Minyak, Gas dan Perpaipan Punca Utama Krisis Pelarian Syria Terjadi

Mideast Syria Women Refugees-1

Berikutan krisis pelarian baru-baru ini, negara-negara sedunia sedang sibuk memfokus kepada pengurusan pelarian Syria manakala Amerika Syarikat dan kuncunya sedang lantang menyebarkan propaganda tentang siapa yang sepatutnya bertanggungjawab.

Yang menghairankan, liputan berita dan media tidak banyak menimbulkan persoalan tentang apakah faktor lain yang mempengaruhi tindak tanduk Amerika Syarikat terhadap krisis di Syria. Berdasarkan liputan sesetengah media dan fakta, krisis pelarian ini berpunca daripada peperangan sivil di Syria yang diberi dana, persenjataan dan latihan oleh negara-negara asing untuk menjatuhkan Assad.

Lalu timbul beberapa persoalan.

Adakah Amerika Syarikat dan sekutunya berniat untuk menjatuhkan Assad agar dapat mengembalikan keamanan dan membina semula sosioekonomi tempatan?

Dan adakah dengan kejatuhan Assad, tentera-tentera Amerika Syarikat dan kuncunya akan berundur dan memberi laluan kepada pemerintahan rejim yang baru?

Atau adakah Amerika Syarikat dan sekutunya sedang mengejar kepentingan lain lebih dari sekadar menyelesaikan konflik dalaman?

Kanak-kanak perempuan Syria yang terdampar di wilayah Izmir.
Kanak-kanak perempuan Syria yang terdampar di wilayah Izmir.

Keperluan untuk memastikan kelangsungan ekonomi

Dalam siri Krisis Pelarian Syria yang lalu, kita diberitakan dengan rumusan golongan elit yang berpengaruh di Amerika Syarikat pada tahun 1991 bahawa kelangsungan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat bergantung kepada penguasaan terhadap pasaran utama dan bahan mentah.

Dilaporkan bahawa campur tangan kuasa asing di Syria bermula dengan pemberontakan pada Mac 2011 yang hanya disertai oleh beberapa ratus orang. Namun, media seperti BBC dan Associated Press telah memanipulasi fakta bahawa pemberontakan tersebut seolah-olah boleh menghancurkan Syria.

Walaupun ia kelihatan seperti demonstrasi yang menuntut perubahan ekonomi yang membangun, Wikileaks telah membongkar maklumat bahawa CIA terlibat secara mendalam untuk menganjurkan, membiayai dan menawarkan persenjataan kepada peserta pemberontak tersebut.

Apabila rusuhan tersebut menjadi tidak terkawal dan jumlah puak penentang meningkat di Syria diikuti dengan keretakan sistem kerajaan, peluang ini direbut oleh Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Qatar, Arab Saudi dan NATO untuk menyusun, menyumbang persenjataan dan dana bagi pembentukan Free Syrian Army (FSA).

Bahkan baru-baru ini, laporan Wikileaks membongkarkan maklumat dari Arab Saudi bahawa Qatar dan Arab Saudi sudah bekerjasama untuk memberikan persenjataan dan dana kepada puak penentang untuk menumbangkan kerajaan Assad sejak 2012.

Setelah mensabotaj rusuhan pada tahun 2011 itu, propaganda tentang pakatan antara Syria dan Iran telah disebarkan sebagai satu bentuk ancaman terhadap keselamatan dan kepentingan Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau tersebut. Perlu dimaklumkan bahawa kerajaan Syria di bawah Assad adalah sekutu besar Iran bagi persenjataan, minyak dan gas.

Namun, apakah perkaitan antara minyak dan gas dengan krisis di Syria?

Mideast-Iraq-Syrian-R_Horo

Mengejar kepentingan terhadap minyak dan gas

Seperti sedia maklum, Amerika Syarikat adalah sebuah negara perindustrian yang terbesar di dunia. Jadi, adalah mustahil sekiranya Amerika Syarikat tidak mempunyai kepentingan untuk menguasai sumber minyak dan gas.

Seperti yang dicatatkan dalam US Army-funded RAND Report 2008 Unfolding the Future of the Long War, “Ekonomi bagi Negara industri akan terlalu bergantung kepada minyak secara berterusan, menjadikan ia satu sumber strategik yang penting”.

