Kontrak PMTK Malaysia Merosot 14.5 peratus kepada RM281.1 bilion pada 2020 – Perangkaan

KUALA LUMPUR, 26 Julai — Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia, komponen kedua terbesar dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) dengan sumbangan 20.9 peratus daripada keseluruhan ekonomi, menguncup 14.5 peratus kepada RM281.1 bilion (harga malar) pada tahun lepas berbanding 2019, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penguncupan itu khususnya disebabkan kesan daripada pandemik COVID-19 yang telah mempengaruhi pelaburan aset tetap bagi semua aktiviti ekonomi.

“Kejatuhan pada 2020 merupakan penyusutan terbesar sejak Krisis Kewangan Asia 1998 yang mana PMTK menyusut 43 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata senario kemerosotan PMTK ini turut dialami oleh ekonomi utama dunia dan negara serantau termasuk Singapura, Thailand dan Indonesia.

Mohd Uzir berkata pengurangan yang berterusan dalam pelaburan aset tetap akan mendorong kepada kapasiti pengeluaran yang lebih rendah pada masa hadapan dan seterusnya mengganggu pertumbuhan potensi output.

“Mengikut jenis aktiviti ekonomi, PMTK bagi sektor perkhidmatan menyusut kepada 12.5 peratus berbanding 1.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata penyusutan dalam sektor ini dipengaruhi oleh pengangkutan dan penyimpanan dan maklumat dan komunikasi yang merosot 24.9 peratus dan negatif 10.9 peratus bagi kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan.

“PMTK bagi sektor pembuatan menurun 17.1 peratus berbanding kejatuhan 10 peratus pada tahun sebelumnya,” kata Mohd Uzir.

Beliau berkata prestasi lemah bagi sektor ini disebabkan oleh produk petroleum, kimia, getah dan plastik yang jatuh 24.4 peratus.

Katanya produk elektrik, elektronik dan optikal dan peralatan pengangkutan turut memperlahankan prestasi keseluruhan sektor pembuatan yang menyusut 17.2 peratus.

Beliau berkata produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka dan produk tekstil dan kayu masing-masing menguncup 15.1 peratus dan 7.8 peratus.

“Pada 2020, PMTK bagi sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 25.4 peratus daripada penurunan 9.3 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

“Sektor pembinaan turut jatuh 2.2 peratus, lebih rendah berbanding kejatuhan 1.3 peratus pada tahun sebelumnya, manakala sektor pertanian menguncup 8.8 peratus berbanding 0.1 peratus pada 2019 disebabkan prestasi yang lemah bagi kesemua subsektor,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, melihat kepada jenis aset, struktur kekal sebagai penyumbang utama kepada PMTK dengan sumbangan 55.9 peratus, merosot 18.3 peratus pada 2020 berbanding tahun lepas.

Menurutnya peralatan ICT dan lain-lain jentera dan peralatan menyusut sebanyak 8.9 peratus, manakala produk harta intelek bertumbuh marginal 0.6 peratus.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata sektor swasta kekal sebagai penyumbang utama kepada PMTK dengan sumbangan 74.9 peratus, menyusut 11.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Katanya sektor awam yang menyumbang 25.1 peratus turut menunjukkan trend menurun yang serupa dengan mencatatkan penurunan 21.3 peratus pada 2020.

“Aktiviti perkhidmatan dan pembuatan merupakan penyumbang utama PMTK bagi sektor swasta. Sumbangan aktiviti perkhidmatan meningkat kepada 62.9 peratus manakala aktiviti pembuatan mengekalkan kedudukan sebagai penyumbang kedua terbesar dengan sumbangan 20.9 peratus.

“Aktiviti-aktiviti lain menyumbang 16.2 peratus kepada jumlah PMTK sektor swasta,” katanya.

Beliau berkata sebahagian besar PMTK sektor awam didominasi oleh aktiviti perkhidmatan dengan sumbangan 80.6 peratus. Ini diikuti aktiviti perlombongan dan pengkuarian dan pembuatan masing-masing dengan sumbangan 10.7 peratus dan 7.9 peratus.

Menurut Mohd Uzir, trend pemulihan PMTK dijangka bermula pada 2021.
— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Polisi Sumber Mineral Negara Masih Guna Model Legasi Kolonial?

Next Post

5,527 kes Macau Scam direkodkan sepanjang tahun 2019 dengan kerugian mencecah RM327.9 juta

Related Posts
Skip to content