TPPA Bakal Mengulangi Sejarah NAFTA?

 

2014_mar_apr_images17

 

TPPA bukanlah satu-satunya perjanjian perdagangan yang pernah diketuai oleh kuasa besar dunia, Amerika Syarikat. Bahkan perjanjian perdagangan  seperti FTA (Free Trade Agreement) sering dilakukan oleh mereka bagi bertujuan menembusi pasaran luar negara dan meningkatkan kadar eksport Amerika Syarikat. Sehingga Januari 2015, Amerika Syarikat telahpun melaksanakan 14 FTA dengan 20 buah negara di seluruh dunia. Hal ini termasuklah perjanjian perdagangan Amerika Utara, NAFTA yang menyaksikan tiga buah negara membentuk satu pasaran yang dipercayai mampu memberi saingan dalam pasaran dunia.

NAFTA (North American Free Trade Agreement) merupakan perjanjian perdagangan trilateral yang merangkumi 3 buah negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Perjanjian tersebut termeterai pada Januari 1994 setelah ditandatangani oleh Bill Clinton, Presiden AS pada ketika itu bersama Presiden Mexico, Carlos Salinas, dan Perdana Menteri Kanada, Jean Chrétien. Secara mudahnya, NAFTA merupakan perjanjian perdagangan yang menghapuskan segala kadar tarif dan kuota ke atas eksport Amerika Syarikat ke Mexico dan Kanada. Perjanjian ini turut merangkumi perlindungan hak harta intelek termasuk paten, tanda dagangan (trademark), dan bahan hak cipta. Bahkan NAFTA turut memperuntukkan mekanisme ISDS dalam salah satu bab perjanjian iaitu bab ke-11 dalam NAFTA.

Namun melihatkan kesan NAFTA setelah 20 tahun berlalu menimbulkan satu persoalan, sama ada mampu atau tidak sesebuah negara membangun seperti Mexico mampu memberi saingan dan mendapat manfaat sebaiknya dalam sebuah perjanjian perdagangan yang turut menampilkan Amerika Syarikat? Atau dengan kata yang lebih mudah negara manakah yang akan  mendapat manfaat pada kadar optimum hasil dari mana-mana perjanjian perdagangan walaupun pada hakikatnya mereka terpaksa bersaing pada tahap kemajuan yang berlainan?

Mungkin perbandingan NAFTA dan TPPA bukanlah sesuatu yang relevan untuk dibandingkan secara keseluruhan, melihatkan tujuan utama TPPA adalah bermotifkan kepentingan geopolitik melebihi kepentingan perdagangan seperti yang mahu dicapai melalui NAFTA, namun dengan melakukan sedikit penilaian dan evaluasi ke atas NAFTA mampu memberi gambaran kepada rakyat Malaysia mengenai realiti yang terpaksa kita hadapi sekiranya Malaysia bersetuju untuk menandatangani TPPA. Maka, penting untuk kita lihat apa situasi semasa Mexico pasca NAFTA.

Berikut merupakan hasil evaluasi pasca NAFTA yang dihadapi oleh Mexico setelah 20 tahun berada dalam perjanjian tersebut:

1. Sebelum NAFTA (1960-1980), kadar KDNK per kapita hampir meningkat 2 kali ganda, menunjukkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 98.7%. Namun setelah 20 tahun berada dalam NAFTA, kadar pertumbuhan hanya menunjukkan peningkatan sebanyak 18.6%, hanya separuh dari apa yang dicapai oleh negara Latin Amerika yang lain.

2. Sekiranya NAFTA mampu mengekalkan prestasi ekonomi Mexico sebelum adanya perjanjian tersebut, Mexico kini mampu menjadi negara berpendapatan tinggi, namun situasi berkenaan tidak berlaku.

3. Menurut jabatan statistik Mexico, kadar kemiskinan di negara tersebut mencapai 52.3% pada tahun 2012, hampir menyamai kadar pada tahun 1994 sebelum adanya NAFTA, menunjukkan bahawa NAFTA gagal menyumbang dalam menurunkan kadar kemiskinan negara tersebut.