Walaubagaimanapun, apakah kepentingan bagi Amerika Syarikat dan sekutunya menguasai Syria?

Ketika campur tangan kuasa asing bermula di Syria pada tahun 2011, rundingan berkenaan satu projek saluran paip gas Iran-Iraq-Syria sedang hangat dijalankan. Seperti digambarkan oleh Dmitry Minin, penulis bagi Strategic Cultural Foundation pada Mei 2013;

“Satu pertempuran sedang meletus terhadap isu sama ada saluran paip akan menuju ke Eropah dari timur ke barat, dari Iran dan Iraq ke pantai Mediterranean di Syria, atau mengambil laluan yang lebih utara dari Qatar dan Arab Saudi melalui Syria dan Turki…Syria akhirnya menjadi kunci aliran ini, dan ia pula memihak kepada Iran dan Rusia; oleh itu keputusan dibuat untuk kapitalis Barat menjayakan perubahan rejim”.

Mengambil kira strategi yang disebut oleh bekas Setiausaha Agung NATO tersebut dan negara-negara yang terlibat, kita dapat fahami bahawa pembinaan salur paip tersebut akan memihak kepada musuh Amerika Syarikat dan Negara-negara Barat juga kuncunya di Timur Tengah, iaitu Iran dan Syria.

Pada 2 bulan yang lalu  syarikat Iran iaitu Iranian Gas Engineering and Development Company (IGEDC) dan Pasargad Energy Development Company baru sahaja menandatangani perjanjian ‘build-operate-transfer’ berjumlah $2.3 bilion untuk membina saluran paip sepanjang 1,300 kilometer, suatu rundingan yang penting bagi eksport gas ke Eropah pada masa akan datang. Percubaan terakhir terhadap saluran paip tersebut sedang berjalan dan aliran gas dijangka bermula pada bulan depan.

Oleh itu, campur tangan kuasa asing adalah amat perlu bagi merencatkan projek tersebut seterusnya menguasai sumber minyak dan gas yang berpusat di Teluk Parsi.

Mengapa Teluk Parsi? Dilaporkan dalam laporan RAND tersebut bahawa;

“…Untuk masa depan yang terdekat, pertumbuhan pengeluaran minyak dunia dan jumlah output akan didominasi sumber di Teluk Parsi… Kawasan tersebut menjadi keutamaan yang strategik, dan keutamaan ini akan berkait rapat dengan perencanaan peperangan yang berpanjangan”.

SERBIA-SYRIA-PROTEST

Lebih dari sekadar kebetulan

Memandangkan kebanyakan minyak akan dihasilkan di Timur Tengah, Amerika Syarikat mempunyai motif untuk mengekalkan kestabilan di Timur Tengah dan menjaga hubungan baik dengan negara-negara di rantau itu.

Krisis pelarian baru-baru ini bukan hanya kebetulan, bahkan ia telah dirancang. Seperti yang dibincangkan dalam siri Krisis Pelarian Syria sebelum ini, krisis pelarian ini dimanipulasi oleh Amerika Syarikat dan sekutunya juga media Barat untuk membuka jalan campur tangan ketenteraan ke Syria dalam keadaan dan keperluan yang mendesak.

Dapat disimpulkan bahawa konflik dalaman di Syria hanyalah sebuah orkestra yang dimainkan oleh Amerika Syarikat dan sekutunya bagi menjamin kepentingan mereka di Timur Tengah iaitu eksploitasi sumber mentah seperti minyak dan gas. Campur tangan ketenteraan yang dimaksudkan bertujuan untuk menjatuhkan Assad lantas menggagalkan komitmen terhadap saluran paip gas tersebut.

 

Danial A. Shaari

Penganalisis IRIS

 

Sumber:

  1. Mnar Muhawesh, “Migrant crisis fuelled by gas pipelines”, Mint Press News.
  2. PressTV, “Iran signs $2.3 billion gas pipeline plan”.
  3. Nafeez Ahmad, “Syria intervention plan fuelled by oil interests, not chemical weapon concern”, The Guardian.
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sungai Batu 500BC: Malaysia Mampu Buktikan Kehebatan Tamadun Melayu Sekiranya…

Next Post

Tiada Jaminan Khazanah Nasional, Petronas Akan Dikecualikan Daripada TPPA

Related Posts
Skip to content