Arab Saudi, 5 Mei 2015- Riyadh terpaksa menunda kesemua penerbangannya di lapangan terbang selatan dan menutup kesemua sekolahnya akibat serangan teruk di sempadan Yaman sehingga mengorbankan banyak nyawa. Pihak berkuasa Arab Saudi berkata bahawa bandar Najran telah diserang dari luar negara tersebut oleh pejuang Houthi pada Selasa lalu dan serangan tersebut turut diakui oleh ketua puak Yaman.
Setakat ini tiada lagi laporan dikeluarkan mengenai bilangan pemberontak dan mangsa yang terbunuh. Sempadan antara dua negara tersebut sering dijadikan sebagai medan peperangan antara Arab Saudi dengan Syiah Houthi semasa pakatan Saudi mengetuai kempen udara untuk menyerang pengganas di Yaman. Serangan ini juga merupakan serangan terbesar yang pernah dilakukan setakat ini. Hal ini menyukarkan lagi buat pihak tentera Arab Saudi dalam menjalankan kempennya dan dalam masa yang sama terpaksa mempertahankan sempadan mereka dari diserang oleh puak Syiah Houthi.
Serangan Khamis lalu telah mengorbankan 3 kumpulan tentera Arab Saudi dan puluhan pemberontak. Dalam Mesyuarat Pemimpin Teluk yang dilaksanakan baru-baru ini, Raja Salman telah membuat pengumuman berkenaan serangan tersebut dan sekali gus menubuhkan satu pusat untuk menyelaraskan operasi bantuan di Yaman dan menjemput United Nations untuk menyertai sekali dalam usaha tersebut.
Manakala, Menteri Luar Arab Saudi, Adel-al Jubeir pula sedang mempertimbangkan sama ada serangan udara terhadap Houthi harus diberhentikan buat seketika atau tidak bagi memberi laluan untuk penghantaran bantuan. Beliau turut memberi amaran kepada pihak pengganas Houthi untuk tidak melakukan sebarang serangan dalam tempoh bertenang tersebut dan kerajaan Arab Saudi akan memastikan misi bantuan kemanusiaan tersebut berjalan dengan lancar.
Pada 6 dan 7 May pula, John Kerry, Setiausaha US akan membuat lawatan rasmi ke Riyadh bagi membincangkan ”humanitarian pause” dengan kerajaan Arab Saudi. United Nations (UN) telah berulang kali mengeluarkan amaran bahawa rakyat Yaman akan menghadapi krisis kemanusiaan yang teruk disamping kemiskinan hidup yang melarat serta begitu banyak permintaan telah dilontarkan untuk meningkatkan bantuan kemanusiaan di Yaman.
Sabtu lalu,UN telah menyeru agar konflik tersebut diberhentikan sebentar buat beberapa hari bagi menyalurkan bantuan kecemasan berupa bahan bakar yang menjadi nadi kemudahan bagi negara bergolak tersebut yang sekali gus dapat menjana bekalan air, perkhidmatan kesihatan dan telekomunikasi.
Menurut UN, lebih kurang 1,200 orang telah terbunuh dalam konflik di Yaman sejak 19 Mac lalu dan ribuan lagi telah tercedera serta anggaran 300,000 orang telah dipindahkan. Sementara itu, kota Aden juga terjejas teruk lalu memaksa penduduknya untuk turut berpindah dengan bantuan daripada puak penyokong Presiden Ali Abdullah Saleh ke kawasan lain sebaik sahaja puak pengganas telah memperhebatkan serangan mereka untuk menguasai sebahagian besar kawasan di selatan bandar pelabuhan tersebut.
Penterjemah: Nurul Fitrah Abdullah
Sumber: Al-Jazeera