Malaysia-Arab Saudi: Usaha Strategik Baharu Dan Pengaruh Saudi-Beijing

Sumber: SME & Entrepreneurship Magazine

Malaysia yang terperangkap dalam dua kuasa besar dunia, Beijing dan Washington dilihat menunjukkan usaha untuk bergantung kepada Arab Saudi yang lebih mempunyai pengaruh dan kuasa tawar-menawar yang lebih besar dalam menentukan arah hubungan Sino-AS, dengan kawalan pengeluaran minyak dan pengaruhnya dalam OPEC.

Bagi kedua-dua negara, Malaysia dan Arab Saudi yang sedang beralih daripada ekonomi yang bergantung kepada minyak dan bahan api kepada ekonomi berorientasikan masa depan yang memerlukan pelaburan kritikal dalam digitalisasi dan pemacu ekonomi baharu.

Riyadh menyedari Washington masih memerlukannya sebagai sumber modal dan ketenteraan bagi menampung eksport peralatan senjata dan keselamatannya. Arab Saudi juga masih mempunyai peranan penting dalam membantu Barat untuk membuat sekatan besar kerana memiliki kuasa mengawal bekalan minyak.  

Visi 2030 Arab Saudi yang akan membuat transformasi baharu dalam ekonomi berasaskan digital dan ekonomi hijau, servis berteknologi tinggi dan saintifik berasaskan ilmu pengetahuan.

Visi 2030 Arab Saudi yang dibawa Putera Mahkota Mohamed bin Salman juga dapat dilihat melalui tindakan-tindakan transformasi beliau seperti bandar masa depan NEOM, syarikat penerbangan baru Arab Saudi dan normalisasi hubungan dengan Israel. Transformasi ini dilihat sebagai penjenamaan baru pendekatan modenis bagi menangani ancaman serantau dan halangan-halangan untuk muncul sebagai kuasa baru. 

Gambaran projek bandar NEOM. Sumber: BBC

Bagi Riyadh, Malaysia sebagai negara Islamis Moden diperlukan untuk penjenamaan semula soft power Arab Saudi di Asia Tenggara untuk tujuan ekonomi dan geopolitik. Malaysia dilihat penting sebagai laluan perdagangan dan minyak dalam memastikan jaminan makanan dan tenaga baharu negara tersebut.

Selain itu, Malaysia memiliki kekuatan teknologi kritikal masa hadapan yang menjadi sasaran Arab Saudi seperti semikonduktor dan mikrocip, keselamatan makanan, ekonomi digital dan hijau serta pendidikan tinggi dan bidang penyelidikan kritikal. Namun, pelaburan dalam infrastruktur utama serta bidang kejuruteraan lanjutan dan penyelidikan bersama tetap menjadi kepentingan bersama bagi Riyadh dan Kuala Lumpur, dengan memanfaatkan sumber dan kekuatan kapasiti antara satu sama lain.   

Justeru, Malaysia memerlukan pelaburan dari Arab Saudi dalam bidang-bidang kritikal teknologi tinggi, ekonomi digital dan penemuan baru dalam kelestarian sumber. Pembangunan modal insan dan bidang penyelidikan berimpak tinggi akan menjadi tumpuan utama. Bagi memastikan pendapatan bahan api fosil sebagai modal pembangunan, Saudi Aramco dan Petronas dijangka akan memperkukuh kerjasama terutamanya melibatkan peralihan dan pelaburan pada tenaga baru dan fokus pada ESG.

Malaysia juga ingin meningkatkan lagi kredibilitinya sebagai negara Islam global dan memainkan peranan kepimpinan yang lebih besar dalam OIC dengan memperkukuhkan hubungan istimewa dengan Riyadh. Selain memberi peluang kepada PM Anwar Ibrahim untuk meningkatkan kredibilitinya melalui konsep Madani dengan kepimpinan baru dan stabil untuk menarik pelaburan yang lebih besar ke Malaysia.

