Pengunduran tentera Amerika Syarikat dari Afghanistan mungkin ditafsir oleh ramai orang bahawa Afghanistan sudah bersedia untuk berkerajaan sendiri tanpa bantuan pihak asing. Hal ini dapat dilihat berdasarkan laporan di Reuters daripada Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden mengatakan bahawa Afghanistan sepatutnya sudah mula menentukan masa depan mereka sendiri tanpa bantuan sesiapa. Tentera Amerika Syarikat diperintahkan untuk berundur secara beransur-ansur sebelum 11 September 2021 ini.
Namun demikian, tujuan sebenar Amerika Syarikat memindahkan tenteranya keluar dari Afghanistan adalah untuk memfokuskan kepada isu di Laut China Selatan. Hal ini dilihat sama seperti tindakan Barack Obama yang mengeluarkan tentera mereka dari Iraq untuk fokus berhadapan dengan China melalui kempen “Pivot to Asia”.
Laut China Selatan sememangnya amat penting bagi negara yang mempunyai kepentingan di sana seperti China dan negara-negara ASEAN. Krisis perebutan rantau di sana dilihat serius sehingga melibatkan pertunjukan aset ketenteraan sebagai tanda amaran, sama ada daripada pihak China atau Amerika Syarikat.
Ironinya, tindakan Amerika Syarikat keluar dari Afghanistan memberikan kelebihan kepada China untuk menapak di Afghanistan. Dengan kedudukan geografi Afghanistan yang berada di Asia Tengah, ia seakan strategik untuk melaksanakan projek Belt and Road Initiative (BRI) milik China. Kedudukan geografi ini juga membolehkan projek jalan darat BRI daripada Asia ke Eropah boleh dibuat melalui Afghanistan. Jika projek BRI di Afghanistan ini berjaya dibuat, maka penguasaan geoekonomi China di Asia Tengah akan lengkap melibatkan Afghanistan, Tajikistan, Kyrgyzstan, Uzbekistan dan Turkmenistan.
Selain itu, wujudnya hubungan ekonomi Afghanistan-China melalui BRI maka berkemungkinan besar Wakhan Corridor bakal dinaiktaraf menjadi Laluan Sutera untuk mengukuhkan lagi kedudukan China di Asia Tengah. Hal ini ditambah lagi bahawa Wakhan Corridor pernah menjadi laluan perdagangan darat ke China berabad yang lalu. Sudah tentu China amat berminat untuk mengulangi sejarah itu kembali.
Persoalannya, bagaimana China ingin berurusan dengan Taliban yang bakal bertindak sebagai kerajaan Afghanistan? Dahulunya mungkin China tidak berapa terbuka soal hubungan dengan Taliban, namun pada Julai 2021 baru-baru ini China telah menjemput ketua perunding Taliban, Mullah Abdul Ghani Baradar untuk bertemu dengan Menteri Luar China iaitu Wang Yi di Tianjin. Pertemuan rasmi ini menunjukkan bahawa China amat komited dalam membina hubungan yang baik bersama Taliban.
Dalam pertemuan ini juga, hal ini memberikan kelebihan kepada Taliban untuk mendapatkan imej keabsahan sebagai pemegang kuasa apabila kembali menjadi kerajaan seperti yang ditegaskan oleh jurucakap Taliban, Mohammed Naeem. China pula selain daripada membina hubungan untuk manfaat ekonomi bersama, China juga berharap Taliban mampu menghalang East Turkestan Islamic Movement daripada terus mengancam kepentingan China di Xinjiang.
Bukan itu sahaja, selain daripada manfaat untuk melakukan BRI, China juga cuba untuk membina hubungan yang baik dengan Taliban bagi membolehkan China-Pakistan Economic Corridor (CPEC) dapat dijalankan dengan baik tanpa gangguan. Jika stabil kerajaan yang dipimpin oleh Taliban, maka selamat projek ekonomi China bersama Pakistan itu. Kemasukan Afghanistan ke bawah BRI sudah pasti akan mengukuhkan lagi CPEC tersebut.
Berbalik kepada soal BRI dan manfaat ekonomi, adakah projek BRI milik China ini benar-benar mampu dilaksanakan di Afghanistan? Tindakan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani yang melarikan diri ke Tajikistan memberi isyarat bahawa Taliban mempunyai peluang untuk kembali ke tampuk kekuasaan yang kali terakhir mereka pegang pada tahun 2001. Namun, kembalinya mereka menjadi kerajaan pasti diiringi dengan perang saudara.
Dalam laporan BBC baru-baru ini melaporkan sekurang-kurangnya 27 orang kanak-kanak terbunuh akibat pertempuran antara Taliban dengan tentera Afghanistan. Pastinya ini telah menunjukkan bibit-bibit peperangan saudara akan muncul di Afghanistan tidak lama lagi.
Persoalan yang pasti akan timbul adalah, adakah BRI mempunyai peluang untuk bertapak di Afghanistan? Menarik untuk kita saksikan dahulu dasar-dasar pentadbiran Taliban apabila menjadi kerajaan kelak sebelum membuat kesimpulan yang lebih lanjut.
Oleh:
Imran Hakimi
Pelajar Sains Politik UKM
Rujukan:
- https://foreignpolicy.com/2021/08/14/china-afghanistan-wakhan-corridor-imperial-ambitions/
- https://www.aljazeera.com/news/2021/7/28/chinese-officials-taliban-vow-warm-ties-in-meeting
- https://www.orfonline.org/expert-speak/will-china-get-embroiled-in-the-graveyard-of-empires/
*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Fokus.my
Terbaik Imran. Terima Kasih atas info dan pandangannya. Sangat bermanfaat.