TPPA: Apa Akan Berlaku Seterusnya?

 

Sumber: EPA/AZHAR RAHIM
Sumber: EPA/AZHAR RAHIM

Berikutan kegagalan rundingan TPPA di Hawaii untuk mencapai kata putus dua minggu lepas, ramai antara rakyat Malaysia tertanya-tanya apa yang akan berlaku kepada perjanjian tersebut selepas ini. Persoalan yang timbul tetap sama –  adakah Malaysia bakal menandatangani TPPA?

Mungkin persoalan ini dapat dijawab dengan melihat pendirian kerajaan yang positif terhadap perjanjian ini berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed selepas rundingan tersebut. Malah kenyataan penuh yakin telah pun dikeluarkan oleh Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry bahawa perjanjian TPP akan diselesaikan hujung tahun ini juga sebelum tempoh pentadbiran Presiden Obama tamat.

Namun melihatkan konflik yang berlaku ketika rundingan lepas dibuat, kita dapat saksikan bahawa untuk mendapat persetujuan bersama dalam setiap peruntukan dalam TPPA bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Setiap perunding bagi setiap negara mempunyai agenda dan misi mereka tersendiri dalam mengetengahkan kepentingan negara masing-masing. Malah perjanjian ini menguji sejauh mana negara yang terlibat mampu membuka pasaran negara mereka bagi syarikat-syarikat multinasional asing dan menerima dengan terbuka tahap persaingan yang bakal dihadapi oleh syarikat tempatan. Kita dapat saksikan juga pada rundingan lepas bagaimana Kanada enggan untuk membuka pasaran bagi produk tenusu mereka kepada pengeksport terbesar, New Zealand yang akhirnya menyebabkan isu berkenaan masih menjadi pertikaian dalam rundingan TPP.

Persoalannya kini, adakah Obama mempunyai masa yang cukup untuk menamatkan rundingan TPP dan mencapai kata putus? Jika tidak, adakah Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya berminat untuk meneruskan agenda perluasan kuasa oleh AS di rantau ini menerusi TPPA?

 

Pandangan calon Presiden Amerika Syarikat 

1. Jeb Bush dan Donald Trump dari Parti Republikan

Donald Trumph (kiri) dan Jeb Bush (kanan)
Donald Trumph (kiri) dan Jeb Bush (kanan)

Berbeza dengan usul lain yang pernah dibawa oleh Obama sebelum ini, calon-calon dari Parti Republikan nampaknya sependapat dengan Obama mengenai TPPA. Parti Republikan yang rata-ratanya dianggotai oleh mereka yang mempunyai kepentingan dalam sektor perniagaan pastinya bersetuju dengan mana-mana usul yang memberi manfaat kepada ekonomi Amerika Syarikat dan membawa untung kepada syarikat-syarikat besar. Antara faktor terbesar yang mempengaruhi pendirian mereka adalah kuasa pelobi yang ada pada syarikat-syarikat gergasi yang menjadi sumber pendapatan calon untuk mengadakan kempen sempena Pilihanraya Presiden tahun hadapan.

Malah Jeb Bush dengan tegas mengatakan beliau tidak pernah mengubah pendirian beliau menyokong TPPA. Bush setakat ini menampakkan potensi yang besar untuk berjaya memasuki peringkat terakhir Pilihanraya Presiden AS akan datang. Donald Trump, walaupun bukanlah calon yang berjaya mengambil hati pengundi berikutan beberapa kenyataannya yang menimbulkan kontroversi, namun melihatkan populariti dan jumlah dana yang dipunyai beliau, kemungkinan untuk menjadi calon Republikan untuk merebut kerusi Presiden itu tetap ada. Malah, pendiriannya terhadap TPPA mungkin tidak perlu diperjelaskan lagi melihatkan reputasi beliau sebagai jutawan dengan empayar bisnes yang dimilikinya.

Nampaknya, Parti Republikan kali ini bakal menghadapi cabaran besar dalam memperoleh kepercayaan pengundi kerana rakyat Amerika Syarikat hakikatnya khuatir dengan kebajikan dan nasib pekerja di negara itu sekiranya TPPA berjaya dilaksanakan. Mereka percaya sekiranya TPPA ditandatangani, syarikat-syarikat gergasi AS sudah tentu akan mengambil kesempatan dengan sumber buruh yang lebih murah di negara-negara membangun seperti Vietnam dan Malaysia. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan peluang pekerjaan di AS. Oleh itu, calon Parti Republikan perlu membuktikan TPPA bakal menguntungkan rakyat AS.

 

2. Hillary Clinton dari Parti Demokrat

Hillary Clinton
Hillary Clinton

Parti Demokrat yang juga merupakan parti yang dianggotai Obama mempunyai agenda yang lebih memperjuangkan hak pekerja di Amerika Syarikat. Rata-rata dari calon parti ini menolak TPPA yang dibawa oleh Obama. Contohnya seperti Senator Bernie Sanders yang lantang dalam menentang TPPA. Beliau berpendapat TPPA akan merugikan rakyat Amerika dan akan menjejaskan peluang pekerjaan mereka kerana terpaksa bersaing dengan sumber buruh di negara luar. Walaupun Sanders semakin popular dalam meraih dana daripada pelobi namun beliau berhadapan dengan pesaing terkuat dalam partinya sendiri, Hillary Clinton.

Clinton hingga kini masih tidak menyatakan pendirian beliau sama ada beliau menyokong atau menentang TPPA. Walaupun ada kritikan yang mengatakan beliau menyokong perjanjian tersebut lantas bercanggah dengan manifestonya yang akan mempertahankan hak pekerja AS yang bakal terjejas dalam TPPA, Clinton masih menafikan hal tersebut. Clinton, yang juga merupakan bekas Setiausaha Amerika Syarikat telah terlibat secara langsung dalam rancangan perluasan kuasa AS, Pivot to Asia ketika itu.

Berdasarkan penglibatan dan pendirian Clinton dalam mana-mana polisi luar Amerika Syarikat, kemungkinan besar Clinton akan menyokong TPPA. Penafian yang dibuatnya ketika ini lebih kepada strategi kempen untuk meraih undi kerana sekarang rakyat Amerika risau dengan sektor pekerjaan mereka dan pasti mengundi parti yang akan mempertahankan hak itu, walaupun realitinya mungkin tidak berlaku jika Clinton menjadi presiden.

 

Kesimpulannya, TPPA berkemungkinan besar akan selesai hujung tahun ini berdasarkan usaha yang diakukan oleh kerajaan Amerika Syarikat. Rakyat Malaysia pula kini menunggu usul TPPA untuk dibincangkan dalam Parlimen seterusnya membuat keputusan sama ada mahu menandatanganinya atau tidak. Sekiranya TPPA tidak dapat diselesaikan sewaktu tempoh pentadbiran Obama, kita sudah dapat membuat jangkaan serba sedikit apa yang akan dilakukan oleh Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya. Nampaknya, TPPA akan tetap diteruskan dan kita perlu bersedia dengan polisi luar yang bakal dibawakan oleh Presiden Amerika Syarikat yang seterusnya.

 

Nur Hanis Mohamad Noor

Penganalisis IRIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

178 Ahli Ikhwan Ditahan dalam Masa Seminggu

Next Post

Berapa Ramai Pemimpin Islam Sudah Mati di Penjara Mesir

Related Posts
Skip to content