Langkau ke kandungan
Landskap 3 minit bacaan Oleh IRIS Institute

Sidang Khas US-ASEAN, Penjualan Saham Kuok, Presiden Baharu Filipina

Isi Kandungan

  1. Kerjasama Keselamatan Maritim, Kerangka Ekonomi Baru Indo Pasifik, Perang Rusia Ukraine, Pelan Pemulihan Covid-19 antara agenda utama perbincangan Sidang Khas US-ASEAN
  2. Kuok jual pegangan majoriti dalam syarikat perkapalan pukal kering terbesar negara, Maybulk kepada syarikat pimpinan MCA Pahang
  3. Marcos menang Pilihanraya Presiden Filipina, perkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat

Bagi pelanggan Eksklusif, Sila Login terlebih dahulu untuk baca laporan penuh

Kerjasama Keselamatan Maritim, Kerangka Ekonomi Baru Indo Pasifik, Perang Rusia Ukraine, Pelan Pemulihan Covid-19 antara agenda utama perbincangan Sidang Khas US-ASEAN

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat di Washington D.C, pada 12 dan 13 Mei ini. Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata selain beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan juga akan mengiringi perdana menteri ke persidangan khas itu Berita Harian.

Kali terakhir Amerika Syarikat menjadi tuan rumah kepada persidangan khas itu adalah pada Februari 2016 di Sunnylands, California. Pada Mac 2020, ia sepatutnya diadakan di Las Vegas tetapi dibatalkan berikutan pandemik global COVID-19 Sinar Harian.

Menurut laporan ISEAS, Amerika Syarikat akan mengunakan platform tersebut untuk mengukuhkan semula pengaruh di rantau ASEAN melalui Strategi Indo Pasifik White House  yang dilancarkan pada Februari lepas. Agenda perbincangan utama yang perlu diberikan perhatian, adalah berkaitan Kerjasama Keselamatan Maritim untuk mengekang pengaruh ketenteraan China di Laut China Selatan, Kerangka Ekonomi Baru Indo Pasifik, berikutan pengaruh China yang semakin meningkat melalui perjanjian RCEP, dan tekanan terhadap negara-negara ASEAN supaya mengenakan sekatan terhadap Rusia The Diplomat.

Kuok jual pegangan majoriti dalam syarikat perkapalan pukal kering terbesar negara, Maybulk kepada syarikat pimpinan MCA Pahang

Selepas diumumkan antara konsortium yang berjaya mendapat lesen untuk mengoperasikan Bank Digital, taikun Robert Kuok, menjual pegangan majoriti dalam syarikat perkapalan pukal kering terbesar negara, Maybulk kepada syarikat milik pemimpin MCA Pahang. Menurut laporan The Edge, Kuok menjual 32% saham kepada Tunas Capital Sdn Bhd dan Datuk Goh Cheng Huat. Selepas penjualan tersebut Goh dan Tunas Capital akan menjadi pemegang majoriti dalam syarikat terbabit (32%) diikuti Kementerian Kewangan Inc (15.34%) dan Kuok Brothers Sdn Bhd (14%).

Tunas Capital Sdn Bhd adalah syarikat milik Datuk Chin Yoke Kan, dan Datuk Chin Yoke Chan. Datuk Chin Yoke Kan merupakan pimpinan MCA Pahang dan ahli lembaga pengarah di dalam Malaysian China Chamber of Commerce serta beberapa institusi lain. Maybulk mencatatkan keuntungan yang besar berikutan peningkatan permintaan sektor logistik. Penganalisis mengatakan tiada alasan yang kukuh bagi Kuok untuk menjual pegangan tersebut, berikutan prestasi kewangan syarikat yang agak kukuh. Pada tahun lepas syarikat tersebut mencatatkan keuntungan sebanyak RM 192.53 Juta The Edge. 

Marcos menang Pilihanraya Presiden Filipina, perkukuh hubungan dengan Amerika Syarikat

Ferdinand Marcos Jr berjaya memperoleh kemenangan besar dalam Pilihan raya Presiden Filipina semalam, sekali gus mencatat kemenangan majoriti sejak revolusi 1986 yang menggulingkan pemerintahan diktator bapanya. Keputusan tidak rasmi menunjukkan Marcos Jr, 64, yang dikenali sebagai ‘Bongbong’, sudah melepasi jumlah undi 27.5 juta yang diperlukan untuk memperoleh majoriti Berita Harian

Beliau mendapat sokongan utama dalam pilihan raya ini apabila bergandingan dengan anak Duterte, Sara Duterte, sekali gus dapat menggunakan sokongan besar Duterte dan membantu Marcos Jr memperoleh sokongan pengundi baharu. Keputusan tidak rasmi menunjukkan kem Duterte berjaya memenangi jawatan Naib Presiden, dengan jumlah undi lebih tiga kali ganda berbanding pencabar terdekatnya.

Penganalisis Reuters menjangkakan Marcos Jr akan melengkapkan projek infrastruktur berbilion dolar di bawah Duterte dan mengukuhkan hubungan dengan China. Namun analisa daripada Council of Foreign Relations mengatakan bahawa, walaupun Marcos cenderung meneruskan hubungan baik bersama China, tetapi ancaman keselamatan dan sentimen terhadap China adalah buruk di kalangan rakyat Filipina. White House dalam pada itu akan menggunakan sentimen tersebut untuk mengukuhkan lagi kerjasama dengan Filipina.

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan diterbitkan. Ruangan wajib ditanda *