Tentera Israel: Pembunuhan Penduduk Gaza Hanya Sebagai Hiburan

gaza

6 Mei, Tel Aviv – Seorang tentera Israel hari ini membuat pengakuan bahawa tindakan dia dan rakan-rakannya mengebom penduduk Gaza sepanjang kemelut Palestin-Israel tahun lepas hanyalah sebagai hiburan.

Sepanjang temu ramahnya dengan sebuah akhbar Perancis, Le Monde kelmarin, tentera tersebut yang hanya menggelarkan dirinya sebagai Arieh, 20, berkata, “Kami menyerang orang awam hanya sebagai hiburan.”

Tambahnya lagi, “Satu hari sekitar jam lapan pagi kami pergi ke Al-Bureij; salah satu kawasan penempatan yang padat dengan  penduduk awam di pusat bandar Gaza, dan komander memberi arahan agar kami memilih satu sasaran  secara rawak dan tembak ke arahnya, pada ketika itu tidak kelihatan seorang pun anggota pejuang Hamas dan tiada siapa yang menyerang kami, tetapi komander tetap memberitahu kami dengan nada sinis: ‘Kita kena mengucapkan selamat pagi pada Bureij dari tentera Israel’.”

“Saya ingat satu hari seorang tentera dari unit kami terbunuh dan komander kami memberi arahan kepada kami untuk membalas dendam. Jadi saya terus menggunakan kereta kebal kami dan  menuju ke arah satu bangunan besar yang berwarna putih, cuma empat kilometer dari kami dan menembak bangunan tersebut. Saya pasti sudah membunuh orang yang sudah semestinya tidak bersalah.” sambungnya lagi.

Arieh menjelaskan lagi dalam temu bual tersebut bahawa sasaran mereka adalah untuk memusnahkan infrastruktur Gaza, bukan setakat menghapuskan Hamas. Dia turut menambah ketika tentera Israel mencerobohi Gaza pada 19 Julai 2014 dengan tujuan untuk mencari terowong rahsia yang digunakan Hamas yang menghubungkan Gaza dan Israel, mereka turut datang dengan tujuan untuk memusnahkan segala infrastruktur di Gaza dan menyebabkan kemusnahan yang besar pada sektor pertanian dan ekonomi Gaza. “Hamas sudah tentu terpaksa memikir untuk menanggung kos yang tinggi sebelum mereka terfikir untuk bertarung dengan kami”, katanya.

Apa yang mengejutkan lagi apabila tentera Israel itu berkata bahawa apa yang berlaku di Gaza bertentangan dengan apa yang dilatih di kem tentera Israel.

“Saya belajar dalam kem tentera bahawa kita harus bertanggung jawab dalam meletakkan sasaran dan melakukan serangan. Kami juga diajar supaya tidak boleh melepaskan tembakan tanpa sebarang tujuan, termasuk ketika latihan percubaan, namun apa yang berlaku di Gaza bertentangan dengan semua perkara tersebut.”

“Saya boleh pastikan yang kami hanya melihat penduduk awam, kami tidak melihat mana-mana pejuang Hamas. Kami tahu mereka bergerak melalui terowong.” Arieh turut menceritakan bagaimana  tentera Israel akan menembak mana-mana rumah sekiranya mereka melihat ada seseorang yang memegang telefon dan berdiri di atas bumbung rumah. “ Kami menganggap sesiapa yang memegang telefon dan berdiri di atas bumbung rumah itu adalah pengintip Hamas, walaupun dia seorang wanita,” katanya lagi.

Arieh merupakan salah seorang 60 tentera Israel yang bersetuju untuk memberi pengakuan  dalam sebuah laporan oleh badan kemanusiaan Israel; Breaking The Silence.

Laporan sejumlah 237 muka surat itu turut melaporkan kekejaman tentera Isarel ke atas penduduk Gaza sepanjang kemelut yang berlaku melalui serangan rawak dan pelanggaran beberapa perjanjian.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, serangan yang berlangsung selama 51 hari bermula pada 7 Julai 2014 tersebut, menyebabkan kematian lebih 2,000 nyawa rakyat Palestin dan kecederaan  11,000 yang lain

Sebaliknya, 68 orang tentera Israel dan empat rakyat mereka terbunuh, dan lebih 2,522 lagi cedera termasuk 740 tentera menurut perangkaan yang dikeluarkan pihak berkuasa Israel.

Oleh: Nur Hanis Mohamad Noor

Sumber: Middle East Monitor.

 

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sempadan Arab Saudi Diancam Puak Syiah Houthi

Next Post

Kapitalisme + Amerika = Generasi Motel

Related Posts
Skip to content