Budaya Meludah – Analisa Polisi Sosial di Singapura

Laman web Foreign Policy pada minggu ini mengeluarkan artikel berkaitan keberkesanan perubahan yang dilakukan Singapura terhadap budaya meludah[1]. Pada tahun 1984, Perdana Menteri Lee Kuan Yew memperkenalkan undang-undang mengharamkan meludah, manakala pada tahun 1995, jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita Singapura merekodkan peningkatan sebanyak empat kali ganda. Secara tidak langsung ia menampakkan seolah-olah penguatkuasaan moral mempunyai kuasa mengubah kemajuan sesebuah negara.

Di Singapura, sesiapa yang ditangkap meludah boleh didenda sehingga $1000 atau $5000 bagi kesalahan berulang. Selain meludah, aspek moral lain yang dikuatkuasakan termasuklah membuang sampah merata-rata, penyebaran pornografi, tidak pam tandas selepas digunakan serta vandalisme[2]. Larangan meludah ini dilihat bertujuan mengekang kelakuan lama orang cina ini yang sudah terlalu biasa dan sukar dibuang.

Di mata Barat, undang-undang ini mengawal kelakuan individu seperti ini mungkin dianggap sebagai pencerobohan hak dan sesuatu yang pelik dalam suasana barat yang melaung-laungkan hak asasi dan kebebasan individu. Pada tahun 1984, ketika larangan meludah ini dikuatkuasakan secara serius, 128 orang didenda, manakala pada tahun berikutnya seramai 139 orang. New York Times melaporkan pada tahun 2003, 11 orang didakwa meludah dan didenda $300 seorang[3].

Undang-undang ini jarang dikaitkan sebagai faktor penyumbang kemajuan ekonomi Singapura, tetapi perkaitannya mungkin ada. Penguatkuasaannya berlaku ketika awal pertumbuhan pesat ekonomi yang menjadikan negara tersebut salah satu negara terkaya dunia. Mengikut laporan Bank Dunia, pada tahun 1980, KDNK per kapita Singapura serendah $5000. Pada tahun 1985, meningkat ke $6781 dan tahun 1995, $24 937[4]. Begitu juga dengan Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang menyaksikan peningkatan lebih lima kali ganda antara tahun 1985 dan 1990.

Mengatakan undang-undang ini sebagai faktor penyumbang langsung kepada pertumbuhan langsung mungkin tidak tepat. Namun ia boleh dilihat sebagai salah satu pakej yang menyumbang ke arah strategi kemajuan ini. Suasana bersih, sihat dan berdisiplin ini menjadikan negara yang menguatkuasakan undang-undang ini mempunyai pakej penarik untuk pelabur menjalankan perniagaan. Hari ini, negara Singapura menduduki tempat pertama dalam ranking Bank Dunia bagi Indeks Kemudahan Berniaga (ease of doing business) (Malaysia di tangga 18)[5].

Langkah ini yang dianggap asing ini kemudiannya ditiru oleh Hong Kong pada tahun 2003 ketika wabak SARS menular. Juga oleh Shenzhen, salah satu bandar negara China. Pada tahun 2005, survey membayangkan kejayaan larangan meludah ini, dengan menjadikan tabiat kotor ini sebagai amalan menjijikkan nombor satu bagi rakyat Hong Kong, Taiwan dan Singapura[6].

Menarik melihat komen Lee Kuan Yew dalam memoirnya From Third World to First: The Singapore Story 1965-2000, dalam mengulas cubaannya mengekang tabiat biasa rakyat negara tersebut. Dia juga menghadapi kritikan dan sindiran untuk memperkenalkan undang-undang baru ini. Baginya, dia mahu menjadi orang yang gelak dan tersenyum pada hujungnya kerana misinya yang berjaya. Pada pandangannya, rakyat Singapura akan menjadi warga yang pengotor dan biadab tanpa peraturan tersebut. Apa yang penting ialah peraturan tersebut membawa kebaikan kepada pembangunan negara dan rakyatnya.

Pengajaran Buat Malaysia

Artikel ini dirujuk bukanlah mahu mengagungkan pendekatan negara tersebut atau menjadikan mereka kiblat dalam soal keberkesanan undang-undang moral. Cuma ada beberapa pengajaran penting yang boleh rakyat Malaysia pelajari daripada larangan meludah dan transformasi negara Singapura tadi.

Pertama, Islam pada hakikatnya lebih awal mengajar soal penjagaan dan penguatkuasaan akhlak juga moral awam. Islam juga menjadikannya sebagai amanah yang perlu ditunaikan oleh pemerintah. Polisi dan kebijaksanaan pengurusan negara ini disebut sebagai siyasah syariah yang didefiniskan oleh Ibnu Aqil sebagai tindakan yang menjadikan manusia lebih dekat dengan kebaikan dan lebih jauh daripada keburukan, walaupun Rasulullah tidak pernah melakukannya dan tiada wahyu turun mengenainya[7].

(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. [alHajj, 22:41]

Hari ini ada pasangan belum berkahwin berpeluk-pelukan di khalayak ramai atas alasan mereka berdua membuatnya secara rela dan tidak mengganggu orang lain. Ada juga yang membantah penguatkuasaan solat Jumaat kepada orang lelaki kerana akan menimbulkan sifat tidak ikhlas beribadah. Namun pada hakikatnya, suara yang mengatakan bahawa pihak berkuasa tidak boleh mencampuri urusan moral dan peribadi adalah terbatal. Selain merupakan perintah Allah, kebiasaanya perilaku tidak sopan seperti ini sinonim dengan integriti buruk yang pentingkan diri, tidak amanah dan cuai.