4. Kadar inflasi di Mexico pada tahun 2012 hampir sama pada tahun 1994, hanya menurun sebanyak 2.3% setelah 18 tahun berada dalam NAFTA.

5. Kadar pengangguran mencapai 5.0% ketika ini, berbanding purata 3.1% sekitar tahun 1990-1994 dan serendah 2.2% pada tahun 2000.

6. NAFTA turut memberi kesan buruk yang signifikan ke atas kadar pekerjaan dalam bidang pertanian di Mexico disebabkan oleh persaingan hebat daripada keluaran jagung Amerika Syarikat yang mendapat subsidi. Daripada tahun 1991-2007, terdapat 4.9 juta keluarga petani di Mexico yang kehilangan pekerjaan.

7. Mexico telah kalah sebanyak 5 kes melalui mekanisme ISDS yang diperuntukkan dalam NAFTA dan terpaksa membayar saman sejumlah 204 juta USD. Berbanding Amerika Syarikat yang telah memenangi 11 kes dan tidak pernah membayar mana-mana saman dalam kes NAFTA.

8. Walaupun pada hakikatnya Mexico mendapat kelebihan dalam melakukan perdagangan dengan Amerika Syarikat melalui NAFTA, namun mereka terpaksa bersaing dengan China, antara sumber import terbesar Amerika Syarikat semenjak China menyertai WTO. Hal ini menyebabkan hasil keluaran Mexico kurang kompetitif jika dibandingkan dengan barangan keluaran China yang jauh lebih murah kosnya.

9. Malah jika dilihat pada gambar rajah di bawah, kita akan mendapat gambaran yang lebih jelas negara manakah yang lebih untung dalam perjanjian NAFTA.

 

Sumber: The Economist
Sumber: The Economist

 

Memang benar Mexico dan Kanada mendapat manfaat daripada bahan eksport dari Amerika Syarikat, namun adakah ini menunjukkan hubungan simbiosis yang sihat, atau hanya hubungan yang dimonopoli oleh satu pihak?

Apa yang lebih penting adalah semua pihak bersetuju bahawa apa yang dijanjikan oleh Amerika Syarikat sebelum Mexico menandatangani NAFTA hanyalah satu janji yang tidak berjaya ditepati. Rancangan mereka untuk membangunkan Mexico sebagai negara maju setelah berada dalam NAFTA akhirnya tidak berjaya dicapai. Malah apabila ramai pihak yang mendesak kerajaan Amerika Syarikat untuk meneliti semula dan membuat penilaian ke atas perjanjian tersebut setelah 20 tahun dilaksanakan, apa yang dijawab oleh Setiausaha Amerika Syarikat, John Kerry adalah usaha membuka semula NAFTA adalah usaha yang tidak perlu melihatkan ketiga-tiga negara kini terlibat dalam perjanjian TPP.

Kini persoalan yang tinggal, adakah Mexico kini mampu bersaing dengan pasaran yang mempunyai tenaga kerja yang lebih murah seperti Vietnam dan Malaysia apabila berada dalam TPPA? Dan bagi Malaysia, adakah kita mampu untuk tidak mengulangi kesilapan Mexico dalam mengadakan hubungan perdagangan dengan kuasa besar Amerika Syarikat?

Mungkin TPPA dilihat sebagai satu langkah yang berlainan dengan NAFTA, namun melihatkan pendekatan dan peruntukan dalam kedua-dua perjanjian seperti peruntukan ISDS, kemungkinan untuk TPPA bakal mengulangi sejarah NAFTA itu masih ada.

 

Nur Hanis Mohamad Noor

Penganalisis IRIS

Sumber: USGov, CEPR, Huffington Post, The Economist,  GlobalResearch, CFR

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Rakyat Jepun Bantah TPP

Next Post

Kronologi Perkembangan Program Nuklear Iran (1957 – 2014)

Related Posts
Skip to content