Laungan Amaran Kesan Buruk Hukuman Mati di Mesir

014

Rakyat Mesir, aktivis luar, dan ahli politik telah melaungkan amaran akan berlakunya kesan buruk yang dahsyat terhadap institusi kehakiman negara yang telah menjatuhkan hukuman mati ke atas Presiden Mesir yang sah, Dr Mohammad Morsi dan beberapa lagi pimpinan Ikhwanul Muslimin (IM) atas tuduhan ‘mengadakan hubungan dengan Hamas’ dan ‘percubaan melarikan diri dari penjara’ pada Revolusi Januari 2011.

Tokoh pendakwah Kuwait, Tariq Suwaidan berkata bahwa hukuman yang dikenakan ke atas Dr Morsi dan pimpinan IM yang lain akan mengakibatkan keadaan bertambah buruk (perang saudara).

Menulis di laman sosial Facebook, Suwaidan menyatakan bahawa, “Kita cuba berusaha untuk mengawal pergerakan dari kalangan orang muda dan mengekalkan keamanan. Sehingga kini, (pihak berkuasa) dengan sengaja cuba mencetuskan keganasan dan perang saudara berlaku dengan menjatuhkan hukuman mati ke atas Presiden Morsi, Sheikh Yusuf Al-Qardhawi, Khayrat Shatir, Al-Beltagy dan ratusan lagi anggota pimpinan yang lain. Di mana hilangnya kewarasan mereka? Kenapa tidak melakukan sesuatu yang dapat mengelakkan satu malapetaka yang besar dari berlaku?”

Ancaman Besar ke Atas Keamanan Mesir

6 April Youth Movement telah mengeluarkan suatu kenyataan berkenaan hukuman mati yang dikenakan ke atas Presiden Morsi dan pimpinan IM yang lain, “Pengadilan korup, yang jelas-jelas menghina Revolusi Januari, hanya menjadikan masyarakat benci dan rasa dendam terhadap institusi itu, di mana sebelum ini mereka bersetuju untuk memainkan peranan penting, dalam menjatuhkan rejim diktator yang memerintah Mesir.

Tambahan lagi, kenyataan itu menyebut, “hukuman mati ini telah mengakibatkan keadaan bertambah teruk yang boleh menjejaskan keselamatan negara sekaligus menyebabkan huru-hara disebabkan oleh rakyat telah hilang percaya kepada institusi kehakiman negara.” Gerakan itu juga menyeru rakyat Mesir supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang mengancam keselamatan rakyat dan berdiri teguh menghadapi ketidakadilan yang berlaku.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman mati ke atas 122 tertuduh, termasuk Presiden Morsi, Mursyidul Am IM, Dr Mohammad Badei, Timbalan beliau, Khayrat Al-Shatir, bekas Speaker Parlimen Mesir, Saad Al-Katatni, dan beberapa lagi nama lain seperti Issam Al-Iryan dan Muhammad Al-Beltagy, serta Sheikh Yusuf Al-Qardhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia dan beberapa orang anggota Hamas. Pada 2 Jun, mahkamah akan mengadakan pendakwaan semula ke atas tokoh itu untuk mencapai keputusan akhir pendakwaan ke atas beliau.

Akhbar British Guardian melaporkan amaran yang dibuat oleh golongan Islamis Mesir akan mencetuskan tindak balas keganasan rakyat yang boleh menyebabkan rejim itu memansuhkan hukuman mati yang dibuat. Laporan yang sama juga dibuat oleh media tv Israel yang menyebut bahawa kebangkitan rakyat akan berlaku dengan lebih dahsyat sebagai tanda protes dan memberi tekanan kepada rejim itu sekiranya hukuman mati tersebut sah diputuskan pada 6 Jun kelak.

Hasutan Angkat Senjata

Apabila ratusan golongan muda IM bergelut dalam menghalang diri dari bertindak balas terhadap apa yang berlaku kepada saudara-mara dan rakan-rakan mereka yang merana di sebalik penjara tentera, serta menerima hukuman mati dan penjara seumur hidup, mereka tidak terlepas dari hasutan kumpulan bersenjata seperti ISIS dan lain-lain untuk melawan rejim kerajaan Mesir dengan senjata.

Anggota kumpulan bersenjata tersebut berbangga dengan tindakan mereka membunuh dan menganiaya orang awam dengan senjata yang mereka miliki. Dalam masa yang sama, mereka melekeh-lekeh anggota IM yang hanya bertahan, seolah-olah menunggu sahaja ditembak mati dan hanya berdoa kepada Allah memohon keadilan berpihak kepada mereka.

Anggota ISIS di Sinai telah dilaporkan mencemuh anggota IM selepas keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Presiden Morsi dan pimpinan IM yang lain, dengan menerbitkan 2 gambar bersebelahan yang menunjukkan gambar pemimpin IM di sebalik besi dan satu lagi gambar menunjukkan anggota ISIS sayap Sinai berdiri di atas seorang tentera yang dibunuh. Gambar itu ditulis, “Kekuatan jihad berbanding sikap mengalah dan berdamai… kamu pilih…”

Akaun Twitter Dabiq Channel, yang bercakap bagi pihak ISIS mengatakan : “Pada saat anggota IM menangis disebabkan ketidakadilan yang berlaku, kamu akan menjumpa anggota kami di Sinai menyembelih hakim As-Sisi (merujuk pada pembunuhan 3 hakim di Arish). Itu yang membezakan antara rasa lemah dan kuat.”

Sumber : MIDDLEEASTMONITOR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Puak Syiah Houthi Menyerbu Pejabat Pentadbiran Parti Ikhwanul Muslimin di Aden, Yaman.

Next Post

Ekstremis Buddha Dalang Pencetus Kebencian Terhadap Agama Islam di Burma

Related Posts
Skip to content