keluar
- Kita tidak boleh audit keseluruhan sistem secara mandiri
- Kita mungkin akan terkesan jika berlaku sekatan eksport atau ketegangan geopolitik
- DeepSeek – Model Bahasa Besar (LLM) dari China
- DeepSeek adalah model kecerdasan buatan generatif seperti ChatGPT, dibina dan dikembangkan di China. Ia mungkin dilabel sebagai “open-source”, tapi realitinya:
- Dataset asal, parameter dan tuning datang dari luar
- Nilai dan struktur pemikiran model ini bukan dibentuk oleh rakyat Malaysia
- Kita sekadar menggunakan, mungkin mengubah suai sedikit, tetapi tidak membina dari kosong
- Soalannya — bolehkah AI ini benar-benar faham konteks, budaya, sensitiviti dan nilai identiti Melayu-Islam dalam negara kita? Atau ia hanya menyamar “tempatan” atas nama sahaja?
- DeepSeek adalah model kecerdasan buatan generatif seperti ChatGPT, dibina dan dikembangkan di China. Ia mungkin dilabel sebagai “open-source”, tapi realitinya:
- Skyvast – Operator Tempatan, Tapi Bersama Leadyo
- Skyvast ialah firma teknologi Malaysia yang bertanggungjawab mengurus pelaksanaan sistem ini. Tetapi mereka bekerjasama rapat dengan Leadyo Systems, syarikat dari China yang terlibat dalam pembangunan rantaian bekalan GPU, pengujian cip, dan perluasan sistem AI tempatan.
- Dalam erti lain, Skyvast adalah “pengendali” (yang mendapat laba yang besar) tetapi banyak komponen utama masih datang dari luar.
- Malaysia–China Trusted Data Zone
- Inilah antara elemen paling besar yang ramai mungkin terlepas pandang.
- Ia adalah satu koridor pemindahan data dua hala antara Cyberjaya (Malaysia) dan Shanghai (China) yang diumumkan secara rasmi semasa pelancaran.
- Fungsi koridor ini ialah:
- Menyokong pembangunan AI bersama
- Membolehkan inovasi bersama melalui platform digital
- Menghubungkan pusat data antara dua negara
- Namun, dari sudut kedaulatan, ini bermakna data strategik Malaysia berada dalam ekosistem yang boleh dicapai dari luar negara.
Siapa pegang kunci sebenar?
Dalam sistem ini, siapa yang boleh “tutup suis”? Siapa yang boleh mengudit kod? Siapa yang memiliki akses root?
Kalau semua itu berada di luar kawalan mutlak Malaysia, maka kita belum lagi berdaulat.
Kita mungkin sedang menumpang tapak yang bukan kita bina, menggerakkan sistem yang bukan kita cipta, dan menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada struktur yang bukan kita miliki.
Realitinya, ramai orang masih melihat data sebagai sekadar maklumat.. nombor, ayat, statistik. Tapi hari ini, data bukan sekadar maklumat. Data adalah kuasa. Lebih tepat lagi, sumber kepada kuasa.
Dan bila kita letakkan data ke dalam tangan AI, kita sebenarnya sedang membina mesin yang mampu mentafsir, membentuk dan mempengaruhi manusia.
Kenapa Data Itu Sangat Bernilai?
Data tahu siapa kita, apa yang kita fikir, bagaimana kita buat keputusan. Data boleh digunakan untuk:
- Meramal tingkah laku pengguna
- Mempengaruhi undi dan pilihan politik
- Membentuk cara kita melihat sesuatu isu
- Bahkan mengubah budaya dan nilai sesuatu bangsa
Bayangkan AI yang digunakan dalam sistem kerajaan, pendidikan, kesihatan, perbankan dan media, jika ia dibina berdasarkan dataset dan logik luar, maka cara ia memberi cadangan, maklumat, dan “fakta” juga mungkin tidak berpaksikan realiti tempatan.