Kuala Lumpur juga akan mendapat manfaat dengan mengekalkan sejarah hubungan baik dengan Riyadh, dan menyertai usaha pemodenan Arab Saudi. Malaysia dapat memindahkan kepakaran dalam menangani keganasan dan ekstremisme, memperlihatkan Islam yang sederhana dan moden, serta menjadi penyokong Arab Saudi dalam menjamin keselamatan makanan dan ketahanan rantaian bekalan. 

Arab Saudi belum menghadapi ancaman sebenar dari negara serantaunya Iran, Israel, Syria dan lain-lain. Walaupun memiliki sejarah permusuhan yang lama dengan Iran, Arab Saudi bijak dalam seni diplomatik apabila bekerjasama dengan Iran supaya dapat mencapai cita-cita yang lebih besar. Selain itu, cabaran dalaman seperti peningkatan demografi dalaman, kadar pengangguran dan masalah generasi muda meningkatkan kesedaran tentang   keperluan reformasi Arab Saudi. 

Kebergantungan China kepada sumber minyak Arab Saudi akan berterusan dan  mengukuhkan lagi laluan minyak serantau Arab Saudi. Dengan menjadi broker perjanjian diplomatik antara Tehran dan Riyadh, Beijing berharap dapat meningkatkan kapasiti pakatan antarabangsa, dan menghalang cengkaman Washington di rantau ini dengan menyediakan alternatif kepada peraturan ketat yang dikenakan oleh Barat.

Dengan membiarkan Beijing menjadi broker perjanjian diplomatik dengan Tehran, Riyadh menghantar isyarat kepada Washington bahawa kuasa itu mempunyai pilihan dan kapasiti penuh dalam menentukan dasarnya, untuk menjadi kuasa utama di rantau ini, yang akan menentukan pergerakan dan pengaruh diplomatik serantau. Meskipun, Riyadh boleh melakukan perjanjian dengan Tehran tanpa campur tangan pihak ketiga, tetapi keputusan untuk Beijing mengambil kredit sebagai broker perjanjian mempunyai makna simbolik yang tersendiri.  

China semakin bergantung kepada Arab Saudi sebagai salah satu destinasi pelaburan dan sumber keselamatan tenaga, manakala Riyadh berharap untuk mendapat manfaat ekonomi dan kewangan yang lebih besar dari Beijing dengan kelebihan aset minyaknya.  Arab Saudi juga memerlukan teknologi baru dari Beijing seperti AI, kejuruteraan canggih, kapasiti dominasi angkasa lepas dan alat-alat pemberdayaan geopolitik yang lain dan aset keselamatan termasuk peluru berpandu tepat dan kapasiti siber. Riyadh dilihat mempunyai peranan penting bagi Beijing menyekat pengaruh Washington. 

Sementara AS sibuk dengan Ukraine dan mengekang China di Indo Pasifik, Beijing mengambil peluang untuk mengeksploitasi ruang vakum di Timur Tengah. China yang inginkan sokongan serantau meletakkan pertaruhannya pada Riyadh sebagai negara paling berkuasa di rantau itu. Riyadh akan terus bergantung kepada Washington untuk sokongan keselamatan utama tetapi kini mempunyai kelebihan untuk memberi tekanan kepada Washington menarik balik dasar dan pendekatan yang mengancam cita-cita Arab Saudi. 

Sementara Indo Pasifik mengekalkan statusnya sebagai pentas utama kepentingan strategik, Timur Tengah pula terus menjadi pentas dalam pembangunan semula negara, yang menjurus kepada kepentingan sesetengah individu di rantau ini. 

Sumber: Eurasia Review 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Anwar Bersedia Mulakan Semula Projek KSCIP Yang Ditamatkan Mahathir

Next Post

Apa Yang Sedang Berlaku Di Laut China Selatan Sekarang? – Siri 1

Related Posts
Skip to content