Prof. Mohammed Ayoob merupakan University Distinguished Professor Emeritus International Relations di Michigan State University, USA. Beliau merupakan seorang pakar analisis tentang konflik dan isu keselamatan negara Dunia Ketiga, dan hasil tulisan beliau merangkumi analisis-analisis berkenaan Asia Selatan, Timur Tengah, Teluk Parsi dan Asia Tenggara. Beliau juga turut mengkaji, mengajar serta menulis tentang pertembungan agama dan politik dalam Dunia Islam.
Pada 6 Oktober yang lalu, wartawan FOCUS telah menemui beliau dalam satu sesi perbincangan mengenai konflik yang berlaku di Timur Tengah yang berlaku sejak dahulu, dan apa kaitannya dengan campur tangan kuasa Barat. Seterusnya bagi mencari jalan penyelesaian bagi masalah yang berlaku. Sesi perbincangan yang bertajuk “Elucidating conflict structures in the middle East: Separating the grain from the chaff” ini berlangsung di Michigan State University, USA.
Berikut merupakan antara intipati perbincangan:
1. Kesan pencerobohan Amerika Syarikat di Timur Tengah
Walaupun keadaan di Timur Tengah bergolak sejak tamatnya Perang Dunia Kedua, tetapi keadaan bertambah teruk sejak pencerobohan yang dilakukan Amerika Syarikat ke atas Iraq pada tahun 2003. Malah, pencerobohan itu telah mengakibatkan keruntuhan struktur negara Iraq selepas terjatuhnya rejim Baath. Lokasi Iraq yang berada di tengah-tengah Timur Tengah juga menjadi sebab mengapa sebarang serangan ke atas struktur politik negara itu mampu memberi kesan kepada Timur Tengah.
Kesan daripada pencerobohan Amerika Syarikat ke atas Iraq yang akhirnya berjaya memecahbelahkan negara terbabit menjurus kepada beberapa permasalahan yang lain. Ini termasuk perselisihan antara Sunni dan Syiah, dan persengketaan antara bangsa Arab dan Parsi. Kesemua ini menyumbang kepada pertembungan negara Timur Tengah yang paling kritikal yang berlaku antara Arab Saudi dan Iran yang menjadi kuasa penentu kestabilan di rantau tersebut.
Berikutan pemecahan negara Iraq, Amerika Syarikat turut berjaya menghasilkan fenomena radikalisme dan ekstremisme di Timur Tengah. Antara cara mereka adalah dengan menghancurkan kuasa negara dan menghasilkan ruang vakum dalam politik negara terbabit yang akhirnya akan diisi oleh kumpulan-kumpulan pengganas seperti al-Qaeda dan ISIS.
2. Kolonialisme Timur Tengah merupakan faktor tersembunyi
Selain itu, sejarah yang menyumbang kepada ketidakstabilan Timur Tengah turut perlu diambil kira. Sempadan yang terhasil daripada perjanjian Sykes-Picot yang menyaksikan bagaimana British dan Perancis telah memecah belahkan tanah Arab dari empayar Turki Uthmaniyyah bagi mencipta intra-imperial convenience. British mahukan Iraq kerana minyaknya, Palestin pula diambil kerana mahu melaksanakan Perjanjian Balfour yang menjanjikan tanah tersebut kepada Yahudi. Kawasan Trans-Jordan pula dijadikan hadiah kepada putera Hashemite, Abdullah ibn Hussein sebagai pampasan atas kehilangan tanah Hijaz kepada Saudi.
Perancis pula mendapat tanah Syam yang daripadanya mereka cipta Lubnan yang akhirnya dihadiahkan kepada Maronite (Kristian yang berasal dari Syria). Tanpa mereka sedar keputusan tersebut hanya mengundang perang saudara dan menjejaskan negara terbabit. Di Syria sendiri, Perancis memberi keutamaan kepada minoriti Alawite dan menghiraukan golongan majoriti Sunni. Hal ini telah menyebabkan kebencian dalam kalangan elit Sunni yang akhirnya membawa kepada pertembungan antara Sunni dan Alawite.
Pihak British pula telah menempatkan bangsa Kurdi, Arab Sunni dan Arab Syiah bersama dalam negara Iraq. Negara tersebut diketuai oleh golongan elit Arab Sunni, yang realitinya menimbulkan ketidakpuashatian dalam kalangan bangsa Kurdi dan Arab Syiah. Selain itu, British turut membawa masuk sejumlah besar bangsa Yahudi dari Eropah bagi menduduki tanah Palestin dengan tujuan untuk mengubah Palestin secara demografiknya bagi tujuan mendirikan sebuah negara Zionis.
