Penang rancang bina 10 projek perumahan mampu milik di 5 daerah sebanyak 20,912 unit

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) sedang merancang 10 projek perumahan di lima daerah di seluruh negeri bagi membantu semua rakyat agar dapat memiliki rumah.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata 10 projek pembangunan perumahan itu bakal dibangunkan di Jelutong, Perai, Ampang Jajar, Juru, Bukit Mertajam, Butterworth dan Bandar Cassia yang bakal menyediakan keseluruhan 20,912 unit.

“Kami menyasarkan dengan adanya 10 projek perumahan ini, bekalan perumahan di negeri ini secara keseluruhan akan mencecah 220,000 unit termasuk rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik, menjelang 2030,” katanya kepada pemberita di Stadium Bandaraya Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata harga projek perumahan itu bermula daripada RM42,000 hingga RM300,000 bergantung kepada jenis perumahan sama ada kos rendah, sederhana rendah atau mampu milik.

Jagdeep berkata daripada 10 projek tersebut, projek pertama di Bukit Gedung kini sudah selesai dikaji dan akan dimulakan untuk tender terbuka (request for proposal) pada Oktober nanti. 

“Tender ini akan dibuka selama tempoh satu bulan dan akan dinilai sebaik mungkin… Kerja-kerja pembinaan ini akan ditawarkan kepada pemaju yang berjaya seawal Disember 2021. Projek ini sahaja (di Bukit Gedung) akan menyediakan 1,267 unit yang merangkumi 253 unit kos sederhana rendah yang berkeluasan 700 kaki persegi dan 1,014 unit rumah mampu milik,” katanya.

Tambah Jagdeep, secara keseluruhannya setakat ini, terdapat 38,149 unit rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu milik yang telah siap dibina, 18,519 unit dalam pelbagai peringkat pembinaan manakala 62,448 unit masih dalam perancangan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sheng Tai sasar tarik FDI RM1 bilion bagi projek Menara Kebudayaan Cina di Melaka

Next Post

Raja Salman arah Saudi sumbang bantuan peralatan perubatan kepada Malaysia melalui KSrelief

Related Posts
Skip to content