AI dilihat akan menjadi ‘otak’ kedua negara. Hari ini kita guna AI untuk:
- Menulis dokumen
- Menjawab soalan
- Membuat keputusan pantas
- Meramal trend sosial dan ekonomi
Esok, AI akan digunakan untuk:
- Menentukan aliran bajet
- Menentukan polisi awam
- Menjadi penasihat dalam keselamatan dan pertahanan
- Bahkan mungkin satu hari nanti, digunakan untuk menapis berita dan naratif media nasional
Persoalannya, siapa yang “ajar” AI itu untuk berfikir? Dan dengan nilai siapa?
Kalau AI kita belajar daripada data yang tidak mencerminkan acuan kita, maka ia akan membentuk generasi yang tidak lagi mengikut hala tuju kita sendiri.
Jika AI adalah sebuah senjata, Maka data adalah pelurunya
Dan jika peluru itu datang dari luar, maka kita sedang membenarkan orang lain memegang senjata itu dalam rumah kita sendiri.
Inilah bentuk penjajahan baharu. Diam, terancang, bersih, tetapi sangat mendalam.
Kita tidak sedar pun. Tetapi sistem kita sedang berubah dari dalam.
Dan satu hari nanti, bila AI sudah terlalu dalam dalam pentadbiran dan kehidupan harian, kita tidak akan mampu mencabut plug lagi.
Kalau sebelum ini kita fikir AI hanya soal teknologi, data hanya soal kemudahan, dan kerjasama luar hanya soal ekonomi, kita perlu segera sedar bahawa isu ini jauh lebih besar.
Ini adalah isu kuasa nasional. Naratif perbincangan kuasa yang jarang dibincangkan, dan perlu diketengahkan perbincangan ini, dalam konteks teknologi AI.
- Bila kita tidak memegang sistem, kita tidak memegang kuasa
Sebuah negara boleh kelihatan maju secara fizikal. Bangunan tinggi, pusat data banyak dan canggih, infografik penuh jargon.
Tetapi jika:
- Kod sistem bukan milik kita,
- Model AI bukan kita yang cipta,
- Data negara bergerak dalam ekosistem luar,
Maka secara hakikatnya, kita hanya mengurus sistem milik orang lain dalam tanah sendiri.
- Kebergantungan teknologi menjadikan negara lemah secara strategik
Apa akan berlaku jika:
- Berlaku konflik geopolitik antara China dan AS?
- Huawei disekat eksportnya oleh sekutu Barat?
- DeepSeek ditarik balik atau dimanipulasi secara diam-diam?
Sistem kita akan lumpuh. Dan kita tidak akan mampu bertindak balas, kerana kita tidak miliki alternatif buatan sendiri.
- Data strategik dalam zon berkongsi?
Penubuhan Malaysia–China Trusted Data Zone bermakna kita membina saluran data dua hala secara rasmi. Ini bukan lagi soal cloud atau e-mel. Ini soal:
- Data pentadbiran negara
- Polisi dasar dan naratif kerajaan
- Maklumat rakyat dan sistem pengurusan kritikal
Kalau saluran ini dieksploitasi, disabotaj atau dimatikan. Apa pelan B kita?
- Minda rakyat mungkin tidak lagi dibentuk oleh sistem negara sendiri. Apabila AI mula terlibat dalam pendidikan, agama, sosial dan media, dan ia dibina atas acuan luar, rakyat akan belajar dan berfikir dalam sistem nilai luar, walaupun tubuh mereka masih di tanah air sendiri.
Ini bukan sekadar ancaman teknikal. Ini ancaman budaya, identiti, ethos, dan kesedaran nasional.
- Malaysia sebagai “Proxy Digital” kuasa besar?
Dengan pelaksanaan AI dari China, pelantar dari China, data dihubungkan ke China, dan perluasan GPU bersama firma China, kita mungkin tanpa sedar sedang memposisikan diri sebagai wakil digital bagi kuasa besar di Asia Tenggara.
Jika ini tidak diimbangi dengan keupayaan teknologi buatan sendiri, ia akan mengganggu:
- Dasar luar negara
- Perjanjian diplomatik
- Persepsi antarabangsa terhadap kedaulatan kita
Kedaulatan bukan tentang siapa duduk di kerusi pemerintahan. Ia tentang siapa yang kawal sistem di bawah kerusi itu.
Dan jika sistem itu dibina di tempat lain, diprogram oleh nilai luar, dan tidak boleh kita matikan bila perlu, maka kedaulatan itu hanya tinggal nama.