Kedua, dalam Islam, ada konsep perkaitan antara akhlak yang baik dengan kemakmuran sesebuah negara. Ada janji Allah kepada mereka yang mentaati suruhan Allah dan Rasul serta takut kepada-Nya (tidak berbuat syirik dan meninggalkan maksiat serta larangan) bahawa Allah akan membukakan pintu langit yang berlimpahan rahmat, berkat, perbendaharaan bumi dan rezeki yang baik.

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi … [al A’raaf, 7:96]

Dr Zahazan Mohamed mengulas perkataan keberkatan dalam ayat tersebut termasuklah membawa erti rezeki, keamanan, keselamatan daripada segala keburukan, kaya raya, stabil ekonomi dan politik dan penuh dengan kesejahteraan[8]. alQurtubi pula menghuraikan ayat tersebut bahawa Allah akan menyelamatkan mereka daripada kemarau dan kegersangan.

Oleh itu, adalah sesuatu yang pelik apabila ada yang berpandangan negara perlu utamakan mengejar kemajuan ekonomi dan tidak perlu fokus pada proses Islamisasi. Bahkan ada yang sinis rela tidak berjuadahkan nasi lemak asalkan hudud dijalankan. Persepsi sebegini tidak tepat, seolah-olahnya pemerintah langsung tidak peduli dalam soal pembangunan dan dinafikan kesungguhan mereka. Bahkan, janji Allah bahawa dengan menjalankan perintahnya akan membawa kemakmuran dan kestabilan perlulah diyakini.

Ketiga, sedangkan perkara yang remeh seperti meludah boleh dimasukkan dalam bidang kuasa pemerintah, apatah lagi perkara yang secara khusus diwartakan Allah sebagai larangan dan disertakan hukumannya secara spesifik. Penguatkuasaannya pastilah membawa kebaikan yang lebih jelas, apatah lagi jenayah seperti mencuri, membunuh dan berzina yang menjadi kerisauan dan penyakit sumbang dalam masyarakat.

Pada hari ini, undang-undang menjaga moral di Malaysia menerima pelbagai kritikan sepertimana yang boleh dilihat di media arus perdana. Pandangan yang menentang dizahirkan seolah-olah bilangan mereka ramai. Ironinya, mereka yang kononnya berlandaskan demokrasi ini langsung menafikan peluang undang-undang Islam yang dipersetujui ramai ini untuk dibincang dan melalui proses matang.

Namun, komitmen pemerintah serta golongan Islamis perlu diteruskan. Dalam menghadapi kritikan dan cabaran, kesungguhan mereka pada perintah Allah serta keyakinan pada janji-Nya perlulah melebihi kesungguhan dan keyakinan Lee Kuan Yew terhadap gelak terakhirnya.

“Sesungguhnya asas syariah adalah ia memberi hikmah dan kebaikan pada kehidupan manusia. Syariah semuanya adil, semuanya maslahah, dan semuanya hikmah.”[9]

 

Faqih Ahmad Shuhaili terlibat dalam Unit Kajian dan Analisis di IRIS Institute. Beliau yang merupakan graduan Master of Engineering (M.Eng) in Chemical Engineering dari University of Sheffield, UK mempunyai minat yang mendalam dalam perhubungan antarabangsa dan politik. Selama 4 tahun di United Kingdom, beliau banyak berkecimpung dalam aktiviti mahasiswa dan kemanusiaan melalui pelbagai persatuan pelajar dan masyarakat. Dalam akademik, beliau bercita-cita menguasai bidang biochemistry dan renewable energy selain terlibat dalam pembuatan polisi berkaitannya.

 

Rujukan

[1] Alicia P.q. Wittmeyeralicia, Want Your City-State to Become a Capitalist Success Story? Ban Spitting. 2015, http://foreignpolicy.com/2015/03/24/want-your-city-state-to-become-a-capitalist-success-story-ban-spitting

[2] Noah Plaue, If You Think The Soda Ban Is Bad, Check Out All The Things That Are Illegal In Singapore, 2012, http://www.businessinsider.com/absurd-laws-of-singapore-2012-6?IR=T&

[3] Wayne Arnold, In Singapore, 1970’s Law Becomes Weapon Against SARS, 2003, http://www.nytimes.com/2003/06/10/health/in-singapore-1970-s-law-becomes-weapon-against-sars.html

[4] The World Bank Group, GDP per capita (current US$), 2015, http://data.worldbank.org/indicator/NY.GDP.PCAP.CD/countries/1W-SG

[5] The World Bank, Economy Rankings, 2015, http://www.doingbusiness.org/rankings

[6] Barclay Crawford, Spitting and bad service take top spots in the HK hate list, 2005, http://www.scmp.com/node/530784

[7] Hazizi Ab Rahman, Relevansi Konsep Negara Islam: Pelaksanaannya Dalam Sistem Demokrasi Malaysia, 2014, Simposium Pemikiran Politik Islam

[8] Zahazan Mohamed, Jangan Sampai Allah Murka, 2014, Solusi Isu 69

[9] Ibn alQayyim, I’lam Al-Muwaqqi’in, 3/3

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Sejarah Amerika Bermula Daripada Radical Protestanism

Next Post

Analisa Perkembangan Rundingan TPPA

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content