Apa anda perlu tahu tentang AIIB?

Presiden Xi Jinping (tengah) bersama pemimpin lain pada majlis pelancaran Infrastruktur Asia Investment Bank Oktober lalu di Beijing. Photo: Reuters
Presiden Xi Jinping (tengah) bersama pemimpin lain pada majlis pelancaran Infrastruktur Asia Investment Bank Oktober lalu di Beijing. Photo: Reuters

 

Fakta Ringkas AIIB

 

1) Asian Infrastructure Investment Bank (AIIB) adalah sebuah institusi kewangan antarabangsa yang dipelopori oleh kerajaan China dan berpusat di Beijing. Tujuan pembangunan bank pelbagai hala (Multilateral Development Bank – MDB) ini adalah menyediakan dana pembiayaan kepada projek-projek infrastruktur di rantau Asia. AIIB dianggap oleh sesetengah pihak sebagai saingan bagi International Monetary Fund atau IMF, Bank Dunia dan Bank Pembangunan Asia atau ADB yang didominasi oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyebut pelancaran AIIB sebagai satu usaha ‘meninggikan skala pembiayaan untuk pembangunan mapan’ bagi Global Economic Governance.

 

2) Setakat ini, AIIB disertai oleh 57 buah negara sekitar Asia termasuk negara bukan-Asia seperti United Kingdom (UK), Jerman, Portugal dan Perancis. Semua pihak bekerjasama dalam menyenaraikan projek-projek pelaburan dan bakal membuat pelaburan AIIB pertama dalam tempoh tahun ini. Wakil-wakil dari semua negara anggota sudah membincangkan piagam bank di Singapura pada 20-22 Mei 2015. Semua pihak telah bersetuju mengenai objektif AIIB ini, keahlian, kepentingan, kuasa mengundi, operasi, tadbir urus dan mekanisme mencapai kata putus. AIIB dijangka akan memulakan operasi bermula akhir 2015 selepas dokumen itu mendapat pengesahan undang-undang dan parlimen di setiap negara anggota sebelum menjadi aktif.

 

3) Presiden China, Xi Jinping dan Perdana Menteri, Li Keqiang mengumumkan inisiatif AIIB semasa lawatan masing-masing ke negara-negara Asia Tenggara pada Oktober 2013. Bank itu dijangka menggalakkan hubungan dan integrasi ekonomi di rantau ini dan bekerjasama dengan bank-bank pembangunan pelbagai hala yang sedia ada.

 

4) Berikutan pengumuman ini, perbincangan dua hala dan pelbagai hala serta rundingan bermula pada prinsip teras dan elemen-elemen utama bagi mewujudkan AIIB. Pada akhir Oktober 2014, 22 buah negara-negara Asia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mewujudkan AIIB dan Beijing telah dipilih untuk menjadi pusat AIIB. Jin Liqun telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sekretariat Interim Pelbagai Hala.

 

5) Pemegang saham terbesar kini adalah China iaitu sebanyak 30.34 peratus, dan India menduduki tangga kedua iaitu sebanyak 8.52 peratus. Diikuti Rusia (6.66 peratus), Jerman (4.57 peratus), Korea Selatan (3.81 peratus). Manakala Perancis, Australia, Indonesia, Brazil dan UK berada dalam kedudukan 10 teratas seperti yang dijangkakan Korean Institue for Economic Policy atau KIEP. Perlu diketahui bahawa 75 peratus saham dikhususkan kepada negara-negara Asia, selebihnya kepada negara bukan-Asia.

 

6) AIIB mempunyai tiga peringkat tadbir urus : lembaga pengelola, lembaga pengarah dan eksekutif. Pengelola mempunyai kuasa yang besar dalam bank. Lembaga pengarah akan bermesyuarat untuk membuat keputusan manakala ahli eksekutif akan menjaga kerja rutin. China dikatakan akan memastikan AIIB memiliki prosedur birokrasi yang minima, merekrut kakitangan dengan cara yang telus dan terbuka serta bebas rasuah atau penipuan. Ahli-ahli akan menyumbang kepada pemberi pinjaman sebahagian besarnya mengikut GDP dan menikmati kuasa mengundi sewajarnya.

 

7) Modus operandi yang cuba diterapkan dalam AIIB adalah ‘lean, clean and green’. Lean membawa maksud pengurusan cekap dan berkemahiran tinggi dalam kumpulan kecil ; clean bermaksud sifar rasuah ; dan green bermaksud institusi itu dibina dengan asas hormat dan melindungi alam sekitar. Polisi-polisi AIIB cukup kuat dalam hal urus tadbir, akauntabiliti, kewangan, perolehan dan rangka kerja alam sekitar, dan sosial.

 

8) Elemen-elemen seperti keterbukaan dan bersifat inklusif ini dilihat berpotensi besar ‘mencabar’ institusi IMF, Bank Dunia dan ADB kerana jelas isu ketelusan dan akauntabiliti merupakan permasalahan teruk yang melanda dalam institusi-institusi yang dikuasai AS dan para pelobi tersebut. The AIIB dilihat sebagai saingan kepada IMF, Bank Dunia dan ADB, kerana AIIB bebas daripada sistem Bretton Woods manakala yang lain berada dalam sistem dan dikuasai oleh Amerika Syarikat atau Jepun.

 aiib-graphic

 

Harapan dan Kebimbangan?