Jika benar kita mahu AI yang berdaulat, bukan sekadar dalam nama, maka kita perlu bergerak ke arah kedaulatan yang sebenar, bukan simbolik.
Kita perlu faham: Data adalah sumber kuasa nasional. Sama seperti minyak, gas, populasi, dan tanah, data adalah aset strategik negara.
Ia menggambarkan siapa rakyat kita, apa yang mereka fikir, ke mana arah mereka bergerak, dan bagaimana mereka boleh dipandu… atau dimanipulasi.
Tetapi data sendiri tidak cukup. Kita perlukan AI untuk memproses data itu, menafsir, dan membentuk strategi daripada maklumat.
Itulah kuasa sebenar AI:
AI adalah senjata pemprosesan sumber kuasa negara.
Dan bila AI itu dibina sendiri, dilatih sendiri, dan digunakan atas kerangka nilai sendiri, barulah ia menjadi pemerkasa, bukan pengganti.
Gambaran terhadap apa yang sepatutnya… Bayangkan senario ini:
Malaysia membina model AI generatifnya sendiri, dilatih dari ratusan juta dokumen dan data dalam Bahasa Melayu, Jawi, Arab, serta Bahasa Inggeris tempatan. Model ini dinamakan “MALAYSIA-UNGGUL-LLM”, dan ia memahami konteks budaya kita, sejarah kita, istilah agama kita, sensitiviti kaum kita, dan dinamika sosial kita.
Sistem ini beroperasi dalam pusat data negara yang dibina oleh jurutera tempatan, menggunakan cip yang dibangunkan bersama dengan universiti penyelidikan dalam negara, walaupun sederhana, tapi milik kita sepenuhnya.
AI ini digunakan untuk bantu kementerian membuat keputusan dasar, membantu mufti dan pendakwah menjawab soalan agama, membantu guru menyesuaikan modul pengajaran ikut tahap pelajar, dan membantu usahawan kecil memahami pasaran.
Semua ini berlaku tanpa perlu keluar dari ekosistem Malaysia.
Tiada kod yang dibina di luar. Tiada model yang dilatih oleh tangan yang kita tidak kenal.
Tiada saluran data yang bersambung ke mana-mana negara luar.
Segala audit dilakukan oleh Majlis AI Negara yang bebas, telus dan berpandukan Perlembagaan serta nilai Islam & budaya Nusantara.
Idealistik? Mungkin.
Tapi mustahil? Tidak.
Kalau negara lain boleh bangunkan AI mereka sendiri, kenapa tidak kita?
Kita tidak kekurangan bakat. Kita hanya kurang keberanian dan iltizam, kurang perancangan.
Dan kita terlalu cepat merasa cukup hanya kerana kita “disebut pertama di ASEAN”.
Maka, apa yang perlu dilakukan sekarang?
- Audit terbuka terhadap semua sistem dan kerjasama luar yang melibatkan data strategik negara.
- Dasar AI Nasional yang bukan sekadar teknologi, tapi berpaksikan budaya, nilai, dan kedaulatan sebenar.
- Pelaburan besar-besaran dalam R&D AI tempatan, termasuk pembangunan LLM sendiri.
- Latihan dan pembangunan jurutera AI muda, bukan sekadar operator atau pengguna.
- Perlindungan undang-undang ke atas data rakyat yang digunakan dalam model-model AI.
- Pembentukan Majlis Etika AI, bebas daripada pengaruh politik atau korporat luar.
Kita bukan anti teknologi. Kita bukan anti China, atau anti mana-mana negara.
Kita hanya mahu Malaysia miliki otaknya sendiri.
Sebab dalam dunia ini, negara yang tidak miliki data sendiri, model sendiri, dan nilai sendiri, akan hidup dalam sistem milik orang lain.
Dan sistem itu…
boleh senyap-senyap membentuk kita menjadi apa yang mereka mahu, bukan apa yang kita mahu jadi.
Wallahualam.
Qamarul Nazrin
Pensyarah Fakulti Sains Maklumat, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor
*Penulisan asal ini telah disiarkan terlebih dahulu di Facebook rasmi penulis.