Peperangan Melawan COVID-19 Kini Telah Berubah

Baru-baru ini telah terbocor satu laporan daripada pihak CDC (Centers for Disease Control and Prevention) yang melaporkan tentang laporan jangkitan tertembus (breakthrough infections), berkait rapat dengan varian delta (rujuk sumber pautan di bawah).

Isi penting daripada laporan ini ialah CDC memberi saranan bahawa masyarakat perlu dimaklumkan – PEPERANGAN MELAWAN COVID-19 KINI TELAH BERUBAH.

Kewujudan “Breakthrough Infections

1. Punca utama peperangan ini berubah ialah disebabkan kewujudan ‘breakthrough infections’ dalam kalangan mereka yang telah di vaksinasi berdasarkan data yang diperoleh di Amerika Syarikat dan beberapa lokasi lain.

‘Breakthrough infection’ ataupun dalam terjemahan Bahasa Malaysia, iaitu jangkitan tertembus – bererti jangkitan (terutamanya varian Delta) yang tetap berlaku dalam kalangan individu yang telah diberikan vaksin COVID-19 yang lengkap (tetapi tiada simptom terlalu teruk). Keadaan ini pasti akan menyebabkan masyarakat akan mula hilang kepercayaan terhadap keberkesanan vaksin jika tidak diberikan kefahaman jangkaan awal. Maka, komunikasi yang baik adalah penting bagi memahamkan masyarakat akan apa yang sedang berlaku dan mampu menerima akan jangkaan (expectation) yang akan berlaku.

Kemunculan Varian Delta

2. Faktor penyumbang kenapa semua ini berlaku ialah disebabkan kemunculan varian Delta itu sendiri yang mendominasi jangkitan di seluruh dunia. Varian delta ternyata AMAT BERBEZA berbanding varian asal:

• Sangat mudah merebak – kini kebolehjangkitan COVID-19 mencecah kadar yang ada pada wabak chickenpox.

• Kemungkinan akan sebabkan lebih banyak simptom teruk (tidak merujuk kepada kematian).

• Individu yang diberikan vaksin mungkin mampu menyebarkan jangkitan (melalui breakthrough infection) seperti mana yang berlaku pada individu yang tidak diberikan vaksin.

Kehadiran Breakthrough Infection dalam Komuniti Sporadik

3. Vaksin tetap memberikan sekurang-kurang 90% perlindungan terhadap simptom teruk jangkitan dan kematian, tetapi mungkin akan kurang berkesan dalam melindungi jangkitan dan penyebaran. Maka, kita akan melihat lebih banyak breakthrough infection dalam komuniti (sporadik).

Hal ini kerana, mereka yang diberikan vaksin dan mendapat jangkitan tidak akan memiliki simptom (asimtomatik) – maka mereka sendiri tidak tahu mereka dijangkiti dan tanpa disedari mampu menjangkiti orang lain.

Penjagaan SOP perlu diteruskan terutama bagi yang belum diberikan vaksin

4. Bagi melindungi golongan berisiko, mereka yang belum diberikan vaksin – maka non-pharmaceutical interventions (NPI), sebagai contoh pelaksanaan SOP terutamanya pemakaian pelitup muka (masking) perlu tetap dilaksanakan walaupun liputan vaksinasi mula meluas.

————

Seperti yang saya jangkakan sebelum ini, jelas di sini bahawa, mahu tidak mahu, kita akan terpaksa berada bersama wabak COVID-19 ini untuk beberapa ketika. Cabaran pandemik yang akan berlaku pada pasca-vaksinasi ini sudah pasti akan melibatkan mereka yang tidak mendapat vaksinasi, termasuklah kanak-kanak dan juga mereka yang dewasa (lebih berisiko) tetapi menolak daripada penerimaan vaksin.

Jangkitan yang melibatkan mereka yang tidak mendapat vaksinasi inilah yang selalunya dipanggil sebagai ‘Pandemic of the unvaccinated’. Ini bukanlah satu ugutan bagi mereka yang menolak dan menerima vaksin, tetapi sebenarnya suatu pelawaan dan nasihat kefahaman. Dan jangan jadikan ketidakmampuan vaksin menghalang jangkitan dan penyebaran ini sebagai modal untuk lebih menolak vaksin – sains vaksinologi dan epidemiologi telah lama memahami hakikat ini.

Hakikat yang lebih penting ialah vaksin mampu memberikan perlindungan daripada simptom teruk dan kematian. Kegagalan menerima vaksin pada masa akan datang mampu membawa ancaman yang lebih besar, kerana kemungkinan besar – jangkitan akan berlaku dengan lebih berleluasa pada pasca era vaksinasi memandangkan ekonomi dan aktiviti sosial mula dipulihkan seperti sedia kala.

———————–

Amin Rukaini Bin Mustafa
Pensyarah/Felo Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia
Universiti Malaysia Perlis

Sumber:

1. CDC powerpoint – https://www.washingtonpost.com/…/94390e3a-5e45-44a5…/

2. https://www.nbcnews.com/…/cdc-warns-internal-document…

3. https://www.cbsnews.com/…/covid-delta-variant-vaccine…/

Artikel lain berkaitan COVID-19:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah US$111.1 bilion

Next Post

Syarikat semikonduktor Korea Selatan Simmtech akan labur US$120 juta di Pulau Pinang

Related Posts
Skip to content