Padan Muka Amerika Dibelasah Turki

3 Mac 2018 sebenarnya menandakan genap 94 tahun sistem Khilafah diruntuhkan di Dunia Islam. Namun berbeza dengan nasib empayar terakhir umat Islam abad ke-20 itu, pewaris geografi Khilafah abad ke-21, iaitu Turki kini sebaliknya berada dalam keadaan yang ternyata lebih bersedia menghadapi gelora politik dalaman dan juga luaran – khususnya dalam kes campur tangan kuasa asing.

Masih ingat bagaimana Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan ‘mengajar’ Presiden Donald Trump semasa mereka bersalam di White House tahun lalu? Berbeza dengan nasib ‘malang’ yang menimpa pemimpin dunia lain yang bersalam dengan Trump, Erdogan berjaya menghalang tangan beliau daripada ditarik dan ditepuk-tepuk oleh Trump.

Mesejnya jelas: Trump tidak akan mampu menjinakkan Erdogan. Kini, kedua-dua kuasa ini sedang sengit berperang antara satu sama lain di wilayah Afrin, Syria dan sekali lagi Turki bukan sahaja berjaya ‘mengajar’, malah ‘membelasah’ Amerika di sana.

Saat ini sedang berlangsung perang antara tentera Turki melawan proksi di sebalik tabir Amerika di Syria, iaitu angkatan bersenjata Kurdish Syria, People’s Protection Unit (YPG) atau nama samarannya, Angkatan Demokratik Syria (SDF).

Genap sebulan tentera Turki melancarkan kempen ketenteraan ‘Olive Branch’ di Afrin, kadar kemusnahan dan kematian SDF-YPG cukup besar.

YPG ialah unit ketenteraan Parti Kesatuan Demokratik (PYD) yang terdiri daripada Kurdish di Syria. Ia adalah sekutu kuat Parti Pekerja Kurdistan (PKK) yang merupakan pemberontak Kurdish di Turki.

Untuk rekod, PKK bukan sahaja diisytiharkan sebagai pengganas oleh Turki, bahkan juga oleh Amerika Syarikat (AS) dan UK. Namun ada kisah pengkhianatan di balik tabir yang berlaku antara Amerika dengan sekutu PKK di Syria, iaitu kerjasama Amerika-YPG/SDF yang menggugat kestabilan selatan Turki.

Dalam kes konflik Turki-Kurdish, sememangnya sejak sekian lama pertembungan antara etnik ini berlangsung di bumi Turki. Turki ialah negara yang menempatkan populasi Kurdish dengan jumlah yang besar berbanding negara-negara Timur Tengah yang lain, manakala bangsa Kurdish pula langsung tidak diberikan sebarang wilayah oleh kuasa Imperialis Barat selepas berakhirnya Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Susulan Perang Saudara Syria dan kemaraan Daesh di Iraq dan Syria, pihak Kurdish di Syria telah menerima sokongan ketenteraan yang besar dari Amerika bagi menentang rejim Bashar al-Assad dan juga Daesh. Apatah lagi dalam keadaan Kurdish di Iraq pula telah mengisytiharkan kemerdekaan negara Kurdistan tahun lalu, moral Kurdish Syria telah melonjak.

Maka apabila Amerika mengumumkan untuk mengukuhkan posisi YPG di Syria sebagai benteng untuk menghalang kebangkitan kembali Daesh di Syria, Turki melihat pengumuman sedemikian sebenarnya hanya akan mengganggu-gugat kestabilan sempadan selatan Turki.

Perancangan Amerika adalah untuk menubuhkan ‘pasukan keselamatan sempadan’ yang diperkuatkan oleh 30,000 angkatan Kurdish YPG di Utara Syria. Sama seperti mana pengisytiharan kemerdekaan negara Kurdistan Iraq yang disambut baik Israel, demikianlah tragedi yang sama bakal terjadi ke atas wilayah utara Syria sekiranya YPG dibenarkan untuk bertapak kukuh di sana.

Disebabkan percaturan ini maka Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim menegaskan bahawa “Zon Selamat” sejauh 30km ke dalam Syria perlu diwujudkan oleh tentera Turki.

Turki ialah satu-satunya negara Islam dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di mana prinsip keselamatan kolektif Nato adalah jelas: jika sesebuah negara anggota Nato diserang atau diperangi, maka keseluruhan negara anggota Nato yang lain perlu memberi bantuan ketenteraan kepadanya.

Walau bagaimanapun, hingga kini Amerika dan sekutunya jelas membelakangi Turki dalam hal ini. Bukan sahaja mereka enggan memberi kerjasama kepada Turki dalam kes cubaan rampasan kuasa 15 Julai 2016, bahkan kini bekerjasama pula dengan YPG dalam memerangi angkatan tentera Turki di Syria dengan nama samaran SDF.

Hal ini diakui sendiri Jeneral Pemerintah Operasi Khas Amerika, Raymond Thomas. Dalam kes Daesh misalnya, Amerika boleh sahaja memberi bantuan ketenteraan kepada Turki tanpa perlu memperkasakan YPG Kurdish Syria dengan aset dan sokongan lain. Malah pegawai YPG/SDF sendiri mengakui terdapat warga Amerika, British, dan Jerman yang membantu mereka berperang dengan tentera Turki. Ternyata, kuasa Turki berupaya menghalang strategi licik Washington di Syria.

Abdul Muein Abadi 
Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

 
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Strategi Israel : Gerakan Pelobi

Next Post

Malaysia akan menjadi negara boneka China seperti Australia?

Related Posts

Berminat Untuk Menyumbang?

Kami di FOKUS sentiasa menghargai sokongan anda untuk terus menghasilkan kandungan berkualiti. Sumbangan anda akan membantu kami meningkatkan lagi mutu dan membantu operasi laman web ini.

Skip to content