 

1) Rakyat Malaysia perlu mengetahui bahawa Malaysia terlibat dalam AIIB ini sejak Oktober 2014. Malaysia termasuk dalam antara 20 buah negara yang menandatangani MoU pada awal penubuhan AIIB bersama China, Singapura, Thailand dan Filipina. Kerajaan Malaysia diwakili oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan bahawa kewujudan MDB ; seperti AIIB, Bank Dunia, dan ADB merupakan antara usaha menyuburkan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur dalam sesebuah negara khususnya negara-negara berpendapatan rendah atau sederhana.

 

2) Setakat ini, AIIB dinilai sebagai suatu usaha yang cukup baik dalam memperkasakan lagi ekonomi dan kewangan serantau khususnya di Asia. Sehubungan itu, Malaysia juga bakal menikmati segala kelebihan dan manfaat sekiranya AIIB ini terlaksana sepertimana yang diwar-warkan tujuan penubuhannya.

 

3) Namun begitu, sebagai seorang Muslim, kita perlu sentiasa berwaspada dengan langkah-langkah yang diambil oleh kuasa luar. Hal ini kerana, jika melihat pada pendirian kerajaan China terhadap komuniti Muslim Ughyur, konflik persempadanan negara-negara dan tindak tanduk China di Laut China Selatan kebelakangan ini, ditambah dengan strategi pemerkasaan ekonomi China yang menghubungkan China dengan Eropah melalui ‘jalan darat’ Silk Road Economic Belt, dan ‘jalan laut’ Maritime Silk Road yang menghubungkan China dengan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, pastinya ada kaitan yang tersembunyi.

 

4) Pada peringkat awal ini, strategi China menampakkan dirinya lebih ‘ramah dan baik’ dalam AIIB dan berkompromi dengan UK dan negara-negara Eropah ternyata menarik minat pelabur dan penyertaan banyak negara. Meskipun China yang menyuntik modal (authorized capital) sebanyak $100 bilion dan memiliki 26.06 peratus kuasa undi (veto), China tidak menggunakan lagi kuasa veto dalam membuat keputusan pada peringkat ini, berbanding AS yang memiliki kuasa mengundi terbesar di IMF [17.69 peratus] dan Bank Dunia [15.85 peratus]. Dengan pendekatan ini, ia bakal menjadi kunci utama China dalam membina hubungan dan kepercayaan negara-negara Eropah bagi menyertai AIIB yang diterajuinya, sekaligus China berpotensi ‘menundukkan’ kuasa Eropah dan mengeruhkan hubungan AS-Eropah. Namun, situasi ini dinafikan oleh Timbalan Menteri Kewangan China, Shi Yaobin.

 

4) Persoalan yang masih tidak terjawab buat masa ini – terdapat hanya sedikit perincian mengenai kandungan sebenar piagam (secara rasmi dikenali sebagai Articles of Agreement, atau AOA). Yang dijangka akan berubah kerana setiap kerajaan negara anggota sedang memulakan proses bagi mengesahkan AOA secara domestik.

 

5) Selain berkenaan peruntukan saham, AOA juga mengandungi maklumat mengenai struktur tadbir urus – termasuk persoalan sama ada wujud atau tidak China mempunyai kuasa veto ke atas keputusan bank – dan proses untuk meluluskan dan memantau pinjaman. China sebelum ini telah berjanji bahawa AIIB akan mengikut piawaian antarabangsa sama seperti institusi pinjaman lain seperti IMF apabila ia datang kepada isu alam sekitar dan hak-hak pekerja. China juga telah berjanji, untuk menjaga AIIB kekal ‘lean’ dan cekap serta bukannya diberatkan dengan prosedur birokrasi yang menyusahkan.

 

6) Kita juga perlu memahami bahawa ‘perlumbaan’ dalam menjadi kuasa besar dunia sangat ketara antara AS dan China. Masing-masing menggunakan langkah tertentu sama ada secara terbuka ataupun tersembunyi seperti TPPA. Dalam konteks ini, China pastinya ingin menggunakan segala ruang dan bidang dalam mengukuhkan lagi kuasanya melalui institusi kewangan, ketenteraan, dan sebagainya. Persoalan yang timbul adalah, adakah China selaku ‘kepala’ AIIB ini akan terus menunaikan janjinya? Atau sama sahaja seperti Bank Dunia yang dipenuhi dengan isu korupsi, pengaruh pelobi dan cengkaman ke atas negara-negara yang berhutang?

 

7) AS pastinya tidak senang duduk dengan keadaan ini bahkan cuba menghalang negara-negara sekutunya dari menyertai AIIB. Hal ini kerana apabila melihat China telah mencabar status ‘superpower’ AS. Negara-negara sekutu kuatnya seperti UK, Australia, Perancis dan lain-lain secara langsung menyertai AIIB tanpa ‘restu’ AS. Jepun sahaja yang masih lagi bersama AS dalam menjaga kepentingannya dalam ADB. Keadaan ini bakal memberi impak walaupun sedikit kepada AS dan para pelobi. AS dijangka akan ‘mengasak’ dengan lebih kuat dalam menekan ekonomi, perundangan serta ketenteraan ke atas dunia Asia dalam persaingan mendominasi world order.

 

Farris Hanafi

Penganalisis IRIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Turki Sedia Hulur Bantuan Atasi Krisis Greece

Next Post

Turki: China Kejam Terhadap Muslim Uighur

Related Posts
Skip to content