Pilihanraya Presiden AS 2016: Implikasi terhadap Laut China Selatan

 

Hillary Clinton (kiri) dan Jeb Bush (kanan); dua calon kuat pilihanraya kali ini
Hillary Clinton (kiri) dan Jeb Bush (kanan); dua calon kuat pilihanraya kali ini

 

Calon dari Parti Demokrat, Hillary Clinton dan calon Parti Republikan, Jeb Bush telah masuk ke medan perebutan jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) pada pilihanraya yang bakal berlangsung pada tahun hadapan. Sesiapa pun yang dipilih sebagai Presiden AS yang seterusnya, beliau harus meletakkan keutamaan yang lebih tinggi di Laut China Selatan (LCS), melihatkan kepada kepentingan perairan tersebut dalam perluasan hegemoni Amerika di rantau Asia. Berdasarkan percaturan yang telah dimulakan sejak agenda Pivot 2.0 dilaksanakan, terdapat beberapa sebab mengapa LCS begitu penting bagi AS yang dapat disenaraikan. Seterusnya bakal kita lihat bagaimana kedua-dua calon presiden ini bakal mengatur strategi mereka dalam mempertahankan kuasa besar dunia di perairan tersebut.

Kepentingan LCS terhadap Amerika Syarikat dan China

1) LCS telah muncul sebagai elemen utama geopolitik serantau Indo-Pasifik. Isu ini telah menjadi agenda penting bagi kedua-dua belah pihak sama ada blok AS atau China, malah ia merangkumi isu-isu keselamatan di rantau itu. Lebih penting lagi, LCS secara dasarnya dilihat sebagai ‘ujian litmus’ bagi kepentingan strategik dan tindakan Beijing, dan usaha AS dalam mengimbangi kuasanya di Asia Pasifik.

2) Dasar AS terhadap pertikaian yang berlaku di LCS sebahagian besarnya adalah bersifat reaktif. Apabila dilihat kembali, Washington telah mengubahsuai kandungan dasarnya sebagai tindak balas kepada ketegangan yang dicetuskan oleh sikap tegas China di LCS. Sebagai contoh, kenyataan dasar AS yang pertama di Kepulauan Spratly dan LCS telah dikeluarkan pada tahun 1995 sebagai tindak balas kepada ketidakstabilan yang semakin meningkat berpunca dari langkah China untuk mendapatkan Mischief Reef.

3) Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Hilary Clinton dalam ucapannya di Forum Serantau ASEAN 2010 telah mengisytiharkan bahawa Amerika Syarikat mempunyai kepentingan dalam kebebasan pelayaran (freedom of navigation), dan reaksi mereka merupakan rentetan daripada siri-siri tindakan agresif China, termasuk ‘mengganggu’ kapal pemantau USNS Impeccable pada 7 Mac 2009. Satu dokumen Jabatan Negara Amerika Syarikat, ‘Limits in the Seas’ yang dikeluarkan merupakan kesan daripada tindakan unilateral China, khususnya episod HD-981 yang mendapati bahawa Nine-Dash Line Beijing tidak selaras dengan undang-undang antarabangsa.

4) Beijing tetap berkeras untuk mengubah status quo dengan ‘membuli’ negara-negara di sekitar rantau itu. AS pernah memberi amaran kepada China bahawa tindakan ketenteraan  melalui usaha menambak tanah dan pembinaan pulau di kepulauan Spratly yang cukup membimbangkan pelbagai pihak. Malah China turut digesa untuk menghentikan tindakan tersebut bagi mengelak dari berlakunya ketidakstabilan di perairan rantau itu. Beijing memberi maklum balas dengan alasan bahawa ia adalah “bertujuan untuk membina penempatan, bantuan perkapalan, mencari dan menyelamat, dan lain-lain,” dan ia “tidak memberi kesan dan tidak mensasarkan terhadap mana-mana negara.” Walau bagaimanapun, imej Fiery Cross Reef yang diterbitkan oleh CSIS Asia Maritime Transparency dalam laman webnya menunjukkan hasil yang berbeza daripada tujuan pembinaan yang didakwa mereka.

Percaturan Baru AS dalam isu LCS

Jelas sekali, Amerika Syarikat perlu membuat sedikit perubahan kepada dasar LCS, supaya ia menjadi ‘lebih proaktif’. Malah, perubahan tersebut mampu dilaksanakan dengan terpilihnya presiden AS yang baru pada pilihanraya tahun hadapan. Antara perubahan yang dicadangkan adalah:

1. Pernyataan lisan kebebasan pelayaran (freedom of navigation) tidak mencukupi. Kewujudan tentera laut dan udara AS di LCS mesti dikekalkan atau dinaikkan.

2. AS perlu memperkukuhkan hubungan baru di seluruh Asia bahkan perlu melakukan lebih dari itu untuk mengatasi China. Vietnam antara sekutu baru yang ‘direkrut’ untuk tujuan itu. Antaranya, AS akan bertindak dalam mempertingkatkan kekuatan ketenteraan, mengembangkan hubungan perdagangan Asia yang antaranya melalui TPPA, mewujudkan technology-control regime, melaksanakan polisi siber yang berkesan, dan akhir sekali mengelak pertembungan dengan China dengan cara memperbaiki hubungan dengan Beijing.

Implikasi Buat Malaysia

Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu memahami dan menilai bahawa Pilihanraya Presiden AS 2016 akan memberi suatu impak ke atas keselamatan tanah air bukan sahaja dari sudut ketenteraan, bahkan tekanan ekonomi dan kedaulatan negara. Hal ini akan mengakibatkan negara kita ‘terperangkap’ di dalam kancah pertembungan yang berlaku.

Dengan jangkaan bahawa banyak dasar luar bakal diubah oleh AS – akan menjadi lebih ‘keras’ dari sebelumnya – pastinya akan menyebabkan konflik ini bertambah teruk. Antara calon yang terkehadapan setakat ini adalah dua individu yang dilihat cukup agresif dalam usaha ingin mengimbangkan semula kuasa AS di rantau Asia Pasifik, iaitu Jeb Bush dan Hillary Clinton. Hakikatnya, sesiapapun yang memegang tampuk kepimpinan Amerika, mereka sebenarnya dibayangi dengan pelobi-pelobi yang memusuhi Islam dan negara-negara Islam.

Sehubungan dengan itu, negara kita perlu lebih ‘gagah’ dan bijak dalam mengimbangi pertembungan dua kuasa dunia ini dan rakyat Malaysia perlu meningkatkan lagi kesedaran dalam memahami ancaman geopolitik ini.

Rujukan : TheDiplomat

Farris Hanafi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tiga Syarat Hamas Sertai Kerajaan Baharu

Next Post

Kronologi Kemenangan Gerakan LGBT di Amerika Syarikat

Related Posts
Skip to content