KUALA LUMPUR– Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM) melancarkan Dana MAMG All-China Focus Equity yang memberi peluang pelaburan dalam semua kelas ekuiti di China.
Selaku wholesale feeder, dana ini akan melabur dalam Dana Wellington All-China Focus Equity (Dana Sasaran).
Ketua Pegawai Eksekutif MAM, Ahmad Najib Nazlan berkata, dana ini merupakan peluang terbaik bagi para pelabur yang ingin melabur dalam ekonomi China yang sedang berkembang pesat.
“China telah mencatat rekod pertumbuhan Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) sebanyak 18.3%, setahun selepas pandemik. Pelabur asing juga telah beralih fokus dan tetap positif terhadap China kerana kedua-dua Amerika Syarikat (AS) dan China menjadi enjin kembar untuk pemulihan ekonomi global.
“Antara faktor di sebalik ketahanan China merangkumi kecairan dan aliran masuk modal yang banyak, dengan bertunjangkan pelaburan dalam bidang perubahan transformasi seperti teknologi, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.
Dana Sasaran ditubuhkan di Ireland dan diuruskan oleh Wellington Management Hong Kong Limited.
Bagi mencapai objektif pelaburannya, dana pelaburan yang diperkenalkan oleh MAM akan melaburkan minimum 90% dari nilai aset bersih (NAB) ke dalam Dana Sasaran dan maksimum 10% daripada NAB Dana ke dalam instrumen pasaran wang, deposit dan / atau aset cair.
Tambah Ahmad Najib, keunikan dana tersebut ialah pendekatan strategi pelaburan All-China yang meluas.
Ini bermakna pelabur mempunyai kemudahan akses ke senarai ekuiti global China, onshore mahupun offshore; dan merangkumi semua sektor industri dan permodalan pasaran untuk menemukan stok paling bernilai, yang terdapat dalam beberapa kelas saham (A, B, H, S & ADR).
“Kami akan memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat yang berkualiti tinggi dengan rekod tadbir urus yang kukuh dan memilih khusus saham berprestasi tinggi terbaik untuk pelabur-pelabur kami.
“Kami berbesar hati atas kerjasama dua pihak bersama Wellington Management Hong Kong, yang merupakan pengurus aset bertaraf global dan diberi peluang untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat ekonomi China,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan dan Pengurus Portfolio Wellington Management, Bo Meunier berkata, walaupun perutukan aset hanya merangkumi ekuiti di China, tetapi ia mampu menawarkan potensi pulangan yang lumayan malah meningkatan kepelbagaian portfolio pelaburan para pelabur.
Pada akhir tahun 2020, katanya, China merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia, menyumbang lebih 17% daripada KDNK dunia dan pasaran ekuiti negara itu adalah yang kedua terbesar dari segi permodalan pasaran jika digabungkan bursa saham Shanghai, Shenzhen dan Hong Kong.
Dana ini sesuai untuk para pelabur sophisticated yang mencari pulangan jangka panjang dan mempunyai toleransi yang tinggi terhadap risiko.
Mata wang asas dana ini adalah dalam dolar Amerika Syarikat (AS$).
Dana ini ditawarkan dalam tiga kelas mata wang, iaitu Kelas USD, Kelas MYR dan Kelas Lindung Nilai MYR.
Jumlah pelaburan minimum adalah AS$1,000 untuk semua kelas mata wang yang disenaraikan. – DagangNews.com