Prof Ibrahim Hallaf, seorang pakar dalam bidang Sejarah Moden di University of Mosul (Iraq) memberikan komentar yang menarik berhubung isu penerbitan scopus. Beliau mengaitkan isu penerbitan di Scopus dengan Bukit Scopus (Mount Scopus) yang terletak di Israel.
Menurut beliau, Scopus adalah nama sebuah bukit di Israel, yang nama asalnya menurut penduduk Palestin adalah Jabal al-Masharif. Di atas bukit Scopus ini terbinanya The Hebrew University.
Prof Ibrahim meluahkan kebimbangannya berhubung kesuraman bidang penulisan yang pernah diterajui oleh Baghdad suatu ketika dahulu. Kehadiran Scopus dan industri penulisan akademik barat telah mula melenyapkan identiti penerbit Jurnal di Baghdad yang usianya mencapai hampir 100 tahun.
Majallah al-Ustaz (Jurnal Pendidikan) yang diterbitkan oleh Pusat Pendidikan Tinggi di Baghdad telah memulakan penerbitannya pada tahun 1923 lagi (hampir 100 tahun yang lalu). Jurnal Pendidikan ini kemudiannya diambil alih oleh Fakulti Pendidikan University of Baghdad pada tahun 1958 dan diteruskan penerbitannya.
Begitu juga dengan jurnal yang diterbitkan oleh Fakulti Perubatan di Baghdad yang diasaskan pada tahun 1927. Manakala Mosul University pula pernah menghasil Jurnal Kesusasteraan (Adab al-Rafidin) yang menerajui penyelidikan ilmu kesusasteraan. Beberapa nama lain turut ditampilkan dalam makalah beliau, menggambarkan betapa Baghdad pernah mendahului arena penulisan sebelum ini.
Kini menurut Prof Ibrahim, mereka mentertawakan kita. Bidang penerbitan yang suatu masa dahulu pernah diterajui oleh muslim di Baghdad telah semakin layu apabila Scopus menjadi syarat penilaian akademik termasuklah dinegara Arab sendiri.
Pada hakikatnya Scopus adalah entiti penyedia maklumat yang menghimpunkan dan menyediakan pangkalan data penyelidikan dan penerbitan. Belum terlambat lagi rasanya buat umat Islam untuk membangunkan sistem pangkalan data sendiri yang lebih baik.
Penyelidikan dan penerbitan umat Islam boleh dihimpunkan dalam satu sistem maklumat yang berupaya memberikan saingan kepada Scopus mahupun WoS. Mungkin negara Arab yang kaya dengan limpahan hasil boleh menjadi pemberi dana kepada projek pembangunan pangakalan data ini.
Dalam bidang Kewangan Islam sebagai contoh, banyak kajian yang telah dihasilkan dan terbitkan oleh penyelidik dari umat Islam sendiri. Andai pangkalan data tersebut disimpan oleh pangkalan data di Malaysia sendiri, sudah tentu penyelidik dari barat malah seluruh dunia akan terpaksa singgah ke sini dan mendapatkan rujukan dari pakar di Malaysia.
Rujukan yang tinggi akan meningkatkan impact factor atau quartile (Q1-Q4) sekaligus berpotensi memberikan saingan kepada jurnal yang diindeks oleh Scopus atau WoS.
Terjemah dan Olahan Penulisan: Prof. Madya Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Tulisan Asal: Prof Ibrahim Hallaf