HDC akan kuasai ruang pasaran halal yang lebih luas di Korea Selatan

KUALA LUMPUR- Halal Development Corporation Bhd (HDC) akan menyertai pameran makanan Seoul Food & Hotel (SFH 2021) di Seoul, Korea Selatan bermula 27-31 Julai 2021 untuk mempromosikan perdagangan halal, pelaburan dan pengetahuan antara Malaysia dan republik itu.

Ini adalah penyertaan kedua HDC dalam acara itu dengan kerjasama Agensi Promosi Pelaburan Korea (KOTRA).

“SFH 2021 akan menjadi laluan baik untuk memperkenalkan platform demo produk maya baharu HDC dan akan terus memudahkan perdagangan dan pelaburan halal menerusi perniagaan kepada perniagaan (B2B) secara maya,” menurut HDC dalam kenyataan hari ini.

Antara rancangan kemajuan HDC pada 2021 adalah penubuhan Platform Bersepadu Halal (HIP), platform sehenti dalam talian yang membantu syarikat mengembangkan perniagaan dengan menghubungkan mereka kepada pihak berkepentingan dalam industri lain bagi ekosistem halal di seluruh dunia.

HIP menawarkan Digital Augmented Showcase of Halal Malaysia (DASH) iaitu aplikasi yang menawarkan kombinasi kemampuan realiti terimbuh menerusi pembentangan menggunakan 3D untuk produk dan perkhidmatan halal Malaysia.

Memandangkan sekatan perjalanan rentas sempadan masih dilaksanakan di seluruh dunia, DASH menyediakan platform maya berdaya maju kepada penjual untuk mempamerkan dan menjual produk mereka secara kreatif di seluruh dunia kepada pembeli berpotensi, tanpa memerlukan pertemuan fizikal.

“Setakat ini, seramai 54 pengeksport halal telah mengintegrasikan produk mereka dalam DASH dan produk mereka akan mendapat pendedahan segera dengan lebih meluas sama ada menerusi penyertaan secara fizikal atau hibrid dalam acara promosi perdagangan anjuran HDC atau mana-mana rakan kami,” menurut Ketua Pegawai Eksekutif Hairol Ariffien Sahari.

Beliau berkata dengan mengutamakan penyertaan digital menerusi DASH; realiti maya dan skrin digital interaktif, HDC berharap 250 produk semasa yang disenaraikan di platform menggunakan 3D ini boleh diakses oleh pelbagai perniagaan global yang menyertai pameran perdagangan serantau utama, termasuk Ekspo Dunia Dubai 2020.

Satu lagi bidang tumpuan HDC semasa misi halal Korea pada minggu depan adalah siri maya B2B.

Setakat ini, HDC melalui Jabatan Kerjasama Antarabangsanya telah menganjurkan dua mesyuarat B2B secara maya untuk syarikat Malaysia.

Beliau berkata, dua mesyuarat terdahulu itu telah diadakan secara maya sepenuhnya menerusi platform dalam talian antara pengeksport Malaysia yang disenaraikan dalam DASH dan pembeli asing dari beberapa wilayah di Korea dan China.

Ia meningkatkan kedudukan produk halal Malaysia khususnya di pasaran Asia Timur.

Respons positif dan maklum balas kukuh telah diterima dengan potensi jualan dijangka kira-kira RM10 juta.

Semasa program itu, HDC juga akan berkongsi mengenai Institut Latihan Halal, Penasihat dan Perundingan Halal dan mempromosikan Taman Halal selain Persidangan Perniagaan Halal Dunia 2021. 

SFH adalah pameran makanan dan minuman antarabangsa yang terbesar di Korea Selatan dan pameran industri makanan terbesar keempat di Asia yang menghimpunkan lebih 1,550 pempamer yang layak dan 50,335 pengunjung dari 40 negara pada setiap tahun.

Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, hubungi Jabatan Kerjasama Antarabangsa HDC menerusi [email protected]

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Raja Salman arah Saudi sumbang bantuan peralatan perubatan kepada Malaysia melalui KSrelief

Next Post

Kerajaan tingkat kesejahteraan pemakanan Melalui Dasar Pemakanan Kebangsaan – PM

Related Posts
Skip to content