Imbasan Aidilfitri: Muslim Seantero Dunia Menyambut Syawal

16

Selayang pandang meninjau kemeriahan hari kemenangan Aidilfitri yang disambut penuh kesyukuran oleh umat Islam di seluruh pelusuk dunia.

Asia Selatan

Lebih daripada separuh billion umat Islam di Asia Selatan meraikan lebaran. Bangladesh, India dan Pakistan memulakan sambutan pada hari Sabtu termasuk minoriti Muslim di Sri Lanka dan Nepal.

Tiga tembakan telah dilepaskan ke udara bagi menandakan permulaan salah satu perayaan terbesar di dunia, dengan lebih daripada 300,000 orang berhimpun di dataran Dhaka, ibu Negara Bangladesh untuk meneruskan tradisi yang bermula pada tahun 1828 ini.

Kebanyakan penduduk Pakistan dan Bangladesh di bandar-bandar besar berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk beraya. Bot, bas dan keretapi dipenuhi jutaan penumpang,termasuk yang memaut pada kenderaan yang telah  penuh.

“ Festival ini menzahirkan nilai persaudaraan dan keharmonian dalam masyarakat. Semoga sambutan ini dapat mengukuhkan lagi ikatan perpaduan dan keamanan di negara kita,” Narendra Modi, Perdana Menteri India menulis dalam tweeter beliau buat 180 juta rakyat Muslim di negara itu.

Australia

Ribuan minoriti Muslim Australia berkumpul  di masjid dan pusat komuniti sejak awal pagi Jumaat lagi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri dan mendengar khutbah raya selepas sebulan berpuasa di bulan Ramadan.

Mustafa Asmaci, imam Masjid SunShine mengingatkan para jemaah, “ kita sebagai Muslim yang menetap jauh dari tanah air memikul tanggungjawab untuk menyampaikan Islam melalui cara yang terbaik.”

Khutbah beliau memfokuskan sikap positif yang dituntut kepada orang beriman, di samping menekankan agar menjauhi sebarang sengketa dan prasangka. Beliau juga menyeru umat islam untuk menziarahi ibu bapa termasuk saudara Muslim yang sakit dan berumur, serta berusaha menggembirakan kanak-kanak.

Asmaci turut melahirkan rasa gembira beliau melihat muslimin dan muslimat saling bertukar ucapan selamat, mengeratkan silaturahim dan terus mengimarahkan masjid.

Asia Tenggara

Dataran dan masjid dibanjiri jutaan rakyat Indonesia lengkap dengan baju raya masing-masing bagi menghadiri solat sunat di negara paling tinggi populasi Muslim tersebut.

Jubair, imam di wilayah Jawa Timur mengingatkan para hadirin masjid agar tidak tersalah memahami konsep jihad seperti segelintir golongan radikal yang menterjemahkan jihad sebagai mengangkat senjata. Ini menyebabkan Indonesia dilihat sebagai sebuah negara pengganas yang realitinya tidak benar sama sekali. Malah maksud jihad yang sebenar adalah perjuangan menentang hawa nafsu dan keluar daripada kemiskinan.

Seusai solat, kaum muslimin saling bermaafan seterusnya menjamu selera dengan juadah seperti “opor ayam”(kari ayam), “sambal goreng ati”(sambal goreng hati), dan “semur daging”(daging rebus) yang dihidang bersama ketupat.

Eropah

Muslim yang menetap di negara Eropah seperti Jerman, Perancis, dan Belanda juga hadir ke masjid menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Seramai lebih 2,000 Muslim di Paris saling mengucapkan tahniah selepas solat di Masjid Negara ibu negara.

Selesai solat di Belanda, Togan Oral, konsul general Turki di Rotterdam berkata: “Meraikan hari istimewa di luar negara merupakan sesuatu yang berbeza dari segi emosi dan kegembiraan.”

Di Jerman, Huseyin Avni Karslioglu, duta Turki di Berlin menunaikan solat raya bersama penduduk tempatan.

Muslim di Greece pula perlu ke Stadium Keamanan dan Persahabatan di Athens memandangkan tiada masjid di ibu negara. Gula-gula diberikan kepada kanak-kanak selepas solat.

Sementara itu, Muslim di Moscow menghadapi kesukaran untuk mencari ruang kosong di masjid. Ribuan Muslim solat di perkarangan bangunan kementerian di Kyrgyzstan.

tumblr_nrnhbdUJK41uuzsoyo1_1280

Balkan

Ribuan Muslim Balkan berkumpul di masjid untuk solat raya pada pagi Jumaat.

Bosnia Herzegovina yang memiliki populasi Muslim terbesar di Balkan, mula meraikan Aidilfitri dengan memperingati para syuhada. Ratusan penduduk berhimpun di masjid besejarah terbesar, Masjid Gazi Husrev-beg di Sarajevo.

Mufti Besar, Hussein Kavazovic menyatakan bahawa tentera yang syahid dalam Perang Bosnia, telah berjuang bagi memastikan generasi hadapan dapat mengamalkan Islam seperti yang sepatutnya.

“ Apa yang kita kecapi hari ini telah dibayar dengan tumpahan darah yang besar,” kata Kavazovic.

Masyarakat Balkan menyambut raya dengan berkumpul di kediaman ahli keluarga paling tua diikuti ziarah ke rumah sanak saudara lain selama tiga hari Syawal.

 

Susunan: Ainun Mardhiah Jamaluddin

Sumber: AnadoluAgency

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Pelampau Kristian Bakar Masjid Di Hari Raya

Next Post

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perjanjian Nuklear Iran

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content