3. Pemecahan negara semasa zaman kolonialisasi membentuk “weak states”
Perlaksanaan perjanjian Sykes-Picot dan Deklarasi Balfour telah berjaya membentuk “weak state” yang mempunyai struktur politik dan sosial yang lemah. Namun usaha untuk mencabar dan mengubah sempadan yang terhasil dari proses kolonialisasi ini telah pun dilakukan sepanjang tahun 1950 sehingga 60-an di bawah kepimpinan Presiden Nasser dari Mesir. Pelbagai cara dilakukan untuk menggabungkan Mesir, Syria dan Iraq tetapi gagal.
Namun, sekitar tahun 1970 sehingga 1990, cabaran tersebut menjadi lebih sukar berdasarkan dua sebab. Pertamanya disebabkan oleh kekalahan Presiden Nasser di tangan pihak Israel pada tahun 1967 dan keduanya disebabkan kenaikan dua orang pemimpin – Hafez al-Assad di Syria dan Saddam Hussein di Iraq yang memulakan siri pemerintahan diktator di Timur Tengah.
4. “Weak states” mewujudkan golongan radikal dan ekstrim
Kebiasaannya orang akan berfikir bahawa kemunculan golongan radikal dan ekstrim seperti ISIS dan al-Qaeda yang menjadi faktor sesebuah negara itu lemah. Namun, realitinya sebuah negara yang lemah, “weak state” adalah faktor utama untuk golongan sebegini muncul.
Malah jelas, sebab mengapa wujudnya negara lemah, “weak states” adalah kesan daripada usaha kolonialisme yang dilakukan oleh kuasa Barat yang bertindak memecahbelahkan tanah Islam yang dahulunya berada di bawah pemerintahan Turki Uthmaniyyah.
Sektarianisme (perpecahan) juga antara kesan yang dapat kita lihat apabila berlakunya “weak state”. Sebagai contoh, kita dapat lihat perpecahan agama antara Sunni-Syiah dan perpecahan bangsa antara Arab-Kurdi, dan Kurdi-Turk.
Perpecahan di Timur Tengah ini timbul apabila negara terbabit gagal menjamin keselamatan rakyat mereka. Hal ini disebabkan apabila sesebuah negara itu berjaya menjamin keselamatan, rakyat akan membalas semula dengan memberi kesetiaan kepada negara dan sebarang pulangan kepada pendapatan negara. Tetapi apabila negara tersebut gagal, rakyat mereka cenderung untuk mencari pihak lain yang boleh menjamin keselamatan terutama pihak yang mengangkat sebarang elemen persamaan seperti bangsa.
5. “Weak states” menjadi pentas “proxy war”
Negara yang lemah, “weak state” turut menjadi pentas “proxy wars” yang berlaku antara kuasa-kuasa luar. Malah “proxy wars” ini boleh dianggap sebagai pemisah atau “buffer” antara dua kuasa besar. Lantas dapat mengelakkan pertembungan secara langsung dari kedua-dua pihak.
Sebagai contoh, bagaimana Lubnan dijadikan sebagai “buffer” disebabkan struktur negara terbabit rapuh yang membolehkan pengaruh luar untuk masuk. Militan Maronites menjadi sekutu (proxy) bagi Israel, dan kumpulan Sunni menjadi sekutu kepada rejim nasionalis Arab. Begitu juga yang berlaku pada tahun 1980-an, di mana Hizbullah dijadikan sebagai sekutu Iran. Kini, giliran Syria dan Iraq pula menjadi pentas pertarungan dua kuasa besar rantau itu – Iran dan Arab Saudi.
Kesimpulan
Melalui perbincangan ini, Prof. Ayoob turut menyimpulkan bahawa konflik di Timur Tengah amat sukar untuk ditangani kerana ianya sudah menjadi sebegitu kompleks. Selain itu, ketika beliau ditanya mengenai apa pendapat beliau mengenai ISIS dan sejauh mana ISIS akan berjaya, beliau mengatakan bahawa ISIS tidak mampu bertahan lama disebabkan gerakan tersebut tidak mempunyai kapasiti intelektual yang tinggi untuk mengangkat Islamic State mereka di peringkat antarabangsa. Bagi beliau, ISIS tidak mampu memimpin ‘negara’ mereka dalam komuniti global.
Selain daripada berbincang mengenai konflik di Timur Tengah, beliau turut mengadakan perbincangan mengenai perjanjian nuklear Iran dan apa impaknya terhadap rantau tersebut. Intipati perbincangan tersebut akan dirumuskan dalam laporan FOCUS seterusnya.
good article