Menurut laporan Baxtel, Johor kini tersenarai sebagai pusat data terbesar di Malaysia dan ke-9 terbesar di Asia Pasifik. Perkembangan ini didorong oleh peningkatan pelaburan dan pembangunan pusat data oleh syarikat multinasional di negeri itu. Pada ketika ini, Johor dilaporkan mempunyai 13 pusat data yang meliputi lebih 1.65 juta kaki persegi keluasan tanah. (Channel News Asia, Baxtel)
Faktor utama kepesatan pembangunan pusat data di Johor adalah kerana tindakan Singapura yang menghentikan sementara pembinaan pusat data dari 2019 hingga 2023 akibat daripada kekurangan tanah dan jumlah penggunaan tenaga yang tinggi. Susulan daripada itu, syarikat Singapura mengambil kesempatan ke atas tanah Johor yang lebih murah, selain kos pembinaan, perbelanjaan operasi, dan tarif elektirk yang rendah. (NST)
Syarikat telekomunikasi Singapura, Singtel menganggap Johor sebagai tempat untuk mengatasi masalah kapasiti di Singapura. Manakala, antara pelabur terbesar pusat data di Johor, Equinix mengakui Johor menangani lebihan permintaan daripada Singapura. Sementara itu, Pusat Data Hijau YTL dilaporkan akan mempunyai sambungan gentian gelap ke Singapura yang secara langsung memberi manfaat kepada syarikat-syarikat Singapura. (Data Center Dynamics, YTL, Equinix)
Selain itu, menurut Asher Ling, Ketua Pegawai Teknologi Princeton Digital Group (PDG), berkata Johor menawarkan kedekatan dengan pasaran teknologi yang kian berkembang di Singapura. Antara pasaran yang amat memerlukan pusat data ketika ini adalah teknologi kewangan. Berdasarkan Indeks Pusat Kewangan Global (GFCI), Singapura muncul sebagai pusat kewangan terkemuka di Asia dan ketiga di peringkat global di belakang London dan New York. (CNA, Global Finance Centre)
Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute
**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.