SINGAPURA- Amerika Syarikat (AS) bersedia untuk bekerjasama dengan Indo-Pasifik bagi “membangun semula ke arah lebih baik” selepas COVID-19, dan bukan sekadar kembali kepada keadaan asal, kata Setiausaha Pertahanan Lloyd J. Austin III.
Dalam ucapannya di Institut Kajian Strategik Antarabangsa ke-40 di Singapura hari ini, Austin berkata perjuangan melawan COVID-19 mesti digandakan dan membangunkan masa depan lebih selamat, sihat, dan makmur.
“Kita mesti fokus pada asasnya … segera bekerjasama untuk menangani krisis COVID dan memulihkan dinamisme ekonomi di rantau ini,” katanya.
Tetapi pemulihan global memerlukan vaksinasi global, kata Austin, yang sedang mengadakan lawatan perkenalan di Singapura.
Beliau turut menekankan komitmen Presiden AS Joe Biden untuk menghantar lebih 500 juta dos vaksin di seluruh dunia tahun depan dan Indo-Pasifik menjadi keutamaan.
Dalam tempoh dua bulan, Austin berkata AS telah berkongsi sekitar 40 juta dos di seluruh rantau ini, termasuk Indonesia, Laos, Malaysia, Filipina, Korea Selatan, Taiwan, Thailand, dan Vietnam.
Menyentuh mengenai hubungan AS-China, Austin berkata sebagai Setiausaha Pertahanan beliau komited untuk menjalin hubungan yang stabil dengan China.
“Kami berharap kami dapat bekerjasama dengan Beijing untuk menghadapi cabaran bersama, terutama ancaman perubahan iklim,” katanya.
Mengenai ASEAN, Austin berkata blok ini telah menunjukkan kemampuannya untuk menerajui isu-isu penting di rantau ini.
“Dan kami memuji ASEAN atas usahanya untuk mengakhiri keganasan tragis di Myanmar. Oleh itu, kami menggesa Myanmar untuk mematuhi Konsensus Lima Perkara yang dikemukakan ASEAN dan mewujudkan keamanan yang berkekalan,” katanya.
Austin dijadual meneruskan lawatannya ke Vietnam dan Filipina.
— BERNAMA