Dari Meja COO : Di Ambang Ramadhan

Setelah setahun yang panjang dan penuh dengan pelbagai peristiwa, umat Islam di seluruh dunia bertemu sekali lagi dengan bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Tidak jauh berbeza dengan Ramadhan pada beberapa tahun lepas, Ramadhan pada tahun ini juga menyaksikan bagaimana ianya hadir di tengah-tengah pelbagai lipatan peristiwa yang menjadi krisis dan kemelut bagi umat Islam di seluruh dunia.

Setelah setahun yang panjang dan penuh dengan pelbagai peristiwa, umat Islam di seluruh dunia bertemu sekali lagi dengan bulan yang mulia, bulan Ramadhan.

Tidak jauh berbeza dengan Ramadhan pada beberapa tahun lepas, Ramadhan pada tahun ini juga menyaksikan bagaimana ianya hadir di tengah-tengah pelbagai lipatan peristiwa yang menjadi krisis dan kemelut bagi umat Islam di seluruh dunia.

Di ambang Ramadhan kali ini, tentera Israel mengeluarkan kenyataan memperbodohkan dan menghina nyawa 4 orang kanak-kanak Palestin yang terkorban akibat serangan udara oleh tentera Israel setahun yang lalu ketika kanak-kanak tersebut sedang bermain bola sepak di sebuah pantai di Gaza. Peristiwa pengeboman itu mendapat perhatian meluas kerana ia telah disaksikan oleh banyak wartawan dan media antarabangsa sendiri. Untuk menutup tembelang mereka, tentera Israel dengan mudah dan tanpa sedikit pun rasa bersalah menyatakan bahawa pengeboman tersebut adalah satu kesilapan dan mereka sebenarnya menyerang pantai tersebut kerana disyaki ianya tempat HAMAS beroperasi.

Di ambang Ramadhan kali ini, rakyat Mesir diperbodohkan oleh hakim dan mahkamah kerajaan kudeta General As-Sisi apabila mahkamah memutuskan beberapa hukuman aras tinggi kepada Dr Mohammad Morsi, Presiden Mesir yang dilantik secara demokrasi oleh rakyat, beserta dengan sekumpulan pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin, gerakan Islam yang lama berjasa kepada Mesir. Mahkamah di Mesir telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Presiden Dr Morsi di atas tuduhan melakukan pengintipan untuk HAMAS, Hezbollah, dan Iran. Pimpinan Ikhwan Muslimin, Khairat El-Shater dan dua yang lain pula dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan yang sama. Sekurang-kurangnya 17 orang dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan ganjil tersebut.

Di ambang Ramadhan kali ini, kerajaan pengganas pimpinan Bashar Assad mengebom Douma, sebuah bandar di dalam Damsyik, menggunakan ‘roket gajah’ iaitu roket bising yang direka khas dengan menyambungkan motor roket kepada bom yang lebih besar – sebuah proses yang akan meningkatkan kuasa pemusnahan roket tersebut di samping merawakkan lagi sasaran. Sekurang-kurangnya 36 rakyat Syria yang tidak bersalah terbunuh dalam serangan bom tersebut. Syria kini menjadi semakin terpecah dengan kuasa-kuasa seperti tentera Assad, tentera Kurdish, Jabha Nusra, dan ISIL berperang antara satu sama lain di negara tersebut.

Begitulah di ambang Ramadhan tahun ini yang menjelma. Negara-negara umat Islam seperti Palestin dan Syria sedang tenat bertahan dalam krisis peperangan. Negara-negara seperti Mesir, Tunisia, Yemen, dan lain-lain pula sedang tenat melalui krisis kuasa dan pemerintahan. Negara Islam seperti Malaysia dan Turki meskipun tidak melalui krisis sedemikian, terancam pula di tengah-tengah permainan politik kuasa besar seperti US, Rusia, dan China.

Kemelut dan krisis yang dilalui oleh negara-negara Islam kini sudah lama terjadi, dan belum pasti untuk berapa lama lagi ia akan berkekalan. Yang pasti, selagi tanah Palestin masih di bawah cengkaman Zionis Yahudi dan hegemoni US masih bertakhta, umat Islam akan menyambut Ramadhan dalam suasana yang sama – bergelut dan bertarung dengan musuh-musuh yang mengancam. Berbeza dengan Ramadhan yang dilalui oleh umat Islam ketika kuasa Islam yang menjadi hegemoni dunia, menaungi tanah-tanah yang didiami pelbagai bangsa dan agama secara saksama tanpa sengketa.

Semoga Ramadhan pada kali ini menimbulkan rasa hati dan cetusan minda yang segar dalam usaha mengeluarkan negara-negara Islam daripada krisis yang sedang dilalui. Kekuatan Iman dan Ukhuwwah di antara umat Islam – merentasi sempadan perbezaan pendapat dan kefahaman – harus kembali dipugar, apatah lagi di dalam bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

 

Syed Ahmad Israa’
Chief Operating Officer, IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rohingya : Suu Kyi Terus Berdiam Demi Kepentingan Politik

Next Post

Kapal Orkim Harmony Diselamatkan, Lanun Meloloskan Diri

Related Posts
Skip to content