Sarawak Rancang Ambil Alih Autonomi Alam Sekitar daripada Persekutuan, Bakal Perkukuh Agenda Tenaga Hijau Sarawak

Lembaga Alam Sekitar Sumber Asli Sarawak (NREB) bersedia untuk mengambil alih tanggungjawab berkaitan autonomi alam sekitar daripada kerajaan persekutuan menjelang Januari 2025, menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah, dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh. Tambahnya, perbincangan mengenai tuntutan ini berlangsung sejak dua tahun lalu di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). (DayakDaily)

Susulan daripada itu, NREB diamanahkan dengan fungsi baharu, khususnya mengenai perkara yang berkaitan dengan penangkapan dan penyimpanan karbon, kawalan pelepasan gas rumah hijau, dan inisiatif hijau yang lain. NREB juga dijangka mengambil alih sepenuhnya pengurusan sisa terjadual di Sarawak daripada Jabatan Alam Sekitar menjelang 1 Januari tahun depan. (BorneoPost)

Perkembangan ini bakal mengukuhkan lagi agenda tenaga hijau Sarawak. Hal ini kerana, Sarawak sedang giat mempromosikan pembangunan tenaga boleh baharu dan kredit karbon, termasuk potensi eksport tenaga bersih ke Singapura. Pada 4 Disember 2023, Sarawak Energy Berhad telah memeterai perjanjian kerjasama dengan Bursa Carbon Exchange untuk meneroka penawaran pensijilan tenaga boleh diperbaharui berkaitan kuasa hidro di pasaran karbon. Selain itu, Sarawak juga menjadi negeri pertama dan satu-satunya di Malaysia yang meluluskan rang undang-undang perubahan iklim iaitu Rang Undang-undang Alam Sekitar. (Eco-Business)

Sebagai makluman, Sarawak telah berjaya memperoleh autonomi dan sedang berusaha dalam beberapa tuntutan yang lain, antaranya adalah autonomi projek pembangunan bernilai RM50 juta ke bawah, pengangkutan (syarikat penerbangan), pelabuhan, kesihatan, pendidikan, dan kuota 35 peratus kerusi Parlimen.

Disediakan oleh:
Knowledge Management Center(KMC), IRIS Institute

**RADAR adalah produk pantauan berita harian IRIS yang memaparkan perkembangan berita-berita strategik dalam setiap bidang utama mengikut sudut pandang IRIS. Sebarang perbincangan dan persoalan boleh diajukan diruang komen atau pautan https://pertanyaaniris.wasap.my/, pihak IRIS akan cuba menjawab.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Krisis Laut Merah Beri Tekanan kepada Perdagangan Asia, Aktiviti Perkapalan dan Eksport Komoditi Malaysia ke Eropah Turut terjejas

Next Post

Blackrock-Ditrolic Energy Sdn Bhd Jalin Kerjasama Tenaga Solar, Luaskan Pengaruh Blackrock dalam Industri Tenaga Boleh Baharu di Asia Tenggara Termasuk Malaysia

Related Posts
Skip to content