MOSTI sasar lahir lima syarikat unicorn dalam tempoh lima tahun

PUTRAJAYA, 9 Sept — Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk melahirkan lima syarikat unicorn di negara ini dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata sasaran itu akan dapat dicapai dengan penerapan elemen Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) dalam pembangunan syarikat unicorn berkenaan, antaranya merangkumi elemen teknologi sensor, keselamatan siber, teknologi neuro, pembangunan bandar pintar, kesihatan dan agrikultur.

Mengambil kira kejayaan Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu terbesar di Asia Tenggara dan syarikat unicorn pertama di Malaysia dengan nilai lebih US$1 bilion, Dr Adham berkata elemen pendigitalan juga akan diberikan pengkhususan dalam membina syarikat unicorn berkenaan.

“Ini (pendigitalan) merupakan salah satu kaedah yang digunakan Carsome yang telah berjaya sampai ke negara rantau,” katanya pada sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan dengan pihak Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Carsome di MOSTI, hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi MAVCAP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias secara fizikal manakala Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Eric Cheng hadir secara maya.

Syarikat unicorn merujuk kepada pemula niaga yang memiliki penilaian keseluruhan melebihi US$1 bilion.

MAVCAP pula merupakan syarikat dana modal teroka yang ditubuhkan pada 2001 bertujuan membangunkan ekosistem teknologi di negara ini melalui pelaburan ke atas syarikat pemula teknologi yang berpotensi di peringkat tempatan dan serantau.

Sementara itu, Dr Adham berkata MOSTI juga telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM123 juta pada tahun ini yang akan disalurkan menerusi beberapa syarikat pembiaya termasuk MAVCAP untuk syarikat pemula yang mahu mengembangkan perniagaan mereka menerusi tiga kaedah pemberian iaitu geran, ekuiti dan pinjaman.

“MAVCAP semestinya berupaya membantu syarikat pemula ini untuk berkembang seterusnya menjadi juara antarabangsa dan memperluas teknologi dalam negara, secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

SIRIM, MIGHT bekerjasama untuk agenda Bandar Pintar, Kehijauan dan Kemampanan

Next Post

Tahap Keciciran Murid Sekolah Rendah Semasa Pandemik COVID-19

Related Posts

Dari Meja COO : Di Ambang Ramadhan

Setelah setahun yang panjang dan penuh dengan pelbagai peristiwa, umat Islam di seluruh dunia bertemu sekali lagi dengan bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Tidak jauh berbeza dengan Ramadhan pada beberapa tahun lepas, Ramadhan pada tahun ini juga menyaksikan bagaimana ianya hadir di tengah-tengah pelbagai lipatan peristiwa yang menjadi krisis dan kemelut bagi umat Islam di seluruh dunia.
Read More