Erdoğan gesa parti pembangkang tinggalkan ego dalam proses tubuh kerajaan baru

Presiden Turki Tayyip Erdoğan mencium bendera Turki buatan tangan, yang diberikan kepadanya sebagai hadiah daripada pelajar Universiti Uganda Cemil (R), semasa majlis penyampaian ijazah di Ankara pada hari Khamis. (Foto: Reuters)
Presiden Turki Tayyip Erdoğan mencium bendera Turki buatan tangan, yang diberikan kepadanya sebagai hadiah daripada pelajar Universiti Uganda Cemil (R), semasa majlis penyampaian ijazah di Ankara pada hari Khamis. (Foto: Reuters)

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan, telah mengeluarkan suatu kenyataan berkenaan pembentukan kerajaan baru selepas selesainya pilihanraya parlimen sejak Ahad lepas. Keputusan pilihanraya parlimen tersebut menunjukkan bahawa parti pemerintah, Justice and Development Party (AKP) kehilangan undian majoriti buat pertama kali semenjak 2002 yang menghalang AKP untuk menubuhkan kerajaan satu parti dan mendominasi pentadbiran negara. Sehubungan itu, Erdoğan menggesa semua parti politik untuk memutuskan perkara dengan lebih cepat bagi membentuk kerajaan baru dan mengenepikan ego masing-masing demi negara.

 

Berucap di satu majlis graduasi pelajar antarabangsa di Congresium ATO Ankara, Erdoğan berkata bahawa mereka yang meninggalkan Turki tanpa kerajaan, tidak boleh menganggap diri mereka adalah sebahagian dari sejarah dan rakyat Turki, beliau merujuk kepada parti-parti pembangkang yang tidak mahu bekerjasama dan masih belum menetapkan syarat-syarat bagi mewujudkan kerajaan campuran dengan AKP.

”Oleh kerana itu, semua pihak perlu meninggalkan ego masing-masing, (dan) sebuah kerajaan perlu dibentuk dengan segera dalam rangka perlembagaan negara, dan proses ini perlu diteruskan dari mana kita berhenti dengan suatu persepsi bahawa ‘kesinambungan kerajaan adalah penting’,” kata beliau. “Tiada satu pun parti politik yang berhak menyebut ‘saya’, sebaliknya kita perlu menyebut ‘kami’,” tambah beliau.

Stesen-stesen televisyen tempatan telah menyiarkan ucapan-ucapan Erdoğan sehingga mencapai kekerapan tiga kali sehari pada minggu-minggu sebelum pilihanraya parlimen diadakan. Perkara tersebut bertujuan menguatkan lagi sokongan rakyat kepada AKP dan Presiden Erdoğan serta mengukuhkan kemenangan parti itu. Namun begitu, keputusan pilihanraya tidak seperti yang diharapkan AKP dan Presiden.

Erdoğan menyatakan bahawa keputusan pilihanraya pada Ahad lepas adalah cerminan kehendak rakyat. Beliau melahirkan hasrat beliau kepada rakyat Turki bahawa pilihanraya tersebut bakal menyumbang kebaikan kepada negara dan mengucapkan setinggi penghargaan kepada 46 juta pengundi – rekod 86 peratus keluar mengundi – yang melaksanakan tanggungjawab mereka kepada negara.

“Walau apa pun keputusannya, keputusan tersebut menggambarkan kehendak rakyat secara keseluruhan. Setiap orang perlu menghormati (keputusan tersebut). Keputusan pilihanraya kali menunjukkan bahawa sebuah parti tunggal tidak boleh membentuk kerajaan. Namun, ini tidak bermakna Turki kekal tanpa kerajaan,” kata Erdoğan.

 

Erdogan memberi amaran kepada parti-parti politik untuk menjalankan tugas mereka

Erdogan juga menggesa semua parti politik untuk berfikir dengan tenang dan menyeru mereka untuk melaksanakan tanggungjawab selaku para pemimpin negara.

”Tiada seorang pun perlu ragu-ragu bahawa saya akan melaksanakan tugas yang diberikan [kepada saya] oleh Perlembagaan,” katanya. “Saya percaya bahawa semua pihak akan membuat pilihan (ke arah mencapai) penyelesaian, bukan (menyebabkan) krisis (bertambah teruk).”

Presiden Erdogan turut membidas pengkritik Barat, khususnya media Barat, yang menyatakan bahawa segala kenyataan memburukkan beliau sebagai ‘hodoh, agresif dan kurang ajar.’

“Sukar untuk memahami sikap mereka (media barat) ini. Saya ingin mengatakan bahawa ini (kenyataan-kenyataan yang memburukkan beliau) menunjukkan sesuatu. Syukur kepada Allah, ia menunjukkan bahawa kita berada di jalan yang benar. Jika mereka memuji saya, maka ada sesuatu yang tidak kena dengan diri saya.”

Erdogan juga menyebut tentang pertemuan beliau dengan Deniz Baykal, salah seorang pemegang kerusi parlimen mewakili Republican People’s Party (CHP), yang menyatakan bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan Baykal kerana Baykal merupakan ahli parlimen tertua dan antara individu yang memegang kerusi parlimen sejak sesi pertama.

“Saya menilai proses ini bersama beliau dan memaklumkan kepada beliau bahawa saya akan memainkan peranan saya bagi memastikan proses ini berjalan tanpa henti,” kata Erdogan. “Hal ini kerana kita mempunyai pelaburan (jangka panjang) yang sedang berjalan, dan perkara itu tidak boleh dihentikan. Keadaan ini boleh menyebabkan negara saya terkebelakang.”

Pertemuan tersebut diadakan sebagai persiapan Turki membuka pintu rundingan menubuhkan sebuah kerajaan campuran antara Parti AK dan ketiga-tiga parti pembangkang.

Erdoğan dijangka secara rasmi, meminta Perdana Menteri Ahmet Davutoglu untuk membentuk kerajaan baru selepas keputusan akhir pilihanraya bakal diterbitkan pada minggu depan. Sama ada AKP akan membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti pembangkang, iaitu satu proses yang boleh mengambil masa beberapa minggu, atau cuba untuk melakukannya secara sendirian dalam sebagai sebuah kerajaan minoriti.

 

‘Kerajaan campuran tidak sesuai’

Terdahulu, Perdana Menteri Ahmet Davutoglu berkata AKP terbuka kepada semua pilihan tetapi memberi amaran awal bahawa sejarah telah menunjukkan kerajaan campuran tidak sesuai untuk Turki.

”Kami telah menjadikan era kerajaan campuran sekitar tahun 1970-an dan 1990-an sebagai contoh bagi menunjukkan bahawa kerajaan campuran tidak sesuai untuk Turki dan kami masih berpegang dengan pendirian itu,” maklum beliau.

Tetapi beliau menambah lagi bahawa dalam keadaan politik semasa, AKP adalah “satu-satunya parti yang boleh menawarkan penyelesaian yang realistik”.

 

Sumber : TodaysZaman, BBC

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Previous Post

Palestin: Menteri Kabinet Israel Menolak “Two-state Solution”

Next Post

Tun Mahathir : Malaysia perlu lebih tegas terhadap Myanmar selaku Pengerusi ASEAN

Related Posts