Kebergantungan Terhadap Sesuatu Entiti Melahirkan ‘Cult’ di Korea Selatan

Korea Selatan sangat tidak asing dengan budaya pop dan idol yang menjadi salah satu sumber pembangunan ekonomi. Setelah berdekad lamanya Korea Selatan dijajah oleh Jepun, kemudian pertembungan persaudaraan antara Korea Utara dan Korea Selatan, kejatuhan ekonomi 1998, namun kini Korea Selatan adalah antara negara maju di dunia.

Hal ini menunjukkan situasi buruk di Korea Selatan tidaklah berlanjutan sehingga menjejaskan kebangkitan sosial dan politik, serta melaratkan rakyat di bawah rejim kerajaan. Walaupun telah mendapatkan kebebasan dan kemerdekaan pada 1948, namun sistem yang dibangunkan oleh Syngman Rhee, kemudian diganti dengan Park Chung Hee dan kemudian Chun Doo Hwan telah mengembalikan ketakutan rakyat akan hak kebebasan mereka.

Penyekatan dalam kebebasan bersuara, media dan pendidikan membataskan lagi rakyat untuk menjadi sebuah masyarakat yang merdeka. Kemuncaknya apabila berlaku Kebangkitan Gwangju pada tahun 1980 yang mengakibatkan kematian ratusan rakyat yang melibatkan mahasiswa universiti.

Hal ini memperlihatkan tragedi-tragedi yang berlaku telah menimbulkan trauma terhadap rakyat Korea Selatan itu sendiri. Maka dengan itu, semasa fasa gelap tersebut muncullah kumpulan-kumpulan agama dan ada juga yang telah diolah sesuai dengan manfaat tersendiri yang kini dipanggil kumpulan cult.

Kumpulan-kumpulan agama ini yang terdiri dari kumpulan Kristian Katolik dan Buddha telah lama menapak di Korea Selatan terutamanya Buddha sehingga agama tersebut telah menjadi budaya dengan menganggungkan sesuatu entiti dan menjadikannya sebagai hala tuju kehidupan. Selain itu, cult juga telah muncul sejak zaman penjajahan Jepun yang mana kumpulan ini mengakui sebagai penyelamat yang menawarkan salvation dan penenang terhadap masyarakat.

Kebergantungan emosi dan mental terhadap entiti-entiti ini kemudiannya dimanfaatkan oleh individu-individu seperti Jung Myung Seok yang mengetuai Salvation Sect (JMS), Park Soon Ja yang mengetuai Odaeyang (Five Ocean) dan lain-lain lagi. Perlunya seseorang yang kononnya memahami keperitan dan mendengar kesengsaraan yang dihadapi dengan penuh pengertian menyebabkan masyarakat Korea Selatan mudah untuk mengikuti cult yang wujud.

Bukan itu sahaja, berlaku penutupan kes-kes jenayah seks, penderaan fizikal dan mental yang dilakukan ke atas pengikut-pengikut cult ini yang berlindung di bawah nama salvation. Hal ini yang sepatutnya tidak diterima dan dianggap logik oleh pengikutnya kerana ianya merupakan satu penyucian dosa yang telah dilakukan oleh ketua agama tersebut. Kebanyakan cult di Korea Selatan ini menggunakan konsep Messianic yang menyatakan ketua cult ini sebagai Tuhan atau seorang yang menerima wahyu secara terus dari Tuhan.

Dan budaya taksub dan memuja ini sedikit sebanyak merebak hingga ke generasi kini dengan menggantikan individu-individu agama ini kepada penghibur atau dipanggil idol.

Para idol ini menjadi simbolik dengan pemberi kesenangan dunia oleh para penggemar untuk lari daripada masalah yang timbul dalam kehidupan. Idol juga menjadi sebuah pelarian sementara untuk menutupi keperitan hidup. Tidak dinafikan lagu dan konten yang diberikan dapat menghibur masyarakat Korea Selatan, malah hingga ke luar negara sekalipun. Akan tetapi, ketaksuban sehingga lahirnya kumpulan-kumpulan sasaeng (stalker) yang terlalu fanatik akan idol dan memuja mereka mengembalikan trend yang seakan ‘pemujaan entiti’ ataupun cult. Maka tidak hairanlah jika masyarakat Korea Selatan antara negara yang terbesar yang memasarkan hiburan sebagai tarikan pelancong dan pembangunan ekonomi.

Di samping itu, kepercayaan yang mendalam yang diletakkan ke atas ketua cult telah membutakan mata pengikut-pengikut ini daripada melihat jenayah-jenayah yang dilakukan. Pemerkosaan terhadap wanita, kanak-kanak, penderaan fizikal sehingga menyebabkan kematian dan pembunuhan yang disengajakan. Kesemuanya dibenarkan atas alasan penyucian dosa.

Kebergantungan terhadap kumpulan-kumpulan cult ini merupakan pelarian yang mencari kebahagiaan yang dijanjikan bahawa mereka akan berbahagia di kehidupan selepas kematian. Selain konsep Messianic yang digunapakai, kebanyakan teori yang menyimpulkan persoalan mengapa mudahnya masyarakat Korea Selatan dipengaruhi adalah disebabkan oleh kebanyakan kumpulan-kumpulan cult ini memberikan mesej yang menfokuskan kepada status masyarakat dan menjanjikan tempat yang tertinggi di ‘syurga’ selepas kematian nanti.

Kebergantungan manusia terhadap sesuatu entiti untuk menjamin kemaslahatan mental dan keberlangsungan hidup ini tidak lain dan tidak bukan adalah fitrah seorang manusia. Seperti bayi yang baru lahir di dunia, ia memerlukan ibu dan bapa sebagai penunjuk arah, pembimbing dan pembuka haluan hidup untuk menjalani kehidupan seharian.

Begitu juga dengan seorang manusia dewasa, baik lelaki mahupun perempuan memerlukan satu pegangan untuk tidak hidup dalam keadaan kecelaruan. Itu mengapa datangnya agama, sebagai panduan hidup dan Allah sebagai tujuan hidup.

Jika tidak dibimbing ke jalan yang memenuhi fitrah manusia, maka seseorang itu akan mudah dipengaruhi oleh hal-hal yang berbaur negatif seperti terlibat dengan gejala sosial, menghisap dadah, mudah terpengaruh dengan ajaran sesat dan mudah mempercayai kesesatan dunia.

Sukainah Iman
Pelatih Industri, IRIS Institute

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Syarikat China Curi Sumber REE Negara, Beri Kerugian kepada Negara Lebih 400 Juta USD

Next Post

Perang Palestin-Israel serta implikasi terhadap projek IMEC

Related Posts
Skip to content