Haji Abdullah Philby, perisik British yang berjaya memujuk Raja Saudi menerima penghijrahan Israel ke Palestin

Siapakah Haji Abdullah Philby?

Harry St John Bridger Philby, juga dikenali sebagai Jack Philby, lahir pada 3 April 1885 di Ceylon (Sri Lanka) dan meninggal dunia pada 30 September 1960 di Lubnan. Beliau merupakan teman paling akrab Raja Abdul Aziz Ibn Saud, raja pertama kerajaan Arab Saudi. Boleh juga dikatakan beliau merupakan insan penting yang telah mempengaruhi Raja Abdul Aziz untuk mempunyai cita-cita menguasai keseluruhan Semenanjung Tanah Arab termasuk dua tanah suci, iaitu Mekah dan Madinah.

Beliau yang dikenali sebagai Jack Philby ini juga sebenarnya merupakan seorang pegawai agensi risikan British, MI6 sebaris dengan Thomas Edward Lawrence (lebih popular sebagai Lawrence of Arabia) dan kedua-dua mereka berada di bawah pengawasan Gertrude Bell yang bertugas di Iraq. Bagi menghargai kehidupan dan peranan yang dimainkan oleh Gertrude Bell di Timur Tengah, beberapa produksi telah membawa watak beliau ke layar perak melalui beberapa terbitan termasuk filem “A Dangerous Man: Lawrence After Arabia” (1992) lakonan Gillian Barge, filem “Queen of the Desert” (2015) lakonan Nicole Kidman dan filem dokumentari “Letters from Baghdad” (2016).

Pada tahun 1930, Philby mengisytiharkan memeluk agama Islam dengan nama Abdullah Philby.

Philby & British

Philby mendapat pendidikan di Trinity College di Cambridge sebelum direkrut oleh Major-General Sir Percy Zachariah Cox menjadi ketua pegawai kewangan untuk British Mesopotamian Expeditionary Force di Baghdad. Pasukan tindakan khas ini mempunyai dua tugas utama iaitu, menggerakkan revolusi Arab menentang Khilafah Uthmaniah dan menjaga kepentingan petroleum British di Timur Tengah. Ketua-ketua kabilah Arab ketika itu dijanjikan oleh British sebuah negara kesatuan Arab dari utara Iraq sehingga ke Yaman di selatan.

Ketika Lawrence memainkan peranannya mendekati Raja Faisal dari kabilah Hashimiah sehingga memimpin mereka melakukan serangan gerila ke atas keretapi ‘Uthmaniyah (dikenali sebagai Hejaz Railway atau Hicaz Demiryolu) yang dibina oleh Sultan Abdul Hamid II bertujuan melindungi Mekah dan Madinah secara ketenteraan dan ekonomi, Philby dalam masa yang sama mendekati Raja Abdul Aziz Ibn Saud dan ‘menghasut’ beliau menjajah Hijjaz dan keseluruhan Tanah Arab.

Philby sebenarnya merupakan pegawai British yang meneruskan usaha Captain William Henry Irvine Shakespear (Shakespear of Arabia) yang terkorban ketika membantu Raja Abdul Aziz Ibn Saud menentang Kabilah Rashidin. Perbezaan ketara di antara pendekatan Philby dan Shakespear adalah beliau berjaya mendapat kepercayaan penuh Raja Abdul Aziz dengan mengubah penampilan dan cara hidupnya dengan menjalani kehidupan seorang Arab badwi di padang pasir.

Kerjasama Philby-Abdul Aziz ini telah berjaya membawa kepada penubuhan suatu kerajaan baru Arab dan penemuan kawasan yang kaya dengan petroleum di Tenggara Semenanjung Tanah Arab dikenali sebagai Rub’ Al-Khali (The Empty Quarter) yang sebelum ini merupakan suatu daerah yang tidak berpenghuni.

Di mata British, Philby dianggap sebagai seorang pembelot kerana menyebabkan konsesi ekstradiksi petroleum di Arab Saudi diberikan kepada Amerika Syarikat, dan bukan kepada British. Syarikat Aramco yang ditubuhkan hasil hubungan kerjasama Amerika Syarikat-Arab Saudi telah melantik Philby sebagai salah seorang penasihat berbayar.

Pengkhianatan Philby ini dikatakan berpunca daripada keengganan British akur kepada perjanjian awal yang telah diberikan oleh Philby kepada Raja Abdul Aziz untuk menjadikannya Raja negara kesatuan Arab yang merangkumi seluruh bumi Arab. Dalam masa yang sama, Lawrence juga telah menawarkan janji yang sama kepada Raja Faisal dari kabilah Hashimiyah dengan balasan mendapat kesetiaan mereka untuk sama-sama bangkit menentang ‘Uthmaniyah.Semasa Raja Faisal dan kabilahnya sibuk memerangi ‘Uthmaniyah, kabilah Sa’ud dengan bantuan tentera Al-Ikhwan yang berfahaman Wahabi telah mengambil kesempatan dan menawan seluruh Hijjaz.

Philby & Israel

Sebuah buku yang ditulis oleh John Loftus & Mark Aarons berjudul “The Secret War Against the Jews: How Western Espionage Betrayed The Jewish” mendakwa Philby sebagai satu bukti yang menunjukkan agensi risikan Barat mensabotaj projek penubuhan negara bangsa Yahudi iaitu Israel. Philby dituduh sebagai seorang yang berfikiran ‘Arabist’ yang menjunjung idea negara kesatuan Arab dan anti-Zionis.

