KUALA LUMPUR, 6 Sept — Lazada Malaysia dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mahu mempercepatkan pendigitalan di kalangan petani dan sektor pertanian secara keseluruhan melalui program ‘Onboarding’ Produk Agromakanan di Platform e-Dagang.
Inisiatif perintis itu, yang disokong oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), akan menyaksikan ratusan petani tempatan mengorak langkah digital mereka melalui platform e-dagang Lazada, kata organisasi berkenaan dalam satu kenyataan bersama.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada payung Inisiatif E-dagang Belanjawan 2021 MDEC.
FAMA, yang akan menghubungkan rangkaian petani ke platform itu telah menetapkan sasaran penjualan sebanyak RM1.5 juta, yang akan memberi manfaat kepada 121 pengusaha berdaftar FAMA dan melibatkan sekitar 600 unit penyimpanan stok, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) FAMA Datuk Mohamad Mustahapa Awang.
“Program ini kemudian akan diperluaskan kepada lebih daripada 50,705 pengusaha di jaringan FAMA. Selain itu, FAMA semakin mencapai matlamat untuk memudahkan usaha pendigitalan usahawan bagi meningkatkan pendapatan melalui platform dalam talian sejajar dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Malaysia Magnus Ekbom berkata platform e-dagang itu akan menyediakan usahawan terlibat dengan akses ke Universiti Lazada, yang bertujuan membantu menyediakan kedai digital mereka, termasuk laluan kepada pelbagai peralatan digital untuk mengoperasi dan meningkatkan keupayaan jualan digital mereka
Tinjauan oleh Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) mendapati bahawa 91 peratus petani tempatan menghadapi kesukaran menjual produk pertanian mereka pada peringkat awal Perintah Kawalan Pergerakan pada 2020, kata kenyataan itu.
— BERNAMA