Sistem e-Tanah kerjasama awam-swasta diperluas ke beberapa negeri – PM

The implementation of the e-Tanah system would at least be in nine States such as Selangor, Perak, Pahang, Terengganu, Kedah, Kelantan, Johor, Perlis and two Federal Territories which is Putrajaya and Labuan.

KUALA LUMPUR- Sistem e-Tanah yang dilaksanakan secara kerjasama awam-swasta (PPP) akan diperluaskan ke beberapa negeri selepas terbukti berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia akan diperluaskan ke Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan, Selangor, Terengganu, Pahang, Johor, Kedah, Perlis dan Kelantan dengan sistem berkenaan dijangka selesai dibangunkan dan boleh diguna pakai sepenuhnya selewat-lewatnya pada 2024.

“Saya difahamkan, perjanjian konsesi Sistem e-Tanah bagi Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan akan dimeterai pada hari ini,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Tanah Negara 2021 yang bertemakan “Mendepani Cabaran Pasca COVID-19 dalam Pentadbiran Tanah” secara maya, hari ini.

Muhyiddin yang turut melancarkan peluasan Sistem e-Tanah secara PPP bersempena sambutan berkenaan berkata semenjak inisiatif pemodenan perkhidmatan pentadbiran tanah dijalankan seawal tahun 1980, pentadbiran tanah terus diperkemas dan dipermodenkan seiring perkembangan teknologi terkini dan Kerajaan Persekutuan pada 2014 telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem e-Tanah secara PPP.

Sistem e-Tanah adalah inisiatif yang melibatkan kolaborasi di antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan syarikat swasta, bertujuan bagi menyeragamkan pentadbiran tanah di negeri-negeri berdasarkan perundangan yang berkuat kuasa, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan ketelusan dan integriti dalam pentadbiran tanah.

Perdana menteri berkata pelaksanaan Sistem e-Tanah berkenaan juga akan dapat menyumbang kepada kepesatan pembangunan negara di samping meningkatkan hasil kepada kerajaan negeri.

“Saya mengambil maklum bahawa Sistem e-Tanah telah dimulakan secara perintis di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak 2017.  Sepanjang pelaksanaannya, sistem ini telah berjaya meningkatkan kualiti dan kecekapan pentadbiran tanah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Semasa peringkat awal pandemik COVID-19 melanda negara pada 2020, kita menyaksikan Sistem e-Tanah, pelbagai urusan berkaitan tanah seperti carian persendirian, pembayaran cukai, permohonan pindah milik dan permohonan gadaian tanah dapat diteruskan secara dalam talian dengan cekap dan selamat,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan kejayaan tersebut, Sistem e-Tanah secara PPP mula diperluaskan ke Perak dan telah mula diguna pakai pada Februari lepas dan turut menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam urusan pentadbiran tanah.

“Menerusi Laporan Ease of Doing Business yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, pada 2020 Malaysia berada di kedudukan ke-12 berbanding kedudukan ke-15 pada 2019.

“Pihak Bank Dunia juga turut mengiktiraf usaha Malaysia dalam meningkatkan prestasi sektor awam dengan mengeluarkan satu laporan Knowledge and Research pada 2017, The Malaysia Development Experience Series yang bertajuk Enhancing Public Sector Performance: Malaysia’s Experience with Transforming Land Administration untuk dikongsikan bersama negara-negara lain tentang kemajuan Malaysia dalam mentransformasikan pentadbiran tanah,” katanya.

Selain itu, Sistem e-Tanah turut meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa pada 2018 iaitu pencapaian ‘Gold Award Public Sector di Asean ICT Award 2018’ yang telah diadakan di Indonesia.

“Saya berharap agar peluasan Sistem e-Tanah ini akan memberikan impak yang positif dalam meningkatkan lagi produktiviti Malaysia di mata dunia dan seterusnya akan menarik minat pelabur-pelabur luar negara untuk menambah pelaburan di dalam negara,” katanya.

Perdana menteri dalam masa yang sama turut menegaskan bahawa di peringkat Kerajaan Persekutuan, dasar dan perundangan tanah semasa sentiasa diteliti dan dikemas kini supaya selaras dengan peredaran masa dan keperluan pelanggan khususnya rakyat.

Pendigitalan perkhidmatan kerajaan secara inklusif merentasi setiap aspek perkhidmatan adalah satu daripada agenda utama kerajaan dalam usaha untuk menjayakan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

“Pendekatan ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada segenap lapisan masyarakat dalam apa jua keadaan,” kata Muhyiddin.

Sambutan Hari Tanah Negara merupakan acara tahunan yang diadakan pada 27 Julai setiap tahun bagi menghargai sumbangan warga pentadbiran tanah di seluruh negara.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Kerajaan tingkat kesejahteraan pemakanan Melalui Dasar Pemakanan Kebangsaan – PM

Next Post

AS sedia bekerjasama ‘bangunkan semula’ Indo-Pasifik Pasca-COVID

Related Posts
Skip to content