Philby & Palestin

Pada 1921, Philby telah dilantik menjadi ketua risikan British di Palestin, bekerja bersama Lawrence dan bertemu rakan sejawat dari Amerika Syarikat, Allan Dulles. Pada 1922, beliau menghadiri beberapa siri pertemuan di London bagi membincangkan isu-isu berkaitan Palestin bersama beberapa pihak berkepentingan termasuk Winston Churchill (Perdana Menteri), George V (Raja United Kingdom), Edward VIII (Prince of Wales), Walter Rothschild (2nd Baron Rothschild), Wickham Steed, dan Chaim Weizmann (pemimpin utama Zionis di Britain dan kemudian Presiden Pertama Israel).

Walaupun secara zahirnya, Philby lebih dikenali sebagai seorang Arabist dan anti-Zionist, beliau merupakan individu yang bertanggungjawab memujuk Raja Abdul Aziz menerima penghijrahan Yahudi ke bumi Palestin. Walaupun Raja Abdul Aziz Ibnu Saud mempunyai pendirian yang jelas dan tegas sebagaimana mana-mana Arab, iaitu tidak akan sesekali redha dengan penubuhan negara Israel, walaubagaimanapun kejayaan Philby dalam isu ini adalah dengan memujuk Ibnu Saud ke meja rundingan. Kemuncaknya, pada tahun 1945 selepas yakin bahawa Amerika Syarikat akan melindungi kepentingan kerajaan Saudi yang baru dibentuk, raja baru tersebut bersetuju agar orang Yahudi diberikan hak ke atas bumi Palestin.

Kesimpulan

Kerja-kerja dan peranan yang dimainkan oleh ejen-ejen rahsia British di Timur Tengah di era kejatuhan ‘Uthmaniyah ini telah memainkan peranan yang besar terhadap polisi-polisi luar kerajaan British terutamanya dalam menempuhi siri-siri peperangan sepanjang Perang Dunia I dan Perang Dunia II. Peta Timur Tengah yang terbentuk pasca Perjanjian Sykes-Picot 1916 dan Deklarasi Balfour 1917 yang kemudian membawa kepada pembentukan negara haram Israel pada 1948 banyak dipengaruhi oleh peranan yang dimainkan oleh ejen-ejen risikan Barat terutama dalam membangkitkan semangat penentangan bangsa Arab terhadap Khilafah Uthmaniyah, dalam masa yang sama menjamin kepentingan petroleum mereka di sana.

Shareen Blair Brysac dan Karl E. Meyer menulis dalam “Kingmakers: The Invention of the Modern Middle East” menyimpulkan bahawa peta Timur Tengah moden telah dilakar bersama oleh ejen-ejen British dan Amerika dengan menamakan Lawrence, Gertrude Bell, Philby, Mark Sykes, A. T. Wilson Miles Copeland (CIA) dan Paul Wolfowitz (Pentagon) yang mana mereka semualah yang telah meletakkan penguasa-penguasa Arab ke takhta mereka pada hari ini. Mereka menamakan peta baru Timur Tengah sebagai ‘Anglo-American Middle-East’.

Persoalan yang perlu sama-sama kita fikirkan adalah, bagaimanakah agaknya untuk kita ‘undo’ atau ‘reverse’ apa yang telah berlaku dalam konteks mengembalikan semula kekuatan umat Islam secara keseluruhan. Apa yang pasti, ia bukanlah suatu tugas yang mudah.

Pengajaran:

1. Kita perlu membina keupayaan penakulan realiti yang ditanda oleh peristiwa-peristiwa penting tertentu secara komprehensif dengan mengambilkira kebarangkalian wujudnya watak-watak rahsia seperti Gertrude Bell, Lawrence dan Jack Philby yang mengawal boneka mereka dari belakang.
2. Kita perlu berhati-hati daripada dijadikan boneka pihak tertentu dalam memenuhi agenda dan kepentingan mereka.
3. Kita perlu meletakkan kepentingan dan kesatuan umat Islam di hadapan dalam setiap keadaan.
4. Kesilapan yang dilakukan oleh generasi terdahulu terpaksa ditanggung oleh generasi hari ini. Begitu juga, kesilapan kita hari ini akan ditanggung oleh generasi anak cucu kita di masa hadapan.

Catatan:

1. Jack Philby merupakan bapa kepada Kim Philby, salah seorang daripada lima legenda “The Cambridge Five” ‘double-agent’ yang menyusup ke dalam hirarki tertinggi badan risikan British dan berkhidmat untuk kepentingan risikan Soviet selama 20 tahun. Jack Philby meninggal dunia di Lubnan ketika melawat anaknya yang bertugas di sana. Semasa di Lubnan, Kim Philby berjaya meloloskan diri ke Moscow selepas rahsianya menjadi pembelot terdedah.

2. Gertrude Bell pernah melawat Pulau Pinang yang merupakan salah satu Negeri Selat yang diserahkan kepada pentadbiran British semasa penjelahannya ke wilayah-wilayah Timur jajahan British.

Oleh:

Salman Abdul Rahman
Pengarah MILAD Centre

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Landskap Edisi 5

Next Post

Landskap Edisi 6

Related Posts
Skip to content