Indonesia Umum Insentif Untuk Pelabur di Nusantara

Sumber: Financial Times

Indonesia telah mengumumkan pelbagai insentif baharu untuk firma antarabangsa melabur dalam usaha mempercepatkan pembinaan bandar itu. Nusantara, seperti yang diketahui, kini sedang dibina di wilayah Kalimantan Timur di pulau Borneo, di tengah-tengah kedudukan geografi kepulauan Indonesia.

Menurut dasar baharu yang telah diumumkan pada 6 Mac lalu, kerajaan akan menyediakan sehingga 100 peratus pelepasan cukai korporat untuk syarikat yang melabur sekurang-kurangnya 10 bilion rupiah ($650,745) di ibu negara tersebut. Pelepasan cukai ini akan dilaksanakan antara 10 sehingga 30 tahun bergantung kepada sektor, dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2035 bagi syarikat yang terlibat dalam penubuhan infrastruktur dan perkhidmatan awam di Nusantara.

Seperti yang dilaporkan oleh Reuters, “Pemotongan cukai juga akan diberikan kepada syarikat asing yang memindahkan ibu pejabat mereka ke Nusantara dan firma kewangan yang ditubuhkan di zon kewangannya. Antara insentif lain adalah kos R&D akan ditolak cukai, manakala cukai import ke atas barangan modal akan dikecualikan”.

Indonesia memulakan pembinaan ibu kota baharu itu pada pertengahan tahun 2022, dan projek itu berdiri sebagai monumen kepada legasi Presiden Joko Widodo, yang dalam tempoh perkhidmatannya banyak memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi domestik.

Ibu kota baharu itu bakal menggantikan Jakarta, sebuah megalopolis dengan jumlah populasi sebanyak 10.5 juta yang menyebabkan kesesakan dengan pencemaran udara, serta kedudukan yang semakin tenggelam ke Laut Jawa. Kerajaan Indonesia mengatakan bahawa Nusantara akan dibina berdasarkan prinsip mampan dan dijana oleh tenaga boleh diperbaharui. Walaupun pencinta alam sekitar mendakwa bahawa pembinaan bandar di hutan belantara Kalimantan Timur akan mengakibatkan pembalakan di kawasan hutan hujan tropika yang masih asli di Asia.

Semasa lawatan media ke tapak pembinaan di Kalimantan minggu ini, Bambang Susantono memberitahu pemberita bahawa Indonesia secara rasmi akan mengisytiharkan bandar itu sebagai ibu kota baharunya pada pertengahan tahun 2024. Malah, kerajaan sebelum ini telah mengisytiharkan hasratnya untuk mempersiapkan ibu kota itu menjelang 17 Ogos tahun depan bersempena hari kemerdekaan Indonesia. Dilaporkan bahawa infrastruktur bandar itu kini telah siap 14 peratus.

Memandangkan kerajaan Indonesia hanya mampu menampung satu per lima daripada anggaran kos $34 bilion untuk pembinaan ibu negara tersebut, keupayaan Indonesia untuk “menjual” projek itu kepada pelabur asing adalah sangat penting.

Insentif itu pertama kali disiarkan oleh kerajaan pada Oktober, apabila Bambang Susantono, pengerusi Nusantara National Capital Authority, berkata projek $34 bilion itu menawarkan “peluang seumur hidup” untuk pelabur.

Sumber: Bloomberg

Namun projek itu berada dalam keadaan yang tidak menentu, dengan pilihan raya pada Februari tahun hadapan yang akan menamatkan tempoh perkhidmatan Jokowi. Lantaran itu, beberapa orang bakal pelabur telah mempersoalkan sama ada pengganti Jokowi akan menyokong projek berbilion dolar itu.

Seperti yang telah dilaporkan Reuters, tinjauan terhadap 170 pakar yang dijalankan pada Jun lalu oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Jakarta mendapati hampir 59 peratus tidak pasti bahawa ibu kota baharu itu akan dibina, berikutan ketidakpastian dalam pembiayaan dan pengurusannya.

Bambang minggu ini mengetepikan kebimbangan tersebut dan telah menyatakan bahawa projek itu akan diteruskan seperti yang dirancang, tidak kira siapa yang akan dipilih Februari tahun hadapan. Oleh itu, terdapat kemungkinan besar projek Nusantara akan diteruskan, tetapi kerajaan perlu memperkenalkan insentif yang begitu bernilai untuk menarik pelabur.

Sumber: The Diplomat

Terjemahan oleh:
Hanis Noor
Ketua Editor Fokus

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Mengapa China Membantu Arab Saudi dan Iran dalam Hubungan Diplomatik?

Next Post

Tiga Memorandum Ditandatangani Sewaktu Kunjungan Anwar Ibrahim Ke Arab Saudi

Related Posts
Skip to content