Selepas beberapa tahun ketidaksefahaman yang berlaku antara Amerika Syarikat (AS) dan Turki, akhirnya mereka ‘bersepakat’ melakukan persiapan untuk berperang bersama di Syria. Berita mengejutkan yang diumumkan minggu lalu oleh kerajaan Turki bahawa mereka akan membuka kawasan udara di sebelah selatan bagi tentera udara AS menjalankan serangan ke atas kumpulan Islamic State (IS).
Tentera udara Turki juga telah memulakan serang ke atas IS pada 24 Julai lalu dengan membedil 3 kumpulan di sempadan Syria. Washington dan Ankara telah mensasarkan serangan mereka menghapuskan kumpulan pengganas IS yang menguasai kawasan sempadan Turki. Kerajaan Turki berkata kepada New York Times bahawa “zon selamat” telah diwujudkan bagi mengasingkan penduduk Syria ke zon tersebut.
Ankara bakal berdepan dengan ancaman yang lebih luas jika tidak bersikap terbuka dengan Obama dalam menentukan polisi keselamatan negara di sempadan Syria. Namun begitu, kedua-dua negara tersebut mempunyai ancaman yang berbeza iaitu bagi Washington, pengganas IS merupakan ancaman buat mereka. Manakala Ankara pula menyifatkan rejim Presiden Bashar al-Assad di Damascus sebagai ancaman mereka.
Terdapat tiga sebab utama Ankara mengubah pendirian mereka :-
- Hubungan Turki dan AS yang semakin merosot.
- Ankara dikejutkan dengan kerjasama AS dan Kurdi Syria yang semakin meningkat dari hari ke hari.
- Turki sedar bahawa IS merupakan sebuah entiti yang juga merupakan ancaman bagi keselamatan mereka.
Kesan daripada keputusan yang dibuat ini, meskipun hubungan yang dibuat antara AS dan Turki terjalin, namun masih di tahap yang kurang memuaskan. Presiden Barack Obama telah membuat kritikan secara terbuka tentang kurangnya inisiatif Turki dalam melawan IS dan dasar buka pintu Turki yang membenarkan ‘jihadist’ dari seluruh negara untuk melalui Turki bagi meneruskan perjalanan ke Syria. Penolakan kerjasama dengan anti-IS mengakses Pangkalan Udara Incirlik di selatan Turki, yang terletak hanya 60 batu dari sempadan Syria, AS perlu menggunakan jalan di Teluk Parsi atau dari Mediterranean yang menyukarkan lagi respon menentang pihak musuh.
Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan dan pihak media memandang rendah dan tidak begitu selesa dengan polisi Obama di Syria. Hal ini kerana melihat kepada sokongan AS ke atas pemberontak YPD yang akhirnya mengancam keselamatan di sempadan Turki.
Pada tahun 2014, AS telah membuat keputusan untuk datang bagi memberi pertolongan kepada Kurdi di Syria yang dikelilingi IS di bandar Kobani, Erdogan menerpa dengan persoalan “Ada apa di Kobani, minyak? Emas? Permata?”- Erdogan melihat langkah dan polisi AS ini cukup mencurigakan.
Turki dalam dilemma
Namun begitu, keputusan AS dalam menyokong kumpulan Kurdi Syria dan bekerjasama dalam menentang kumpulan IS menyebabkan Turki terpaksa memikir kembali tentang polisi mereka bagi menolak kerjasama dengan AS. Dengan kekuatan kumpulan Kurdi Syria, ditambah dengan sokongan tentera udara AS, pastinya memberi kelebihan untuk menghadapi pengganas IS. Namun begitu, Turki menilai bahawa hubungan AS dengan Kurdi Syria ini dari sudut yang berbeza kerana Turki mempunyai pengalaman buruk dengan kumpulan itu sejak 3 dekad lalu.
Democratic Union Party (PYD) yang dinaungi oleh bangsa Kurdi Syria mewakili 10-12 peratus populasi dan tanah mereka pula terletak berhampiran sempadan Turki. PYD juga merupakan kesan pembentukan kumpulan pemberontak Kurdi di Turki iaitu Kurdistan Workers’ Party (PKK). PKK telah diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Ankara dan Washington di mana kumpulan tersebut telah menentang Turki sejak 1984. PYD pula dianggap sebagai kumpulan pengganas oleh Turki namun tidak bagi Washington. Disebabkan kerjasama yang terbentuk antara Turki dan AS, Ankara telah membentuk perisai di sekitar kawasan utara perkampungan Syria yang dikuasi oleh PYD.
Turki tetap bertegas memerangi keganasan
Kerajaan Turki dilihat sedang mencari jalan bagi menyelesaikan isu Kurdi secara aman. Namun begitu, pertembungan antara pembangunan Syria, penolakan bantuan oleh Turki terhadap Kurdi Syria di Kobani dan situasi pahit semasa kempen pilihanraya umum Jun lepas telah menyebabkan langkah solusi ini menemui jalan buntu. PKK pula semakin mengeruhkan keadaan apabila membunuh dua orang pegawai polis semasa serangan balas yang tercetus akibat daripada pengeboman yang berlaku di Suruc.
Kesan daripada itu, kerajaan Turki telah melancarkan kempen anti-keganasan di seluruh negara bagi menangkap aktivis-aktivis Kurdi. Konflik ini berlaku secara berterusan dan memuncak pada 28 Julai, di mana Erdogan telah menarik balik rundingan yang ingin dilakukan secara damai dengan ahli PKK yang dikenali sebagai “proses kemanan” dengan mengatakan bahawa perkara ini adalah sesuatu yang mustahil dan merancang untuk melakukan serangan ke atas mereka.
Turki, yang sedang menghadapi ancaman domestik dari golongan minoriti Kurdi, termasuk ancaman PYD di utara Syria dan keinginan mereka untuk membentuk wilayah autonomi di sempadan Turki.
Kerjasama AS dan PYD
Kerjasama antara AS dan Kurdi Syria sudah melebihi luar jangkaan Turki. Bukan sahaja AS mula bertindak sebagai ‘tentera udara’ PYD, malah AS juga bergabung dengan pejuang PYD bagi menentang IS. AS juga menjemput PYD bagi mengadakan pertemuan di utara bandar Erbil, Iraq. Tiada pernah mana-mana kumpulan Syria yang pernah menerima keistimewaan seperti itu sebelum ini. Turki, dalam kata lainnya menjadi pemerhati bagi strategi penggabungan Syria ini.
Polisi berubah demi keselamatan Turki
Sebab utama perubahan polisi Turki adalah kerana Washington. ‘Pakatan’ tersebut terbentuk bagi menjernihkan hubungan AS-Turki, di samping menyekat lagi penerusan kerjasama AS-PYD. Turki berharap supaya Washington menganggap Ankara lebih penting berbanding pemberontak Kurdi Syria.
Kedua-dua isu Syria dan Kurdi memberi impak yang besar kepada Turki. Negara itu sekarang sedang menghadapi risiko diserang pengganas IS, yang mungkin akan membuat serangan balas kepada kerajaan Turki dan juga menyebabkan keselamatan populasi Kurdi terancam. Pastinya, strategi kompleks Erdogan ini yang menjalinkan hubungan dengan AS di samping berdepan dengan pemberontak Kurdi Syria mahupun di Turki, akan diuji dengan dahsyat, dan mungkin juga akan semakin ganas di masa akan datang.
Susunan : Khadijah Hanim Zulhaimi
Sumber : FP