Bangsa Filipina: Singa yang Dikijangkan

Jati diri Islam merupakan satu pendirian yang menusuk ke dalam jiwa seorang penganutnya. Pendirian yang utuh tak gentar siapa kecuali Maha Pencipta ini seberani seekor singa. Namun pendirian ini semakin lama semakin dikikis oleh pihak- pihak luar yang cuba menjinakkan Sang Singa menjadi seperti seekor kijang yang pengecut.
Group of People Waving Filipino Flags in Back Lit

Jati diri Islam merupakan satu pendirian yang menusuk ke dalam jiwa seorang penganutnya. Pendirian yang utuh tak gentar siapa kecuali Maha Pencipta ini seberani seekor singa. Namun pendirian ini semakin lama semakin dikikis oleh pihak- pihak luar yang cuba menjinakkan Sang Singa menjadi seperti seekor kijang yang pengecut. Allah SWT telah menjadikan seseorang insan itu mulia melalui Islam

Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya(dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang-orang yang rendah.”(At-Tin : 4-5)

Seseorang insan itu diangkat menjadi mulia hanya melalui Islam atau jika ia berpaling maka darjatnya menjadi serendah-rendahnya. Ayuh kita selami kemuliaan bangsa di Filipina yang suatu masa dahulu diterangi cahaya Islam dengan seterang cahaya yang kini semakin malap.

Islam dikenal pasti sudah mula bertapak di Filipina sejak bahagian suku terakhir abad ketiga belas lagi di mana penempatan Islam telah terbina di kawasan Sulu. Mereka mungkin terdiri daripada pedagang-pedagang asing. Pada abab kelima belas pula, kedatangan orang-orang Melayu dari Sumatera dipercayai terdiri daripada golongan agamawan Islam.

Sementara itu, di Maguindanao sekitar tahun 1460, Syarif Awliya dijangka sudahpun tiba kerana pada sekitar tahun 1515, Syarif Muhammad Kabungsuwan telah tiba di kawasan Malabang yang merupakan dua generasi selepas kedatangan Syarif Awliya yang juga sezaman dengan kejatuhan Majapahit dan ketibaan bangsa-bangsa Eropah di Nusantara. Pada masa itu, keluarga-keluarga pemerintah Maguindanao dan Buayan merupakan penganut Islam.

Sebelum kedatangan Sepanyol di Filipina, rakyatnya terdiri daripada majoriti penganut Islam selain sebahagian kecil penganut animism. Hampir seluruh kepulaun Filipina diperintah orang Islam. Malahan nama Manila(ibu Negara Filipina) berasal daripada perkataan Arab iaitu ‘Amanillah’ yang bermaksud kota yang dilindungi Allah. Walau bagaimanapun, ahli sejarah Filipina kebanyakanyna menolak sumber ini dengan mengatakan nama Manila berasal daripada sebuah pokok.

Umat Islam ketika zaman itu dikatakan terdiri daripada penganut Islam yang soleh. Tidak hairanlah pemerintah seperti Sultan Kudarat di Maguindanao tidak pernah mengalah mempertahankan tanah airnya daripada dicemari unsur-unsur Kristianisasi yang menular mengancam mereka ketika itu. Kehebatannya juga tidak disangkal oleh sejarawan Barat yang begitu berani menentang Sepanyol. Keberanian ini datang bukan semata-mata disebabkan ingin mempertahankan tanah mereka, malahan untuk mempertahankan akidah Islam yang masih dipegang dengan kuat oleh mereka. Senjata yang berupa semangat itulah yang bertapak di dalam hati mereka atas keyakinan mereka kepada Allah.

Kemuliaan Islam yang tersemat di dalam jiwa telah mengangkat mereka menjadi sebuah bangsa hebat sehingga pernah menguasai hampir keseluruhan kepulauan Filipina. Namun, kedudukan Islam di Filipina pada masa kini telah bertransformasi mengikut teori dan filosofi barat.kebanyakkan pemuda Islam di sana rela menghambakan diri mereka bagi memenuhi keperluan materealistik. Mereka dijinakkan melalui sekularisme dan salah faham terhadap Islam yang tidak dijadikan sebagai jalan hidup.

Pemuda Islam di Filipina yang menetap di kawasan majoriti Kristian terikut dengan cara hidup masyarakat Kristian. Terdapat bukti yang menunjukkan sesetengah pemuda Islam di sana menyalah gunakan dadah dan meminum arak dek kerana kurang ajaran dan suasana Islam di kawasan majoriti bukan Islam.

Usaha-usaha untuk memberi kesedaran kepada pemuda Islam yang semakin hanyut di beberapa kawasan di Filipina giat dijalankan oleh golongan intelektual Islam di sana. Namun, kekangan mereka sebagai kaum minoriti menggugat hak mereka dalam mengamalkan Islam kerana penganut Islam tidak begitu diterima oleh pihak kerajaan sendiri.

Walau bagaimanapun, harus diingatkan betapa hebatnya bangsa Islam di Filipina yang suatu masa pernah memerintah hampir keseluruhan Filipina. Kehebatan yang berteraskan akidah ini harus sentiasa diingati para pemuda Islam supaya mampu sedar akan kebolehan sebenar orang Islam. Keberanian seperti seekor singa yang ada dalam jiwa-jiwa orang Islam harus segera dibangkitkan agar dapat terus berjuang menegakkan kebenaran.

Nur Hafizah Shahrin
Pengkaji IKB

Sumber :


1) Alizaman D. Gamon, A Glimpse on History of Islam in Philippine: A Cursory View of Muslim Culture and Identity, Kolokium Membina Kedaulatan Melayu Islam Nusantara,2013
2)  Caesar Adib Majul (Islam Di Filipina)
3. Hasanuddin Yusof (Sultan Sultan Soleh Di Nusantara)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

The History of the Translation of The Bible Into Bahasa Malaysia

Next Post

Sejarah dan Perkembangan Gerakan Kristianisasi di Sarawak

Related Posts
Skip to content