Penjelasan Konflik di Sempadan Turki-Syria

Kurdi Democratic Union Party (PYD) dan Kurdi National Council (KNC) membentuk satu pakatan baru pada 12 Julai 2012 bernama Kurdi Supreme Commitee yang akan mentadbir semua kawasan yang dimiliki oleh bangsa Kurdi.

Di bawah naungan Kurdi Supreme Commitee, tertubuhnya angkatan People Protection Unit (YPG) yang ditugaskan bagi menjaga bandar-bandar di bawah kuasa bangsa Kurdi.

Pada September 2014, kumpulan Free Syrian Army atau FSA bekerjasama dengan YPG dalam membentuk pakatan tentera bernama Burkan al-Furat bagi menewaskan pengganas Islamic State atau ISIS di Syria.

Peperangan kini menuju peperangan tiga hala, antara pakatan Burkan al-Furat, ISIS dan tentera Pro-Assad.

syria 1

Impian bangsa Kurdi.

Setelah bermulanya perang saudara Syria, dunia dapat melihat kebangkitan bangsa Kurdi ini di negara-negara tertentu seperti Syria, Turki dan Iraq.

Di sebalik kebangkitan tersebut terdapat satu impian yang wujud di dalam hati 27 juta bangsa Kurdi iaitu sebuah negara Kurdistan.

Bangsa Kurdi yang banyak menduduki atau menumpang di Turki, Syria, Iraq dan Iran mengalami asimilasi budaya dalam setiap negara yang didiami mereka, sehinggakan sejarah bangsa mereka hampir-hampir luput ditelan zaman.

Bermula dari peperangan yang berlaku di Iraq dan Syria ini, kebangkitan bangsa Kurdi dapat dilihat dengan kewujudan Kurdi Supreme Commitee dan kewujudan tentera PYD dan YPG yang berjaya menawan bandar-bandar utama yang diduduki oleh sebahagian bangsa Kurdi. Contohnya di utara Syria seperti, Tal-Abyad, Kobane, Dêrika Hemko (Al-Malikiyah), Serê Kaniyê (Ra’s al-‘Ayn), Dirbêsî (Al-Darbasiyah) and Girkê Legê (Al-Ma’bada), Efrin dan Amude.

Kurdi Supreme Commitee telah mengisytiharkan bandar-bandar ini sebagai Rojava atau Kurdistan Barat.

Impian bangsa Kurdi ini sedikit sebanyak telah merumitkan lagi peperangan yang berlaku di Syria ketika ini, ditambah dengan bangsa Arab tidak berpuas hati dengan impian mereka yang ingin memiliki sebuah negara Kurdistan.

 

syria 2

 

Impak bangsa Kurdi dalam mengubah landskap perang Syria.

Jika sebelum ini perang di Syria banyak tertumpu kepada pertembungan perang antara tentera FSA dengan kerajaan pro-Assad, kemudian munculnya ISIS yang tambah menghuru-harakan keadaan di Syria dan menyebabkan pelbagai pihak termasuk Turki bimbang akan kemaraan ISIS yang dilihat cukup agresif kebelakangan ini di sekitar Timur Tengah.

Kini, dengan wujudnya autonomi Kurdi di Syria, sedikit sebanyak menghilangkan kegusaran negara-negara luar kerana kejayaan tentera PYD dan YPG Kurdi berjaya menyekat kemaraan ISIS dan berjaya menawan bandar-bantar utama yang sebelumnya ditawan ISIS. Kehadiran tentera Kurdi ini memberi nafas baru buat tentera FSA dan sekutunya.

 

Peranan Kurdi dalam kestabilan Turki.

Sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan Turki bakal menentukan kestabilan negara Turki dengan kehadiran autonomi Kurdi di Syria.

Kemenangan parti HDP pro-Kurdi yang berjaya buat pertama kali dalam sejarah mereka meraih undi melebihi 10 peratus dalam pilihanraya parlimen Turki baru-baru ini, jelas menunjukkan bahawa bangsa Kurdi mempunyai kuasa mereka tersendiri serta boleh memberi impak besar terhadap lanskap politik Turki.

Bangsa Kurdi di Turki juga menggesa kerajaan Turki mengambil tindakan yang sewajarnya bagi membantu saudara Kurdi mereka yang diasak oleh ISIS di Kobane yang terletak di sempadan Turkey-Syria.

Turki juga mahu membendung kemaraan ISIS di sempadan Turki-Syria. Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoglu telah memberitahu baru-baru ini, bahawa mereka tidak akan melibatkan diri di dalam perang di Syria. Dengan kebangkitan PYD dan YPG, kemaraan ISIS dapat dihalang dan ISIS berundur ke Raqqa sejauh 100 km dari bandar Kobane.

Turki tiada pilihan lain melainkan dengan berharap bahawa gerakan Kurdi ini dapat menyekat ISIS dari mara ke sempadan Turki dan memberikan bantuan kepada pejuang Kurdi di sempadan Syria-Turki.

Buat masa ini Turki telah menempatkan tenteranya dengan kelengkapan meriam dan peluru berpandu di sepanjang sempadan Turki berdekatan dengan bandar Kilis, Syria.

syria 3

Syria yang sekarang bukanlah Syria yang dahulu.

Jika dahulu Syria merupakan sebuah negara dari yang terdiri dari pecahan Sunni dan puak Syiah, kini Syria bakal berpecah lagi dengan tertubuhnya negara baru iaitu Kurdistan. Bangsa Kurdi sudah lama mengidam ingin duduk dan memiliki negara sendiri setelah lama merempat di negara orang, jika Arab Syria cuba menghalang impian mereka ini, tidak mustahil akan berlaku perang Arab-Kurdi di Syria di masa akan datang.

Baru-baru ini, tentera Kurdi berjaya menawan bandar Tal-Abyad yang sebelum ini menjadi laluan perhubungan dan laluan bantuan penting buat ISIS. Kemenangan ini juga cukup signifikan buat tentera Kurdi kerana dengan penaklukan Tal-Abyad, mereka berjaya menghubungkan utara Syria dan bandar-bandar Kurdi dari Kobane sehingga ke Iraq. Dengan itu sempadan Turki-Syria berjaya dikuasai sepenuhnya oleh tentera Kurdi dan keadaan tersebut memberikan mereka kedudukan dan kuasa yang kuat untuk masa akan datang.

Peperangan kini memasuki fasa baru dengan kehadiran blok-blok kuasa baru ini.

Persoalannya, apakah konklusi konflik ini?

Adakah Turki akan campur tangan akhirnya?

Atau adakah Amerika Syarikat akan menghantar tentera mereka sepertimana mereka lakukan di Iraq dahulu?

Melihat kepada campur tangan Amerika Syarikat buat masa ini di Syria, dengan melancarkan serangan udara serta memberi dana dan senjata, tidak mustahil Amerika Syarikat akan terus menerus menjadi dalang besar di sebalik huru-hara yang berlaku di Timur Tengah sama ada di Syria atau di tempat-tempat lain seperti Iraq, Yaman, Afghanistan dan Lubnan. Pastinya kebebasan Syria pada masa akan datang perlu dibayar sendiri oleh rakyat Syria, dan Amerika tidak akan membantu melainkan wujud situasi “win-win” bagi mereka.

Oleh:

Amirul Asyraf
Penganalisis IRIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

Tunisia Tutup Masjid Atas Sebab Keselamatan

Next Post

Realiti Penindasan Umat Islam: Larangan Bertudung (bahagian 1)

Related Posts
Skip to content