Konflik Laut China Selatan: Bukti Sejarah Melayu Champa Kuasai Perairan

Kemaskini | 9:30AM (4 Jun 2019)

Menara kerajaan Champa di Nha Trang, Vietnam dibina antara kurun ke-7 dan 12 (sumber: NatGeo)

Selama berkurun lamanya Laut China Selatan dikenali sebagai Laut Champa oleh pelayar di Asia. Laut Champa diberi nama sempena kehebatan kerajaan Melayu Champa yang menguasai keseluruhan kawasan pusat Vietnam, dari sempadan utara daerah Quang Binh hingga sempadan selatan daerah Binh Thuan. Masyarakat Cham yang bertutur dalam bahasa Malayo-Polynesian dipercayai berasal dari Borneo dan tiba di Vietnam melalui jalan laut. 

Konflik Laut China Selatan

Konflik tuntutan hak ke atas Laut China Selatan kembali memuncak pertengahan tahun ini apabila China bertindak mengerahkan syarikat gali minyak miliknya  ke kawasan selatan Paracel Islands yang turut dituntut oleh Vietnam.

Kawasan yang menjadi pertikaian dalam konflik ini merupakan kepulauan Spartly dan Paracesl yang menjadi kawasan pusat bagi perairan Laut China Selatan. Kepulauan tersebut turut menjadi rebutan China, Vietnam, Taiwan, Malaysia, Brunei dan Filipina.

Walaubagaimanapun, konflik perebutan yang berlaku antara China dan Vietnam menjadi tumpuan utama dalam isu ini. Hal ini berikutan kedua-dua negara menggunakan sejarah mereka yang mempunyai kaitan dengan kepulauan tersebut bagi mendapatkan hak yang dituntut. China menggunakan hujah mereka berdasarkan sejarah Dinasti Han (200 B.C sehingga A.D. 220), manakala Vietnam yang mempunyai penduduk dari etnik minoriti Melayu Cham seramai 160,000 orang, menggunakan hujah sejarah kerajaan Melayu Champa bagi menuntut perairan tersebut.

Kepulauan Spartly dan Paracels yang menjadi rebutan

Asal-usul Masyarakat Melayu Cham

Masyarakat Melayu Cham yang bertutur dalam bahasa Malayo-Polynesian dipercayai tiba di Vietnam dari Borneo melalui jalan laut. Kebanyakan pakar sejarah berpendapat bahawa masyarakat melayu Cham merupakan generasi dari keturunan Sa Huynh yang menduduki kawasan tersebut sekitar 1000 B.C. sehingga kurun kedua A.D. ketika kebudayaan Cham mula dikenali.

Peninggalan masyarakat Sa Huynh telah dijumpai sejauh Taiwan, Filipina dan Malaysia yang jelas menunjukkan bahawa masyarakat tersebut aktif dalam aktiviti pelayaran dan perdagangan. Malah mereka mengadakan pusat aktiviti di sekitar kawasan yang dikenali pada ketika itu sebagai Laut Champa.

Arca ukiran masyarakat Cham di Vietnam

Bukti aktiviti pelayaran masyarakat Cham sekitar kepulauan Spartly

Empayar Melayu Champa mempunyai jaringan perdagangan yang begitu luas sehingga menjangkau ke negara China, Taiwan, Jepun dan selatan Malaysia dan Indonesia.

Sumber kekayaan mereka terdiri daripada barangan emas, perak, permata, gaharu dan haiwan eksotik. Malah hasil perdagangan mereka didagang sehingga ke India, Timur Tengah dan juga Afrika Utara.

Beberapa bangkai kapal turut menjadi bukti wujudnya perdagangan antara Champa dan Filipina melalui kepulauan Spartly. Salah satu daripada kapal tersebut dijumpai di Kepulauan Palawan di Filipina – dipercayai telah berlepas dari perairan Champa sekitar tahun 1450 sehingga 1470 yang membawa barangan seramik hijau buatan kerajaan Cham Vijaya.

Pada tahun 1997, kerajaan Filipina telah menyelamatkan sebuah kapal purba yang berusia berabad tahun di Pulau Thitu di Kepulauan Spartly. Kapal tersebut mengandungi ribuan ukiran granit yang dipercayai berasal dari kerajaan Champa.

Bangunan peninggalan kerajaan Champa

Sejauh mana sejarah Melayu Champa digunakan sebagai hujah oleh kerajaan Vietnam?

Bukti kukuh yang menunjukkan pengaruh kuat kerajaan Melayu Champa di Laut China Selatan jelas mampu dijadikan hujah bagi pihak kerajaan Vietnam bagi menuntut perairan tersebut. Namun, sehingga kini kerajaan Vietnam enggan menguar-uarkan sejarah empayar tersebut malah menolak sejarah Champa bagi dijadikan hujah.

Persoalan ini dapat dijelaskan berikutan hubungan sensitif kerajaan Vietnam dan kumpulan minoriti Melayu Cham yang sudah lama menjadi isu. Pada tahun 2001 dan 2004, protes besar-besaran telah dilakukan bagi menentang kezaliman pihak kerajaan ke atas kaum minoriti tersebut. Malah tapak warisan empayar Champa telah ditutup kepada pelancong.

Walaupun kini masyarakat Melayu Cham dianggap sebagai rakyat Vietnam, namun mereka hakikatnya merupakan sebuah bangsa yang dijajah. Sekiranya mereka menimbulkan semula isu sejarah kedaulatan empayar Champa bagi menuntut perairan Laut China Selatan dan menuntut kuasa autonomi mereka dikembalikan, ini pasti akan menimbulkan konflik bagi kerajaan Vietnam.

Berikutan konflik dalaman yang berlaku antara kerajaan Vietnam dan masyarakat minoriti Melayu Cham, akhirnya tuntutan sejarah empayar Melayu Champa gagal dibangkitkan, seterusnya memberi peluang bagi China untuk mengambil kesempatan menuntut hak ke atas perairan yang kini dikenali sebagai Laut China Selatan yang hakikatnya dahulu merupakan Laut Champa.

Ringkasan oleh:

Nur Hanis Mohamad Noor
Editor Fokus

Sumber: NatGeo

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Israel Merobohkan 15 Buah Rumah Palestin di Ramallah, Tebing Barat

Next Post

Lima Kapal Perang China Dikesan Beroperasi di Laut Berring, Alaska.

Related Posts

Tragedi Orkim Harmony: Kronologi dan Analisa Strategik Selat Melaka

11 Jun 2015 – Kapal tangki MT Orkim Harmony terputus komunikasi dengan pangkalan pada 8.57 malam di Timur Tanjung Sedili, Kota Tinggi di Johor. Tiada panggilan kecemasan yang diterima daripada kapal itu. 14 Jun 2015 – Pusat Laporan Kegiatan Melanun Biro Maritim Antarabangsa (IMB) mengesahkan menerima laporan mengenai sebuah kapal tangki membawa petrol RON95 anggaran 6,000 tan metrik dalam pelayaran dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan hilang di kedudukan 30 batu nautika timur.
Read More

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content